Print this page
Saturday, 14 November 2020 16:55

Di manakah kita dan di manakah al-Quran?

Rate this item
(1 Vote)

Kitab al-Quran merupakan kitab yang teragung dan mulia. Ia telah menjadikan umat Arab yang hidup dalam kesesatan dan kegelapan pada zaman jahiliah, berubah menjadi umat yang mampu menguasai Empayar Parsi serta mengalahkan Empayar Rom di sebahagian timurnya.

Perubahan bangsa Arab itu berlaku setelah mereka beriman serta berpegang teguh dengan ajaran al-Quran sebagai panduan pertama dan utama dalam Islam.

 

Begitulah hakikat penurunan kitab al-Quran yang menjadi panduan serta penyuluh kehidupan manusia. Malangnya realiti yang berlaku, sungguhpun umat Islam pada zaman sekarang juga memiliki kitab al-Quran yang sama, tetapi umat Islam merupakan umat yang mundur dalam segenap perkara.

 

Apa yang berlaku bukanlah perkara yang lahir secara tiba-tiba, ia merupakan hasil interaksi yang silap terhadap al-Quran sejak sekian lama. Peranan al-Quran disudutkan hanya kepada menjadi alat untuk mendapat keberkatan, sebagai penyeri majlis-majlis rasmi, dibaca jika seseorang itu kehilangan barang.

 

Al-Quran lebih dikenali serta sinonim dengan sesuatu yang mistik dan mendatangkan keajaiban. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan seolah-olah orang yang telah mati lebih banyak mendapat kelebihan daripada al-Quran berbanding orang yang masih hidup. Al-Quran lebih banyak dibaca di sisi mayat dan di tepi kubur.

 

Istilah ‘Ahli al-Quran’ diberikan kepada mereka yang hanya menghafal huruf-huruf dan kalimat-kalimatnya. Sistem pengajian al-Quran pula lebih banyak terfokus kepada mempelajari hukum-hukum tajwid, makhraj huruf dan tarannum serta lagunya sahaja.

 

Sungguh menghairankan jika al-Quran hanya dipelajari untuk membaca, sedangkan seluruh bahan bacaan lain dibaca untuk mempelajari apa yang tertulis.

 

Ada pihak yang merasa malu apabila tidak mampu membaca al-Quran dengan baik dari segi makhraj huruf dan hukum tajwidnya, namun tidak pula berasa aib dan malu apabila tidak memahami makna ayat-ayat al-Quran. Ini tidak bermakna kita boleh mengambil sikap sambil lewa dalam mempelajari hukum tajwid serta memperelok bacaan.

 

Membaca al-Quran diungkapkan dalam bahasa Arab dengan ungkapan tilawah al-Quran, bukannya qiraah al-Quran. Kalimah tilawah berasal daripada suka kata [tala, yatlu, tilawatan] yang bermaksud berjalan di belakang sesuatu serta mengikutinya atau mengekori sesuatu.

 

Tujuan seseorang itu membaca adalah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan serta maklumat, tidak mungkin seseorang yang berakal waras membaca sesuatu bukan bertujuan memahami apa yang dibacanya.

 

Firman Allah SWT dalam surah Sad ayat 29 yang bermaksud:

 

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad) penuh dengan keberkatan (faedah dan manfaat) supaya mereka memperhatikan ayat-ayat-Nya (bagi memahaminya) dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai akal fikiran.”

 

Maka, sewajarnyalah al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah wajib difahami serta diikuti apa yang terkandung di dalamnya. Kajian secara mendalam terhadap kandungan al-Quran telah dilakukan sepanjang sejarah Islam.

 

Banyak kitab tafsir telah dikarang, bermacam-macam tesis serta jurnal telah dihasilkan berkenaan al-Quran, bahkan pelbagai bentuk kuliah tadabbur dan pengajian tafsir al-Quran diadakan.

 

Kembalikan peranan al-Quran seperti tujuan ianya diturunkan agar umat Islam kini mampu kembali menjadi gemilang seperti generasi pertama umat Nabi Muhammad SAW.

 

Ustaz Dr Syazalie Hirman bin Ahmad Najib
Ketua Hal Ehwal Syariah
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 880 times Last modified on Saturday, 14 November 2020 17:36
Our website is protected by DMC Firewall!