Menurut Pengerusi Hidayah Centre Foundation (HCF), Hj Nicholas Slyvester, majlis tersebut juga telah dihadiri hampir 100 orang peserta ‘non-muslim’ dan secara keseluruhannya kira-kira 1,100 orang telah mengambil bahagian.
“Alhamdulillah, program hari ini berjaya mencapai objektifnya, meraikan saudara- saudara baru, memberikan nasihat kepada mereka dan nampaknya mereka gembira dengan sumbangan yang diberikan,” ucap beliau.
Malah, sumbangan yang diterima melalui program tersebut agak memberangsangkan.
“Sumbangan masih lagi masuk dan kita masih ‘keep track’, walau bagaimanapun ia telah mencapai lima puluh peratus daripada yang disasarkan,” tambahnya.
MIPHC pada tahun ini telah dan akan diadakan di tiga belas tempat berbeza di seluruh negara dan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama.
Ia akan disusuli dengan program ‘Sedekah Ramadan’ yang akan dijadikan platform untuk memberikan ruang kepada masyarakat bagi terus menyumbang.
“Ini akan membantu kita menggerakkan dua bidang utama iaitu bidang dakwah kepada bukan Islam dan sokongan kepada saudara baru.”
Selain iftar, MIPHC yang diadakan di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat di sini diisi dengan forum yang bertajuk “Membumikan Rahmah Membudayakan Dakwah” dan diserikan dengan persembahan artis Yasin Sulaiman.
Forum tersebut menampilkan tiga panelis iaitu Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman serta dua saudara baru iaitu Nur Warjeet dan Nurul Lim.