Print this page
Thursday, 28 July 2016 08:00

Bendung Jenayah Melalui Kawalan Keselamatan

Rate this item
(0 votes)

bendung jenayah

Kenyataan Media IKRAM Wilayah Persekutuan

Bendung jenayah di Kuala Lumpur melalui peningkatan kawalan keselamatan secara bersepadu bersama masyarakat

IKRAM Wilayah Persekutuan memandang berat atas kejadian pembunuhan yang berlaku berhampiran Setapak Sentral pada 27 Julai 2016. Kejadian ala mafia ini mempamerkan bahawa penjenayah semakin berani melakukan jenayah di khalayak ramai. Pada tahun 2016, kejadian pembunuhan menggunakan senjata api semakin meningkat dengan Wilayah Persekutuan sahaja mencatatkan 5 kejadian semenjak awal tahun.

Justeru, IKRAM Wilayah Persekutuan menyarankan agar pihak berkuasa dapat mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan untuk membendung kegiatan jenayah. Di samping itu, masyarakat juga diharap dapat memberi kerjasama dan sokongan terhadap usaha pihak berkuasa. Para ibu bapa pula diharapkan dapat mengawal siaran televisyen mahupun filem yang ditayangkan di rumah, terutamanya yang mempunyai unsur ganas dan melampaui batas. Para asatizah diharap dapat terus berperanan mempergiatkan kempen-kempen kesejahteraan awam demi keharmonian masyarakat.

Dalam hal ini, IKRAM Wilayah Persekutuan menggesa semua pihak untuk memastikan keselamatan nyawa setiap warga terjamin, seperti yang dituntut oleh maqasid syariah. Ini adalah sejajar dengan salah satu ciri negara rahmah yang diperkenalkan oleh IKRAM iaitu “kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara”.

Pada kesempatan ini juga Pertubuhan IKRAM Malaysia Wilayah Persekutuan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa di atas kejadian bunuh dan tembak berhampiran Setapak Sentral.

Marilah kita bersama bersatu membanteras jenayah agar Malaysia menjadi sebuah negara rahmah.

Prof Dr Sahrim Bin Ahmad
YDP IKRAM Wilayah Persekutuan

Untuk sebarang pertanyaan berhubung kenyataan ini, sila hubungi Prof. Dr. Sahrim di talian 019-3302096.
Read 1843 times Last modified on Friday, 29 July 2016 20:08

Related items

2 Comments

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd