Mengisi waktu memburu lailatuqadar

Sebahagian ulama berpandangan, al-Quran diturunkan pada malam lailatulqadar. Malam tersebut istimewa kerana ia lebih baik daripada 1,000 bulan sebagaimana firman Allah Subhanahuwataala:

 

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (۲) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (۳) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (٤) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ ((٥

 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Para malaikat dan ar-Ruh (Jibril) turun dengan izin Rabb-nya untuk mengurus setiap urusan. Keselamatan pada malam itu hingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr : Ayat 1-5)

 

Oleh kerana itu, Nabi Salallahualaihiwasallam lebih bersemangat untuk beribadah ketika memasuki 10 hari terakhir Ramadan dalam usaha memburu lailatulqadar. Aisyah radiallahuanha berkata:

 

كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ اَلْعَشْرُ أَيْ: اَلْعَشْرُ اَلْأَخِيرُ مِنْ رَمَضَانَ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ, وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

 

“Rasulullah Salallahualaihiwasallam ketika memasuki 10 Ramadan terakhir, baginda kencangkan ikat pinggang (bersungguh-sungguh dalam ibadah), menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah, dan membangunkan isteri-isterinya untuk beribadah.” (HR Bukhari dan Muslim)

 

Baginda turut memotivasikan umatnya untuk mencari lailatulqadar terutamanya pada malam-malam yang ganjil, sebagaimana sabda baginda:

 

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

“Carilah lailatulqadar pada malam ganjil daripada sepuluh malam terakhir Ramadan.” (HR Bukhari)

 

Oleh yang demikian, terdapat beberapa amalan yang dapat kita lakukan untuk mengisi 10 hari terakhir bulan Ramadan ini.

 

Memandangkan kita masih melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), boleh jadi perkara-perkara ini sesuai kita laksanakan dengan sebaiknya, walaupun berada di rumah.

 

Moga kita sama-sama dapat menemui dengan Malam al Qadar tersebut, insya-Allah. Ayuh kita laksanakan.

 

1. Qiamullail (Bangun malam)

Antara amalan yang istimewa pada 10 hari terakhir Ramadan adalah bersungguh-sungguh dalam melaksanakan solat malam dan membangunkan keluarga serta anak-anak untuk bersama-sama melaksanakannya. Rasulullah Salallahualaihiwasallam bersabda:

 

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang berdiri (untuk mengerjakan solat) pada lailatulqadar kerana keimanan dan mengharap pahala, akan diampuni untuknya segala dosanya yang telah berlalu.” (HR Bukhari)

 

2. Membaca al-Quran

Teruslah bersemangat untuk tilawah al-Quran kerana Ramadan merupakan bulan turunnya al-Quran. Nabi Salallahualaihiwasallam menyemak bacaan al-Quran baginda kepada Jibril alaihissalam ketika Ramadan, sebagaimana hadis daripada Fatimah radhiallahuanha:

 

أنّ جبريل عليه السلام كان يعارضه القرآن كل عام مرةً وأنّه عارضه في عام وفاته مرتين

“Sesungguhnya Jibril alaihissalam biasanya menyemak al-Quran dengan Rasulullah sekali dalam setiap tahun. Akan tetapi, baginda menyemak al-Quran dua kali pada tahun wafatnya Rasulullah.” (HR Muslim)

 

3. Sedekah

Teruskan bersedekah. Daripada Ibnu Abbas radiallahuanhuma beliau berkata:

 

“Rasulullah Salallahualaihiwasallam merupakan manusia paling dermawan dengan kebaikan dan baginda lebih dermawan lagi ketika bulan Ramadan. Sesungguhnya Jibril menemui baginda setiap tahun di bulan Ramadan hingga ia berlalu.

“Rasulullah Salallahualaihiwasallam menyemak bacaan al-Quran kepada Jibril. Apabila baginda bertemu dengan Jibril, Rasulullah Salallahualaihiwasallam lebih dermawan dengan kebajikan melebihi angin yang berhembus.” (HR Bukhari)

 

4. Doa

Hendaklah kita memperbanyakkan berdoa pada 10 hari terakhir Ramadan kerana jika doanya bertepatan dengan malam lailatulqadar maka doanya akan dimakbulkan Allah Subhanahuwataala.

 

Marilah kita berdoa dengan doa sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah Salallahualaihiwasallam, sebagaimana hadis daripada Aisyah radiallahuanha ketika bertanya tentang doa yang diucapkan ketika lailatulqadar:

 

قُولِى اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

“Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf dan Engkau mencintai orang yang meminta maaf, kerananya maafkanlah aku).” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)

 

5. Bertaubat dan Istigfar

Antara amalan yang sangat dianjurkan untuk dilakukan pada bulan Ramadan adalah memperbanyakkan taubat dan istigfar kerana bulan Ramadan adalah bulan keampunan.

 

Allah Subhanahuwataala berfirman dalan hadis Qudsi:

“Wahai bani Adam, sesungguhnya selama engkau masih berdoa dan berharap kepada-Ku maka Aku akan mengampuni semua dosa yang ada padamu dan Aku tidak akan peduli. Wahai bani Adam, seandainya dosa-dosamu mencapai langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, Aku akan mengampunimu dan Aku tidak peduli.

“Wahai bani Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa kesalahan seukuran bumi kemudian engkau datang menjumpai-Ku dalam keadaan tidak berbuat syirik atau menyekutukan-Ku dengan apa pun juga maka sungguh, Aku akan datang kepadamu dengan membawa ampunan seukuran bumi juga.” (HR Tirmidzi)

 

Justeru, tentu ada yang mempersoalkan, bagaimana jika seorang wanita Muslimah itu didatangi haid? Sebagai wanita Muslimah, mereka tetap boleh memburu lailatulqadar ini. Haid merupakan fitrah seorang wanita, sebagaimana sabda Rasulullah Salallahualaihiwasallam kepada Aisyah radiallahuanha:

 

إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

“Haid merupakan keadaan yang Allah tetapkan untuk anak perempuan Adam.” (HR Bukhari dan Muslim)

 

Oleh kerana itu, hendaknya seorang wanita Muslimah bersabar dalam menerima ketetapan daripada Allah Subahanahuwataala tersebut.

 

Walaupun ia tidak boleh melakukan puasa dan solat, tetapi wanita yang didatangai haid dapat melakukan ibadah-ibadah lain yang mempunyai ganjaran pahalanya yang tersendiri antaranya berzikir, sedekah, memperbanyakkan berdoa, membaca al-Quran (tanpa memegangnya), bertaubat dan istigfar.

 

Tentunya 10 hari terakhir Ramadan ini merupakan waktu yang sangat kritikal untuk kita isi dengan sebaiknya. Maka perlulah berhati-hati agar kita tidak terlalai dan leka untuk memburunya.

 

Semoga Allah Subhanahuwataala mengizinkan kita bertemu dengan malam al-Qadar pada kali ini, insya-Allah.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia