Simpan Duit Raya Anak Melalui Aplikasi THiJARI

Simpan Duit Raya Anak Melalui Aplikasi THiJARI | IKRAM

Umat Islam masih dalam mood sambutan Hari Raya Aidilfitri. Hari raya merupakan sambutan kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa di madrasah Ramadan. Umat Islam tidak kira peringkat umur merayakannya dengan penuh kesederhanaan dan kesyukuran.

Seperti kebiasaannya, golongan kanak-kanak merupakan golongan yang paling seronok dan ternanti-nanti akan hari raya ini kerana bakal mendapat habuan dalam bentuk duit raya.

Pada pendapat penulis, ia merupakan budaya yang baik jika dilakukan dengan kesederhanaan dan dapat menyuburkan budaya bersedekah. Rata-rata nilai duit raya yang diberikan sekarang bukanlah seperti dahulu. Majoriti duit raya yang diberikan kini sama ada sama atau lebih daripada RM5.00.

Sebagai ibu bapa, sangat penting untuk kita menguruskan duit raya anak-anak ini dengan cara yang berhemah dan bijaksana. Penulis ingin memberikan galakan kepada ibu bapa agar menyalurkan duit raya ini dengan menyimpannya di Tabung Haji (TH) melalui pembukaan akaun simpanan kanak-kanak.

Jika sudah cukup nilai tertentu iaitu RM1,300, digalakkan untuk ibu bapa terus mendaftar haji untuk anak masing-masing. Perkara ini boleh membantu anak-anak untuk memasuki giliran menunai fardu haji secara lebih awal. 

Anak-anak ini akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapat tawaran mengerjakan ibadah haji pada masa akan datang. Selain itu, TH juga dikenali dengan simpanan yang dijamin selamat dengan menjanjikan pulangan yang memuaskan.

Artikel ini akan menerangkan tatacara untuk membuka akaun simpanan kanak-kanak TH menggunakan aplikasi rasmi pihak TH iaitu THiJARI.         

Seterusnya, artikel ini juga akan memberi gambaran berkaitan senarai perkhidmatan yang ditawarkan oleh THiJARI dan kelebihan menggunakan aplikasi THiJARI untuk urusan berkaitan pengurusan haji dan seumpamanya.

Apa itu aplikasi THiJARI?

Aplikasi THiJARI ialah sebuah rangkaian perkhidmatan digital Tabung Haji yang mula beroperasi pada 5 Februari 2020 bagi memudahkan urusan pendeposit untuk melakukan pelbagai transaksi berkaitan hanya di hujung jari.

Bukan sekadar semakan baki akaun dan rekod transaksi, aplikasi ini juga membolehkan pendeposit melakukan pindahan simpanan akaun TH, mengemas kini profil dan muat turun serta mencetak penyata akaun.

Menariknya lagi, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play atau App Store ini memudahkan para pendeposit menyemak status pendaftaran haji, memuat turun slip pendaftaran haji, menyemak status tawaran haji, jadual penerbangan pergi dan balik serta semakan lokasi dan tarikh khusus beserta nota kursus asas haji.

Seiring namanya iaitu THiJARI, semua urusan berkaitan institusi kewangan Islam itu kini mampu dilakukan dengan mudah di hujung jari di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Langkah pertama untuk menggunakan aplikasi ini ialah dengan melakukan pendaftaran akaun THiJARI melalui laman berikut: https://www.thijari.com.my. Setelah akaun diaktifkan, barulah pendeposit boleh memuat turun aplikasi dan log masuk untuk menggunakan keseluruhan fungsi aplikasi ini.

Cara menggunakan aplikasi THiJARI untuk mendaftar Akaun Simpanan Kanak-Kanak

Untuk menggunakan Aplikasi THiJARI, pertamanya anda perlu memuat turun sama ada melalui Google PlayStore atau Apple AppStore dan memasang aplikasi pada telefon pintar. Ia disediakan secara percuma.

Jika ruang storan telefon pintar anda hampir penuh, anda juga boleh menggunakan versi web aplikasi ini melalui  alamat URL berikut: https://www.thijari.com.my

Seterusnya, anda perlu mendaftar akaun aplikasi THiJARI. Anda hanya perlu mengisi beberapa ruangan wajib yang diminta. Selesai pendaftaran akaun, anda perlu log masuk ke aplikasi THiJARI. 

Seterusnya akan tertera menu pilihan perkhidmatan yang disediakan oleh aplikasi ini. Untuk mendaftar akaun kanak-kanak, anda perlu menavigasi ke menu tepi sebelah kiri dan klik pada submenu Pembukaan Akaun Kanak-Kanak. 

Satu borang dalam talian akan dipaparkan. Anda perlu mengisi butiran yang dikehendaki antaranya nama penuh anak, tarikh lahir, nombor surat beranak, nombor MyKid/MyKad, agama dan warganegara. Setelah selesai mengisi butiran dengan lengkap, anda akan menerima emel pengesahan daripada pihak TH. 

Langkah berikutnya ialah anda perlu pergi ke cawangan Tabung Haji terdekat dan membawa dokumen-dokumen seperti MyKad ibu/bapa, MyKid anak dan surat beranak anak untuk tujuan pengesahan biometrik dan dokumen pengenalan.

Setelah pegawai yang bertugas memberi pengesahan, bermakna anda telah selesai membuka akaun simpanan untuk anak anda. Pada peringkat ini, anda juga boleh mendepositkan duit raya anak anda ke akaun mereka masing-masing.

Yang berikut ialah langkah-langkah yang telah saya ringkaskan untuk menggunakan Aplikasi THiJARI dalam urusan pembukaan akaun kanak-kanak:

  1. Muat turun aplikasi THiJARI: Pertama, muat turun aplikasi THiJARI dari Google Play Store (untuk peranti Android) atau App Store (untuk peranti iOS) atau gunakan versi web (https://www.thijari.com.my)
  2. Daftar atau log masuk:  Buka aplikasi THiJARI dan daftar akaun baru jika anda belum mempunyai akaun. Jika sudah mempunyai akaun, log masuk dengan maklumat pengenalan diri yang betul.
  3. Pilih menu Pembukaan Akaun Kanak-Kanak: Setelah log masuk, lihat pada menu tepi sebelah kiri dan pilih menu Pembukaan Akaun Kanak-Kanak.
  4. Pengisian butiran maklumat akaun kanak-kanak: Isi butiran yang diperlukan seperti nama, no Mykid/Mykad, tarikh lahir dan agama serta butiran lain yang berkaitan.
  5. Hantar permohonan: Pastikan semua butiran yang disi dengan lengkap dan betul. Setelah anda klik butang Hantar, anda akan menerima emel pengesahan daripada pihak TH.
  6. Pergi ke cawangan TH yang berdekatan: Hadir ke mana-mana cawangan TH dengan membawa MyKad ibu/bapa, MyKid anak, surat beranak anak dan amaun deposit permulaan (duit raya) bagi membuat pengesahan biometrik dan dokumen pengenalan.
  7. Selesai!: Setelah pegawai yang bertugas memberi pengesahan, bermakna anda telah selesai membuka akaun simpanan untuk anak anda.

Senarai perkhidmatan lain yang ditawarkan aplikasi THiJARI

THiJARI merupakan platform dalam talian yang disediakan oleh TH untuk memudahkan pendeposit TH. Yang berikut ialah perkhidmatan yang ditawarkan dalam sistem aplikasi THiJARI:

  1. Urusan simpanan dan pengeluaran:  Pendeposit TH boleh melakukan semakan ringkasan, butiran akaun, rekod transaksi, baki akaun serta pindahan simpanan dari akaun TH ke akaun TH (termasuk akaun tanggungan dan pihak ketiga). Mereka juga dapat membuat pindahan simpanan dari akaun bank ke akaun TH melalui platform FPX. Pendaftaran, penyelenggaraan dan pembatalan Direct Debit melalui akaun bank ke akaun TH juga boleh dilakukan melalui platform eMandate Direct Debit. Pengemaskinian profil juga tersedia dan pendeposit boleh memuat turun penyata akaun serta menetapkan akaun kegemaran.
  2. Pembukaan akaun baharu: Bakal pendeposit TH boleh membuka akaun baharu TH untuk orang dewasa dan kanak-kanak bagi memudahkan urusan proses pembukaan akaun.
  3. Urusan haji: Pendeposit TH boleh memeriksa status pendaftaran haji dan memuat turun slip pendaftaran haji. Urusan tawaran haji, surat tawaran, semakan status dan menjawab tawaran haji juga boleh diakses melalui THiJARI. Pendeposit TH juga boleh menyemak dan memuat turun jadual penerbangan pergi dan balik. Program Kursus Asas Haji juga tersedia dan pendeposit boleh memeriksa lokasi dan tarikh kursus serta memuat turun nota Kursus Asas Haji. Rayuan haji juga boleh dibuat melalui THiJARI.
  4. Penamaan/Hibah Amanah: Pendeposit TH boleh menyemak status Penamaan/Hibah Amanah bagi akaun sendiri dan juga akaun anak.
  5. Kelab TaHa: Nombor keahlian baru Kelab TaHa boleh didapati di menu E-Kad keahlian dan tawaran eksklusif untuk ahli Kelab TaHa boleh disemak di menu Rakan Kelab TaHa di THiJARI.
  6. Agihan potongan gaji: Pendeposit TH boleh membuat caruman potongan gaji bulanan yang boleh diagihkan kepada pendeposit/ahli keluarga (akaun TH yang aktif).
  7. Permohonan Pindahan eTelegrafik: Membolehkan pendeposit TH melakukan transaksi pindahan wang dari akaun TH ke akaun bank sendiri sahaja melalui Permohonan Pindahan eTelegrafik di THiJARI.
  8. eBorang: Pendeposit TH boleh mengisi Borang JP yang terdapat dalam menu eBorang pada ‘Landing Page’ THiJARI untuk memudahkan urusan di kaunter TH. Terdapat lapan (8) borang yang disediakan termasuk borang Permohonan Pengeluaran Pusaka, borang Akuan Waris Pengeluaran Pusaka dan lain-lain.

Kelebihan aplikasi THiJARI

Aplikasi THiJARI menawarkan pelbagai kelebihan yang memudahkan pendeposit Tabung Haji dalam urusan perbankan dan haji. Yang berikut adalah beberapa kelebihan utama aplikasi ini:

  1. Memudahkan pembukaan akaun Tabung Haji (TH): THiJARI memudahkan bakal pendeposit membuka akaun Tabung Haji dengan lebih cepat dan mudah melalui aplikasi. Proses pembukaan akaun baru boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu ke kaunter Tabung Haji.
  2. Mematuhi syariah Islam: THiJARI memastikan semua perkhidmatan dan transaksi berlandaskan prinsip-prinsip syariah. Ia memastikan pendeposit dapat melaksanakan urusan perbankan dengan mematuhi nilai-nilai agama Islam.
  3. Menyantuni para duyufurrahman (Jemaah Haji): THiJARI memudahkan pendeposit menyemak status pendaftaran haji dan memuat turun slip pendaftaran haji. Jadual penerbangan pergi dan balik juga boleh diperiksa melalui aplikasi ini, memudahkan jemaah haji dalam merancang perjalanan mereka.
  4. Dijamin oleh kerajaan: THiJARI ialah platform rasmi yang disediakan oleh Tabung Haji sendiri. Kebolehpercayaan dan jaminan kerajaan memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan yang disediakan.
  5. Dikecualikan daripada cukai: Simpanan dalam akaun Tabung Haji tidak dikenakan cukai. Ia memberi manfaat kepada pendeposit kerana pulangan yang diperoleh tidak terjejas oleh cukai.
  6. Ditunaikan kewajipan zakat: Pendeposit Tabung Haji secara tidak langsung menunaikan kewajipan zakat melalui pelaburan dalam projek-projek yang mematuhi prinsip syariah. 
  7. Tiada had simpanan: Pendeposit boleh menyimpan sebanyak yang mungkin dalam akaun Tabung Haji tanpa had tertentu. Ini membolehkan pendeposit merancang simpanan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

Penutup

Kesimpulannya, aplikasi THiJARI oleh pihak TH sangat membantu ibu bapa yang berminat untuk membuka akaun simpanan kanak-kanak kepada anak masing-masing.

Ia boleh menjadi persiapan awal kepada kanak-kanak tadi dalam urusan menunaikan fardu haji pada masa hadapan. Penambahbaikan yang diharapkan kepada aplikasi ini ialah proses pengesahan dokumen dan pemindahan deposit awal dapat ditransformasi kepada bentuk digital, contohnya pengguna hanya perlu memuat naik dokumen untuk tujuan pengesahan.

Pengguna juga boleh memindahkan deposit awal melalui aplikasi pembayaran secara dalam talian seperti FPX, eWallet dan seumpamanya.

Jika perkara tersebut dilakukan, pengguna tidak perlu lagi hadir ke cawangan TH yang terdekat kerana segala urusan boleh dilakukan 100 peratus di hujung jari. Diharapkan aplikasi ini dapat memupuk budaya menyimpan dan seterusnya dapat meningkatkan kuasa ekonomi umat Islam.

Ts. Mohd Fitri Edros merupakan Ketua Bahagian Infrastruktur ICT di Pusat Pengurusan & Pembangunan Digital, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia