wrapper

Berita Terkini

الخميس 6 ربيع الأوّل 1442   |   Thursday 22 October 2020
Thursday, 18 June 2020 13:21

Para rasul berakhlak terpuji, menentang yang keji

Written by Ustazah Maznah Daud
Rate this item
(0 votes)


Serangkap syair yang masyhur nukilan penyair terkenal berasal dari Mesir, Ahmad Syauqi (1868-1932) tentang akhlak mafhumnya:

“Sesungguhnya kewujudan bangsa-bangsa itu selagi ada akhlaknya. Sekiranya akhlak mereka telah tiada, merekapun turut tiada.”

 

Ungkapan ini selari dengan ajaran Islam yang menjadikan neraca kesempurnaan iman seseorang mukmin itu pada akhlaknya. Dalam sepotong hadis, Nabi SAW bersabda maksudnya:

 

“Orang-orang beriman yang paling sempurna imannya ialah yang paling elok akhlaknya.” (HR Abu Daud dan lain-lain)

 

Baginda SAW sendiri merupakan insan yang paling tinggi akhlaknya. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

 

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam 68:4) 

 

Selain Nabi Muhammad SAW, Allah SWT juga memuji akhlak rasul-rasul yang lain. Contohnya Allah memuji:

 

i. Nabi Nuh AS: “Sesungguhnya dia adalah seorang hamba yang bersyukur.” (Al-Israa' 17:3)

ii. Nabi Ismail AS: “Sesungguhnya dia adalah benar menepati janji dan adalah dia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.” (Maryam 19:54)

iii. Nabi Isa AS: “Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Maryam 19:32) 

iv. Nabi Yahya AS: “Dan dia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan dia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.” (Maryam 19:14)

 

Allah SWT juga merakamkan bahawa mereka bukan sahaja memiliki akhlak yang sangat mulia, malah mereka turut berjuang bermatian-matian melawan kemungkaran dan keruntuhan akhlak kaum mereka.

 

Dakwah mereka bukan sekadar mengajak kaum mereka menyembah Allah Yang Esa dan menjauhi penyembahan berhala serta tuhan-tuhan palsu yang lain, sebaliknya mereka mengkritik dan mengecam akhlak dan budaya buruk yang diamalkan oleh kaum mereka.

 

Sebagai contoh, marilah kita menelusuri sebahagian kisah mereka.

 

Nabi Nuh AS berhadapan dengan kaumnya yang sombong, menghina dan memandang rendah kepada golongan bawahan yang miskin sehinggakan mereka menjadikan alasan tidak mahu menyahut seruan Nuh agar beriman kepada Allah semata-mata kerana pengikut Nuh AS terdiri daripada golongan yang hina-dina pada pandangan mereka.

 

Mereka menjawab: "Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)?" (Asy-Syu'araa' 26:111)

 

Cemuhan mereka dijawab oleh Nuh AS:

Nabi Nuh berkata: "Dan apalah ada kaitannya pengetahuanku dengan (pangkat dan) pekerjaan mereka? Sebenarnya hitungan amal mereka hanya terserah kepada Tuhanku; kalaulah kamu menyedari dan memahaminya (kamu tidak berkata demikian).” (Asy-Syu'araa' 26:112-113) 

 

Hud AS pula menegur kaumnya yang suka bermewah-mewah dan bermegah-megah dengan harta dan pembangunan material yang hebat di samping berkelakuan keji dan ganas terhadap golongan bawahan.

 

“Patutkah kamu mendirikan pada tiap-tiap tempat yang tinggi bangunan-bangunan yang tersergam, padahal kamu tidak membuatnya dengan sesuatu tujuan yang baik. Dan kamu pula bersusah payah mendirikan istana-istana dan benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak kekal hidup selama-lamanya? Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis?” (Asy-Syu'araa' 26:128-130)

 

Nabi Soleh AS mengkritik kaumnya yang bermewah-mewah dengan hasil pertanian dan pembangunan kebendaan yang tidak kurang seperti kaum Nabi Hud AS.

 

“Adakah (kamu fikir), bahawa kamu akan dibiarkan sentiasa bersenang-senang dalam nikmat-nikmat yang ada di dunia ini? Dalam taman-taman (yang indah permai) dan mata air-mata air (yang mengalir) dan kebun-kebun tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang buah mayangnya halus lembut? Dan kamu memahat sebahagian daripada gunung-ganang sebagai tempat tinggal - dengan bijak dan bersungguh-sungguh?” (Asy-Syu'araa' 26:146-149) 

 

Nabi Lut AS mengecam kaumnya yang mengamalkan hubungan sejenis secara terang-terangan tanpa segan dan silu.

 

“Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki daripada kalangan manusia, dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) daripada badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas!" (Asy-Syu'araa' 26:165-166)

 

Nabi Syuaib AS berhadapan dengan kaum yang tidak amanah dalam urusan perniagaan. Dan beliau dengan lantang menegur perbuatan yang mungkar itu.

 

“Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak-gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya. Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi.” (Asy-Syu'araa' 26:181-183) 

 

Contoh-contoh yang dikemukakan di atas jelas menunjukkan landasan serta hala tuju perjuangan para nabi dan rasul sejak Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW bukan hanya sekadar mengajak manusia melakukan ibadah khusus seperti solat, puasa dan zikir semata-mata.

 

Sebaliknya, mereka diutuskan untuk menentang sebarang bentuk kemungkaran dan akhlak yang keji, dan membina kehidupan berlandaskan nilai murni dan akhlak terpuji.

Read 224 times Last modified on Thursday, 18 June 2020 13:28

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd