wrapper

Berita Terkini

السبت 8 ربيع الأوّل 1442   |   Saturday 24 October 2020
Tuesday, 07 July 2020 14:12

Bahana memuji diri

Written by Ustazah Maznah Daud
Rate this item
(0 votes)


Apakah tanggapan anda kepada seseorang yang suka bercerita tentang kebaikan dirinya seperti dia berkata “Saya tak pernah tinggal solat tahajud setiap malam, saya solat duha lapan rakaat setiap hari, saya memperuntukkan separuh daripada pendapatan saya setiap bulan untuk didermakan kepada golongan yang memerlukan dan saya sekian dan sekian…!”?

Tidak dinafikan bahawa fitrah manusia suka kepada kebaikan dan suka kepada orang yang melakukan kebaikan. Namun, adakah anda bersetuju jika saya katakan bahawa manusia lebih suka melihat kebaikan yang kita  lakukan daripada mendengar kita bercerita tentang kebaikan yang kita lakukan?

 

Sifat suka memuji diri sendiri bukan sahaja kurang disenangi oleh kebanyakan orang, malah ia dilarang dan dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Allah SWT berfirman maksudnya: 

 

“Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? Bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikit pun.” (An-Nisaa' : 49) 

 

Kebanyakan mufassirin (ulama tafsir) berkata bahawa ayat ini diturunkan untuk menegur kaum Yahudi yang menganggap diri mereka dan anak-anak mereka bersih daripada sebarang dosa.

 

Sebahagian mereka berpendapat bahawa ayat ini diturunkan untuk mengecam mereka yang saling memuji dan menyucikan diri daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.

 

Al-Miqdad bin al-Aswad RA berkata: “Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya menabur pasir ke muka orang-orang yang suka memuji.” (Hadis Riwayat Muslim)

 

Daripada Abdullah bin Abi Bakrah, daripada ayahnya RA bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji-muji seorang lelaki lain. Baginda pun bersabda: “Buruknya engkau! Engkau memotong leher sahabatmu!”

Kemudian baginda menyambung: “Sekiranya seseorang kamu tidak boleh mengelak daripada memuji sahabatnya, hendaklah dia berkata: “Pada sangkaanku dia adalah begini.” Janganlah dia menyucikan seseorang kerana hal itu adalah hak Allah semata-mata.” (Muttafaq ‘alaih)

 

Ibn Mardawaih meriwayatkan bahawa Umar RA pernah berkata: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah seseorang yang mengagumi pandangannya  sendiri (tentang dirinya). Sesiapa yang berkata bahawa dia alim, maka dia jahil. Sesiapa yang berkata dia pasti masuk syurga, maka dia pasti masuk neraka.”

 

Hadis-hadis di atas menunjukkan Nabi SAW tidak menggalakkan seseorang memuji sahabatnya secara berlebih-lebihan. Kalau terpaksa, ucapkan secara sederhana dan berlapik seperti yang anjurkan oleh baginda SAW “pada sangkaanku begini” iaitu nyatakan kebaikan apa yang hendak dipuji itu dengan menyatakan bahawa ini adalah sangkaan kita sahaja.

 

Kenapakah Islam melarang penganutnya memuji diri sendiri atau orang lain secara berlebih-lebihan? Bukankah pujian itu merupakan mengiktirafan dan menjadi satu galakan untuk bekerja dengan lebih gigih dan bersemangat?

 

Islam menekankan keikhlasan dalam beramal. Ujub atau kagum pada diri sendiri dan riak atau menunjuk-nunjuk adalah dua sifat yang berlawanan dengan ikhlas. Pujian yang berlebihan-lebihan akan menjerumuskan seseorang kepada salah satu daripada dua sifat tersebut iaitu ujub atau riak.

 

Apabila kedua-duanya menyelinap di dalam hati, ikhlas pun tersingkir, amalan tidak lagi bernilai di sisi Allah SWT. Ia laksana debu yang berterbangan ditiup angin yang kencang walaupun asalnya kelihatan seperti timbunan bukit yang tinggi menjulang awan. Allah SWT berfirman maksudnya:

 

“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan daripada jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (Al-Furqaan : 23)

 

Dari segi yang lain pula, sebagai manusia, penilaian kita amat terbatas. Kita melihat seseorang hanya pada zahirnya sahaja. Hakikat sebenar hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Lantaran itu Allah ingatkan kita dalam firman-Nya yang bermaksud:

 

“Bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikit pun.” (An-Nisaa’ : 49)

 

Hanya Allah SWT jua yang benar-benar mengetahui keadaan setiap hamba-Nya dan Dia tidak tersilap dalam penilaian-Nya kerana Dia mengetahui segala yang nyata mahupun yang tersembunyi.

 

Diriwayatkan bahawa seorang salaf apabila dipuji oleh seseorang, beliau berdoa:

“Ya Allah, Engkau lebih mengetahui tentang diriku daripadaku sendiri, dan aku lebih mengetahui tentang diriku daripada mereka. Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik daripada apa yang mereka sangka, dan ampunkanlah aku apa yang mereka tidak tahu tentang aku, dan janganlah Engkau salahkan aku tentang apa yang mereka kata mengenai diriku!”

 

Ada yang percaya bahawa doa itu lahir daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA namun ianya tidak sabit.

 

Walau bagaimanapun, ia merupakan satu peringatan yang sangat baik dan berguna untuk mengingatkan diri kita agar tidak mudah terpedaya dengan pujian dan sanjungan manusia, di samping mengelakkan diri daripada sifat suka memuji diri sendiri.

 

Ingat asal kita dari mana dan akan kembali ke mana serta siapa yang menghitung dan membalas amalan kita.

Read 402 times Last modified on Tuesday, 07 July 2020 14:23

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!