Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) amat bimbang dengan perkembangan terkini kes 1MDB di mana pihak berkuasa Amerika Syarikat telah mengumumkan akan menyita sejumlah harta bernilai USD1 bilion yang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB.
Meskipun ada yang melihat ini sebagai cubaan campur tangan pihak luar dalam urusan negara, IKRAM melihat ini adalah lantaran kegagalan pihak kerajaan mengurus institusi ini dengan baik dan bijaksana.
1MDB yang telah disekat siasatannya dan cuba disorokkan, kini ternyata telah membengkak, bernanah dan kini semakin membusung.
IKRAM mendesak agar diangkat segera status Rahsia Laporan Audit dan diadakan Sidang Tergempar Parlimen bagi membincangkan isu 1MDB bagi mencari jalan penyelesaian terbaik yang menguntungkan rakyat dan negara.
Wahai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Yang Dipertua Dewan Rakyat serta semua Ahli Parlimen, jadilah negarawan yang berjiwa besar.
Letaklah kepentingan negara dan rakyat melebihi segala kepentingan politik dan peribadi.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia