Ramadan: Persiapan Diri Menyambut Tetamu Agung

Ramadan: Persiapan Diri Menyambut Tetamu Agung | IKRAM

Ramadan adalah tamu agung yang kedatangannya selalu dinanti-nantikan oleh mereka yang beriman dan bertakwa. Ramadan akan segera mendatangi. Bagaimana persiapan diri menghadapi tetamu agung dan penuh kemuliaan dan barakah ini?

Menyambut kehadiran Ramadan yang agung tentu persiapan yang dilakukan tidaklah sama dengan menyambut tetamu biasa yang mengunjungi rumah kita. Sewajarnya ia perlulah lebih rapi dan bersedia dengan bekalan-bekalan yang secukupnya. Ia tidaklah mungkin akan terwujud kecuali jika kita mempersiapkan diri dengan persiapan yang sebaiknya dan bersungguh-sungguh. 

Ramadan adalah bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan. Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda bahawa, Ramadan adalah bulan penghulu (pemimpin) daripada sebelas bulan yang lainnya. Hanya mereka yang mengetahui keistimewaan Ramadan saja yang akan bergembira dan bahagia apabila Ramadan akan bertamu.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:

وَلَوْ أَرَادُوا الْخُرُوجَ لأعَدُّوا لَهُ عُدَّةً وَلَكِنْ كَرِهَ اللَّهُ انْبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ اقْعُدُوا مَعَ الْقَاعِدِينَ

“Dan jika mereka ingin berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu.” (at-Taubah: 46)

Demikianlah perlunya ada persiapan! Jadi, sedari kini perlulah kita mempersiapkan diri menyambut tetamu Ramadan. Sebagaimana dalam ayat di atas, mereka dihukum dengan berbagai-bagai bentuk kelemahan dan kehinaan disebabkan keengganan mereka untuk melakukan persiapan.

Bersedialah kita mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Bagaimana caranya? Langkah-langkah berikut ini tentunya dapat membantu kita meraikan Ramadan yang bertamu.

1. Mengulangkaji ilmu berkaitan dengan puasa

Hendaklah kita memasuki dan mengerjakan puasa Ramadan dengan ilmu dan pengetahuan, pedoman-pedoman yang baik, serta pengalaman-pengalaman yang telah lalu. Pelajaran berkaitan rukun, syarat sah, syarat batalnya puasa, perkara-perkara sunnah dan makruh, serta hikmah yang terkandung dalamnya perlulah diulang agar lebih memahamkan diri melaksanakan perintah Rukun Islam ke-3 ini.

Umar bin ‘Abdul ‘Aziz berkata: “Barangsiapa yang beribadah kepada Allah tanpa ilmu, maka dia akan membuat banyak kerosakan daripada mendatangkan kebaikan.”  (Al-Amru bil Ma’ruf, hal: 15)

2. Mempersiapkan diri dengan amal-amal kebaikan

Menenangkan jiwa dalam menyambut kehadiran Ramadan. Sebagaimana Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat mempersiapkan kedatangan Ramadan sejak enam bulan sebelum bulan tersebut tiba.

Selain itu, memperbanyakkan amal kebaikan adalah merupakan salah satu bentuk keseriusan dan sungguh-sungguh dalam memuliakan datangnya Ramadan. Terutama pada bulan Sya’ban, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam mengisinya dengan membanyakkan berpuasa pada bulan ini sebagai persiapan menghadapi bulan Ramadan.

Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid radhiallahu ‘anhuma bahawasanya beliau berkata: “Ya Rasulullah! Saya tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan dibanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa pada bulan Syaaban?” Baginda Rasul menjawab, “Itu adalah bulan yang banyak manusia melalaikannya, terletak antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan amalan-amalan diangkat menuju Rabb semesta alam. Dan saya suka jika amalanku diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.” (HR an-Nasa’i)

3. Memperbanyak doa sejak bulan ini (Rejab dan Sya’ban)

Perbanyakkan doa agar Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan kesihatan yang baik, tenaga, kelapangan, dan kesempatan mengerjakan puasa Ramadan pada kali ini. Selain itu, berdoalah agar Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya agar kita dapat berpuasa dengan hati yang ikhlas, jujur, bersemangat dan jauh daripada riya’, ujub dan segala penyakit yang menghilangkan pahala puasa.

4. Semangat

Bersedia dan bersemangat untuk melaksanakan segala latihan dan ujian pada bulan Ramadan dengan sempurna agar kita memperoleh tingkatan atau darjat sebagai muttaqin (orang yang bertakwa).

5. Memelihara perkataan dan mengawal perbuatan

Mempersiapkan diri untuk menjalani ibadah puasa dengan perkataan dan perbuatan yang baik dengan sepenuh hati serta ikhlas semata-mata kerana Allah.

6. Memanfaatkan waktu

Tinggalkan kebiasan-kebiasan yang memberatkan dan merugikan diri seperti berbelanja berlebihan, tenggelam dalam hiburan, membuang waktu dan melakukan perbuatan yang tidak mendatangkan faedah, kerana perkara tersebut sangat bertentangan dengan hikmah puasa.

7. Azam dan cita-cita yang tinggi

Sambutlah Ramadan dengan azam (tekad) dan cita-cita yang tinggi iaitu dengan mempertingkatkan ibadah pada pagi dan malam hari bagi melatih diri dan menyucikan jiwa. Caranya dengan memulakan ‘warm up’ kualiti dan kuantiti ibadah kita sedari bulan Rajab dan Sya’ban lagi.

Para Sahabat mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan sebaik-baiknya. Sebagaimana ulama salaf mengatakan:

كَانُوا يَدْعُوْنَ اللهَ سِتَّةَ أَشْهُرٍ أَنْ يُبَلِّغَهُمْ شَهْرَ رَمَضَانَ ثُمَّ يَدْعُوْنَ اللهَ سِتَّةَ أَشْهُرٍ أَنْ يَتَقَبَّلَهُ مِنْهُمْ

”Mereka (para sahabat) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar mereka dapat berjumpai dengan bulan Ramadan.”

Tindakan mereka adalah menyatakan kerinduan akan datangnya bulan Ramadan. Tentunya, mereka tidak hanya berdoa, tetapi persiapan menyambut Ramadan mereka iringi dengan pelbagai amal ibadah.

Abu Bakr al-Warraq al-Balkhi rahimahullah mengatakan:

شهر رجب شهر للزرع و شعبان شهر السقي للزرع و رمضان شهر حصاد الزرع

“Rajab adalah bulan untuk menanam, Syaaban adalah bulan untuk mengairi dan Ramadan adalah bulan untuk menuai.”

Sebahagian ulama yang lain mengatakan:

السنة مثل الشجرة و شهر رجب أيام توريقها و شعبان أيام تفريعها و رمضان أيام قطفها و المؤمنون قطافها جدير بمن سود صحيفته بالذنوب أن يبيضها بالتوبة في هذا الشهر و بمن ضيع عمره في البطالة أن يغتنم فيه ما بقي من العمر

“Waktu setahun itu laksana sebuah pohon. Bulan Rejab adalah waktu menumbuhkan daun, Syaaban adalah waktu untuk menumbuhkan dahan, dan Ramadan adalah bulan menuai hasilnya, penuainya adalah kaum mukminin. (Oleh kerana itu), mereka yang ‘menghitamkan’ catatan amal mereka hendaklah bergegas ‘memutihkannya’ dengan taubat pada bulan-bulan ini, sedang mereka yang telah mensia-siakan umurnya dalam kelalaian, hendaklah memanfaatkan sisa umur yang dipinjamkan-Nya dengan sebaik-baiknya (dengan mengerjakan ketaatan) pada waktu tesebut.”

8. Ucapkan tahniah kepada saudara seiman

Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasa’i daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sentiasa menggembirakan para sahabat baginda ketika tibanya bulan Ramadan.

Rasulullah menggembirakan para sahabat sebagaimana sabdanya:

“Sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang diberkati, Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Pada bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, dikunci semua pintu neraka, dibelenggu semua syaitan. Di malamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperoleh kebajikan pada malam itu, bererti diharamkan baginya segala kebaikan untuk dirinya.”

Sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam:

“Telah datang kepada kalian Ramadan bulan penuh berkah. Allah mewajibkan ke atas kalian berpuasa. Pintu langit dibuka dan pintu neraka ditutup.”

[HR an-Nasai dalam kitab Shahih Al Jami’ no.55]

Agar buah dapat dipetik pada bulan Ramadan, harus ada benih yang disemai, dan ia harus subur sehingga menghasilkan buah yang rimbun. Puasa, qiamullail, bersedekah, dan pelbagai amal soleh di bulan Rejab dan Syaaban, semua itu untuk menanam amal soleh pada bulan Rejab dan disuburkan pada bulan Syaaban. Tujuannya agar kita dapat menuai kelazatan puasa dan beramal soleh pada bulan Ramadan, kerana lazatnya Ramadan hanya mampu dirasakan dengan kesabaran, perjuangan, dan ia tidak datang begitu saja.

Hari-hari Ramadan tidaklah banyak, perjalanan hari-hari itu begitu cepat. Oleh sebab itu, sewajarnya kita persiapkan dengan sebaik-baiknya agar tiada penyesalan yang bertamu.

Semoga dengan kesungguhan dalam menyambut kehadiran Ramadan ini, kita dapat meraih kecemerlangan dengan menggapai ‘Piala Takwa’ yang disarankan Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Oleh: Atriza Umar
Rujukan: Hadirmu Dinanti, Ramadan di Rumah Kami

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia