wrapper

Berita Terkini

الجمعة 12 رمضان 1442   |   Friday 23 April 2021
Monday, 16 March 2020 13:26

Ana rimas la dengan apa yang berlaku...!

Rate this item
(4 votes)

"Dulu ana merasa semangat dalam dakwah, tapi belakangan ini rasanya semakin hambar, ukhuwah semakin kering. Bahkan ana melihat ikhwah dan akhawat semakin ramai yang pelik-pelik perangainya." Begitu keluh kesah seorang akh terhadap murabbinya pada suatu malam.

Sang murabbi hanya terdiam, cuba terus memahami semua kecamuk dalam diri mutarabbinya. "Lalu, apa yang ingin akhi lakukan setelah merasakan semua itu?" sahut sang murabbi setelah termenung.

 

“Ana ingin berhenti saja, keluar daripada jamaah tarbiah ini. Ana kecewa dengan perilaku beberapa ikhwah dan akhawat yang semakin tidak islamik.

 

"Ana juga semakin bosan dengan organisasi dakwah yang ana anggotai ini, kaku dan sering mematikan potensi anggota-anggotanya. Kalau macam ni terus, ana rasa kecewa, rasa keseorangan, stres..." jawab akh tersebut.

 

Sang murabbi termenung kembali, tidak nampak raut terkejut daripada wajahnya. Sorotan matanya tetap kelihatan tenang, seakan jawapan itu memang telah diketahuinya sejak awal.

 

"Akhi, jika anta naik sebuah kapal mengharungi lautan luas. Setelah berada di tengah laut, anta dapati kapal itu rupa-rupanya sebuah kapal lama yang banyak masalah.

 

"Kain layarnya banyak berlubang, kayunya banyak yang lapuk bahkan kabinnya teramat kotor. Lalu, apa yang akan anta lakukan untuk tetap sampai kepada 'tujuan'?" tanya sang murabbi dengan kiasan membawa maksud yang mendalam.

 

Akh tersebut diam berfikir, terasa seperti diumpan sebalik kiasan tajam murabbinya.

 

"Apakah anta memilih untuk terjun ke laut dan berenang saja untuk sampai 'tujuan'?" sang murabbi cuba mengumpan lagi.

 

"Setelah terjun ke laut, seketika anta akan merasa tenang, seolah-olah bebas daripada bau hapak kapal buruk tersebut, menikmati kesegaran udara dan air laut, bahkan bebas bermain dengan ikan lumba-lumba.

 

"Namun semua itu hanya sementara sahaja. Mampukah anta untuk berenang hingga ke 'tujuan'? Bagaimana jika ikan jerung datang? Apa yang anta nak makan dan minum di tengah-tengah lautan luas itu? Belum lagi mengambil kira kedinginan malam serta ombak dan gelombang ganas."

 

Sederet pertanyaan dilontarkan pada akh tersebut lalu membuatkannya berasa kelu.

 

“Akhi, apakah anta masih merasakan bahawa jalan dakwah adalah jalan yang paling utama menuju reda Allah?" Pertanyaan ini menerjah jiwa sang mutarabbi serentak dia mengangguk.

 

"Bagaimana pula jika kereta yang anta naiki dalam menempuh jalan itu tiba-tiba ada masalah lalu rosak di tengah perjalanan?

 

"Adakah anta turun berjalan kaki meninggalkan kereta itu di tepi jalan, atau anta akan berusaha melihat apa masalahnya serta cuba memperbaikinya?" tanya sang murabbi lagi.

 

Sang mutarabbi terus terdiam dalam tangis sendu perlahannya. Tiba-tiba dia mengangkat tangannya.

 

"Cukup, cukup. Ana sedar, maafkan ana, ana akan tetap istiqamah. Ana berdakwah bukan untuk mendapat pingat kehormatan atau agar setiap pendapat ana diterima..."

 

"Biarlah yang lain dengan urusan peribadi masing-masing. Ana akan tetap berjalan dalam dakwah ini insya-Allah. Hanya Allah sahaja yang akan membahagiakan ana kelak dengan janji-janji-Nya.

 

"Biarlah segala kepedihan yang ana rasakan jadi pelebur dosa-dosa ana," tekad akh itu di hadapan murabbinya. Sang murabbi tersenyum.

 

"Akhi, jamaah ini adalah jamaah manusia. Mereka adalah kumpulan insan yang punya banyak kelemahan. Namun di samping kelemahan-kelemahan itu, masih amat banyak kebaikan yang mereka miliki.

 

"Mereka adalah peribadi-peribadi yang menyambut seruan Allah untuk berdakwah. Mereka sedang berusaha menjadi manusia terbaik pilihan Allah melalui jamaah ini."

 

"Jika terdapat sedikit sebanyak kelemahan dan kesalahan mereka, janganlah hal itu mendominasi keputusan dan perasaan kita.

 

"Sebagaimana Allah menghapus dosa manusia dengan amal baik mereka, hapuslah kesalahan mereka di mata kita dengan kebaikan-kebaikan mereka terhadap dakwah selama ini.

 

"Boleh jadi di mata Allah, belum tentu amal kita lebih baik daripada amal mereka. Futur, mundur, kecewa atau bahkan berpaling menjadi lawan bukanlah jalan yang masuk akal," sambungnya panjang lebar.

 

Sang mutarabbi termenung merenungi setiap kalimat murabbinya. Namun, masih terdapat satu perkara lagi yang masih bergelut di hatinya.

 

"Tapi bagaimana ana mampu memperbaiki organisasi dakwah ini dengan diri ana sendiri pun masih lemah?"

 

"Siapa kata diri kita lemah dan tiada keupayaan? Apakah Allah mewahyukan begitu? Akhi, setiap manusia punyai keupayaan yang berbeza mengikut kapasiti masing-masing!" sahut sang murabbi.

 

"Beramallah dengan ikhlas, berilah nasihat dalam kebenaran, kesabaran dan kasih sayang. Singkirkan segala 'ghil' (dengki, dendam, benci, iri hati) kita terhadap satu sama lain."

 

Malam itu, akhirnya akh tersebut menyedari kekhilafannya. Dia bertekad untuk tetap tsabat (teguh) dalam mengharungi dakwah.

 

Adaptasi: belajarislam.com

Read 1470 times Last modified on Monday, 16 March 2020 13:33

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!