wrapper

Berita Terkini

الجمعة 25 ذو الحجّة 1441   |   Saturday 15 August 2020
Wednesday, 25 March 2020 17:17

Perintah Kawalan Pergerakan: Apa yang rakyat perlu bersedia?

Written by Nik Khatijah Nik Mud
Rate this item
(0 votes)


Sedar tak sedar, sudah seminggu rakyat Malaysia berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak arahan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin bermula 18 Mac 2020 yang lepas.

Walaupun ia dilihat belum berupaya sepenuhnya mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat dari hari ke hari, PKP yang akan berakhir pada 31 Mac 2020 telah dilanjutkan tempohnya sehingga 14 April 2020.

 

Malangnya, masih ramai rakyat Malaysia yang masih berdegil dan ingkar arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Dalam masa yang sama, para petugas barisan hadapan yang selama ini bertungkus lumus mengawal dan merawat, semakin hilang ketahanan dan kekuatan fizikal dan mental dek kerana kepenatan yang melampau.

 

Walaupun pelbagai inisiatif dan bantuan telah ditawarkan oleh kerajaan mahupun badan bukan kerajaan dan masyarakat umum, namun ia masih belum mampu menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh pelbagai golongan dan lapisan masyarakat.

 

Banyak pandangan, telahan serta amaran yang mula tular di media sosial, yang menjangkakan keadaaan dan situasi rakyat dan negara selepas tempoh PKP berakhir. Rakyat berasa semakin bimbang dan gusar dengan keadaan ekonomi negara, kebarangkalian akan kehilangan kerja, gaji yang makin berkurang serta keadaan simpanan yang tidak mencukupi.

 

Rakyat mula tertanya-tanya, apa yang mampu kerajaan tawarkan demi menjamin kesejahteraan hidup rakyat dalam situasi yang semakin genting sekarang?

 

Ramai yang sedar, perjalanan dunia dan rakyat Malaysia khususnya dalam melawan wabak COVID-19 ini masih panjang dan jauh. Perjuangan ini pastinya menuntut kerjasama semua pihak untuk sama-sama berganding bahu dan saling menyumbang walau dalam bentuk apa sekalipun mengikut kepakaran dan bidang masing-masing.

 

Oleh yang demikian, bagi mengharungi perjalanan PKP yang masih berbaki lagi 20 hari, marilah kita sama-sama membuat persediaan supaya kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara tetap kekal seperti sediakala.

 

1. Pastikan simpanan barang keperluan, makanan dan ubatan untuk diri dan keluarga mencukupi

 

Elakkan pembelian cemas (panic buying). Pastikan anda dan keluarga membeli mengikut keperluan sahaja. Lakukan pembelian secara berkala dan berjadual. Usah terlalu cemas akan kehabisan stok makanan dan barang keperluan di pasaran.

 

Jangan terlalu mementingkan diri sendiri sehingga lupa kesusahan orang lain. Pastikan juga bekalan ubatan untuk keluarga anda disediakan di rumah bagi megelakkan sebarang kejadian kecemasan sepanjang tempoh PKP.

 

2. Teruskan #dudukrumah dan #kekaltenang bersama keluarga

 

Bantu pihak berwajib dengan mematuhi arahan yang dikeluarkan. Teruskan kekal duduk di rumah dengan tenang. Keluar apabila perlu sahaja. Elakkan diri dan keluarga anda daripada bertemu orang ramai buat sementara waktu.

 

Luangkan masa PKP ini dengan keluarga anda sebaiknya. Syukuri dan hargai masa yang diberikan bersama keluarga sebagai nikmat terbesar dalam hidup anda.

 

3. Ikuti perkembangan terkini mengenai wabak dan perintah melalui saluran yang dipercayai

 

Sentiasa ambil tahu dan ikuti perkembangan situasi terkini melalui saluran yang telah disahkan. Elakkan mempercayai berita yang tidak pasti kesahihannya dan jangan terlibat dalam penyebaran info palsu. Jadilah rakyat yang sentiasa peka dan bijak.

 

Semak segala maklumat yang diterima sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Biarkan rantaian info palsu terhenti di tangan anda.

 

4. Kenal pasti saluran bantuan yang disediakan oleh kerajaan atau masyarakat

 

Bagi yang memerlukan dan berada dalam kesempitan, kenal pasti bantuan yang disediakan oleh kerajaan, NGO dan orang ramai. Suarakan keperluan anda dan gunakan peluang yang ada sebaiknya.

 

Usah simpan kesusahan anda dan keluarga tanpa dibantu. Kita yakin, Malaysia dilimpahi dengan ramai dermawan dan penyumbang yang sentiasa bersedia membantu anda. Bersuaralah dan manfaatkan sumbangan sebaiknya.

 

5. Ambil tahu keadaan keluarga, saudara dan jiran yang dalam kesempitan, hulurkan bantuan semampunya

 

Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling anda. Ambil tahu keadaan ahli keluarga, saudara atau jiran yang memerlukan bantuan. Bantu dengan meringankan beban mereka semampunya. Salurkan mereka yang memerlukan ini kepada pihak berwajib.

 

Jadilah rakyat yang baik dengan mengambil tahu dan cakna keadaan orang di sekeliling kita tanpa mengira agama, kaum dan bangsa. Ini masanya untuk kita saling membantu dan membuktikan bahawa kita bersatu hati.

 

6. Berjimat cermat, uruskan kewangan dengan bijak

 

Urus perbelanjaan keluarga dengan sebaiknya. Berbincang dengan pasangan dan keluarga akan perancangan seterusnya. dengan mengambil kira segala aspek dan kebarangkalian. Jangan terlalu boros berbelanja.

 

Hentikan pembelian barangan yang tidak penting dan bukan keperluan. Sebaiknya, pastikan anda mempunyai perancangan kewangan untuk jangka masa yang panjang. Bersusah-susah dahulu, bersenang -senang kemudian.

 

7. Bersedia dengan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

 

Anda dan keluarga perlu bersedia fizikal dan mental dengan tempoh lanjutan PKP sehingga 14 April 2020 yang baru sahaja diumumkan PM. Pastikan anda dan keluarga membuat persiapan jangka panjang untuk menghadapi PKP.

 

Uruskan persediaan anda dan keluarga dengan terancang dan bijak. Ikut perintah yang dikeluarkan dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri, keluarga dan rumah anda.

 

Semoga kita semua dijauhkan dan terpelihara daripada wabak COVID-19 ini. Ingatlah! Virus ini tidak mengenal sempadan, negara, kaum, agama, status, kaya atau miskin. Kita mungkin mangsa seterusnya jika kita tidak saling menjaga dan melindungi antara satu sama lain.

 

Sama-samalah kita membantu agar wabak ini akan segera terhapus sepenuhnya. Segala usaha yang dilakukan akan menjadi sia-sia tanpa kerjasama kita semua. Untuk menjayakannya, ia memerlukan usaha yang berterusan, keyakinan yang teguh dan doa yang tulus kepada yang Maha Esa.



Penulis: Nik Khatijah Nik Mud, Jabatan Advokasi dan Kajian Dasar, Ibu Pejabat IKRAM

Read 1018 times Last modified on Wednesday, 25 March 2020 17:57

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!