wrapper

Berita Terkini

الجمعة 12 ربيع الثاني 1442   |   Saturday 28 November 2020
Saturday, 24 October 2020 22:06

Darurat bukan jalan untuk selesaikan krisis semasa negara

Rate this item
(0 votes)

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
24 Oktober 2020 / 8 Rabiulawal 1442H

DARURAT BUKAN JALAN UNTUK SELESAIKAN KRISIS SEMASA NEGARA

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius laporan yang menyatakan hasrat kerajaan untuk menguatkuasakan perintah darurat. Hasrat berkenaan akan merosakkan proses demokrasi, menjejaskan ekonomi negara, menakutkan pelabur asing dan menjejaskan kehidupan rakyat.

 

Ia telah meletakkan rakyat dalam kebingungan memikirkan kesan yang bakal diterima. Akibatnya, kehidupan rakyat yang sudah tersepit dijangka menjadi lebih teruk.

 

IKRAM menegaskan bahawa kemelut politik yang berlaku sudah keterlaluan dan berlarutan terlalu lama sehingga meninggalkan kesan negatif kepada ekonomi dan kehidupan rakyat. Ianya perlu dihentikan segera.

 

Kemelut politik ini perlu ditangani sebaiknya demi menjaga kepentingan negara dan rakyat. Untuk mengharungi cabaran besar yang sedang dihadapi, negara memerlukan pemimpin yang berwibawa yang boleh membawa kepada pembinaan kerajaan yang stabil dan bersifat lebih inklusif dengan melibatkan semua pemegang taruh utama dan tenaga pakar negara.

 

Pilihan untuk mewujudkan politik kerjasama (collaborative politics) perlu diberi pertimbangan serius oleh ahli-ahli politik sebagai jalan keluar dengan meletakkan kepentingan negara di kedudukan tertinggi, mengatasi kepentingan parti politik mahupun individu.

 

Politik kerjasama dilihat boleh mewujudkan kerajaan yang lebih stabil sehinggalah ke satu tempoh yang lebih sesuai untuk dilaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU).

Belanjawan 2021 yang bakal dibentang di Dewan Rakyat pada awal November ini hendaklah dibahaskan oleh semua ahli parlimen sama ada daripada blok kerajaan atau blok pembangkang secara tuntas dan bukan dihalang dengan pelaksanaan perintah darurat.

 

Perbahasan belanjawan di parlimen adalah satu proses asas dalam mana-mana negara demokrasi. Perbahasan belanjawan amat penting untuk membolehkan proses semak dan imbang berlaku dan membuahkan hasil yang terbaik, khususnya dalam melalui fasa-fasa yang amat mencabar kesan daripada pandemik COVID-19.

 

Pandemik COVID-19 boleh ditangani dengan peruntukan undang-undang dan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada tanpa pengisytiharan darurat. Sokongan terhadap pihak barisan hadapan (frontliners) hendaklah dilipatgandakan, manakala bantuan kepada rakyat pula dipertingkatkan mengambil kira keperluan semasa.

 

IKRAM mengulangi pendirian bahawa pilihan raya mengejut (snap election) bukan jalan penyelesaian buat masa ini. Malahan, ia dijangka membawa lebih banyak kemudaratan akibat dari wabak COVID-19.

 

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hanya akan tamat tempoh pada bulan Jun tahun depan. Fokus paling mendesak sekarang ialah untuk menangani wabak COVID-19 dengan seberapa segera, seperti yang telah dibuktikan sebelum ini.

 

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah meletakkan keutamaan untuk mengenal pasti kaedah dan SOP yang sesuai dan selamat untuk dilaksanakan semasa pilihan raya, mengambil kira wabak COVID-19 dan pengalaman daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

 

IKRAM percaya bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan bertindak dengan penuh bijaksana selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

 

IKRAM juga mengajak semua rakyat untuk terus bermunajat dan memanjatkan doa agar Malaysia dikurniakan kepimpinan yang berwibawa dan mampu membawa negara keluar daripada kemelut politik, pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.

 

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 744 times Last modified on Saturday, 24 October 2020 22:55

1 Comment

  • Comment Link Abu Bakar Mohammad Sunday, 25 October 2020 09:01 posted by Abu Bakar Mohammad

    Assalamualaikum Tuan,
    Saranan tuan adalah cukup baik tetapi hanya boleh dilaksanakan jika semua pehak memberi kerjasama dan tidak memikirkan kepentingan sendiri. Namun di dalam konteks politik Malaysia, ia adalah begitu idealistik dan ini telah terbukti begitu kian lama. Sekarang ini pun di dalam suasana pandemik Covid-19, ahli-ahli politik masih bergelut dan ugut mengugut dalam merebut kuasa dan besar kemungkinan akan membawa ke pembubaran parlimen samada dari Bajet yang tidak diluluskan atau dari undi tidak percaya TSMY yang diterima.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!