Print this page
Sunday, 16 September 2012 08:00

Masjid: Antara Syiar dan Tujuan

Rate this item
(0 votes)

Pembinaan masjid begitu signifikan dalam sejarah umat Islam. Malah kita sedia maklum, perkara pertama yang Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam (SAW) pilih untuk pertama sekali disegerakan adalah pembinaan masjid. Kemudiannya kita melihat dalam susur galur sirah nabawiyyah, masjid tersebut telah menjadi lebih daripada tempat solat, tetapi juga tempat bermuzakarah, tempat merancang strategi peperangan, tempat ilmu dan sebagainya.

Setelah kurun demi kurun berlalu, sudah semacam menjadi kebiasaan kita untuk membina masjid di mana sahaja tempat yang mempunyai komuniti muslim. Muncullah berbagai-bagai bentuk, pelbagai kubah dan menara. Sampai setiap satu membawa simbolik yang cukup mengkagumkan.

Kemudian setelah beberapa lama, muncul pula masalah: Kenapa masjid tidak berjaya dimakmurkan? Kenapa ia semacam tidak sama seperti di zaman kegemilangan Islam dahulu?

Makanya, kita perlu kembali semula kepada yang asal. Adakah masjid itu satu syiar (lambang)? atau satu tujuan?. Masjid itu ada padanya jiwa atau sekadar namanya?

Rasulullah SAW pada awalnya membina masjid bukanlah supaya boleh ada tempat yang baginda hendak jadikan perpustakaan ataupun satu tempat boleh dibuat kenduri-kenduri atau keramaian. Rasulullah SAW mahukan satu tempat yang semua umat Islam boleh mendekatkan diri kepada Allah (taqorrub ilallah). Satu tempat yang mana, semua umat Islam sedar akan status dia sebagai hamba Allah.

Lihat sahaja asal perkataan masjid tersebut, bukankah ia bermaksud tempat sujud? Satu tempat yang boleh kita sujud, boleh kita bersolat. Hakikatnya, tempat itu boleh diisytiharkan di mana-mana, bukan mesti ada pembesar suara, mimbar dan aksesori yang lain. Orang Melayu sahaja yang membezakan masjid, musolla dan surau.

Maka kalau mengambil pengajaran daripada sirah nabawiyyah, sewajarnya sesampai kita pada tempat baru, rumah baru atau kawasan baru, seharusnya tempat pertama yang kita harus cari, di mana tempat kita khaskan untuk sujud kepada Allah. Di mana tempat untuk kita jadikan masjid kita kerana di situlah kita diingatkan untuk mendekatkan diri pada Allah, melakukan apa sahaja yang semakin mendekatkan diri pada Allah dan menghalang diri kita untuk semakin menjauhi-Nya.

Ironinya, sampai-sampai dahulu, kita fikir di mana hendak diletak sofa, televisyen, barang itu dan ini. Kalau membuka kawasan, kita fikir di mana tempat di letak bangunan itu dan ini. Semacam masjid itu tidak menjadi prioriti lansung atau dengan kata lainnya semacam mendekatkan diri pada Allah itu tidak menjadi penting lansung.

Jadi untuk memakmurkan masjid, bukan menarik orang untuk datang ke masjid tapi lebih dari untuk menarik orang supaya lebih mendekati Allah. Semakin dia dekat pada Allah, faham dengan agamanya, maka dengan sendiri dia tahu ke mana tempat yang harus dituju.

 

Mohammad 'Aatdiff Ahmat

Pegawai Eksekutif Tabiah

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 4768 times Last modified on Wednesday, 30 November 2016 14:59
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd