wrapper

Berita Terkini

الجمعة 3 شوّال 1442   |   Friday 14 May 2021

("Ciri-ciri Berkesan dan Fiqh Mendampingi Masyarakat" adalah Wacana Masyarakat Madani siri 4 kompilasi hasil tulisan Tuan Hj Syed Ibrahim Syed Noh, Naib Presiden IKRAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani IKRAM mengenai peranan gerakan dakwah dalam mendampingi masyarakat.)

Wacana MM2.5: Catatan 16 Januari 2012

52. Isu projek mega MRT hanya satu daripada banyak isu-isu masyarakat madani. Yang lebih penting ialah isu-isu tersebut membuka peluang untuk kita berdamping dengan masyarakat, menyegarkan pengalaman, mematangkan pandangan dan pendekatan kita serta yang terpenting menyusun strategi dan langkah mengikut perancangan untuk perubahan. Banyak kunci kata di sini.

53. Sudah tentu kita tidak boleh menjadi juara dalam semua isu. Tetapi saya yakin kita boleh menangani semua isu dengan pendekatan berbeza tanpa menjadi juara setiap masa. Kuncinya ialah kita sendiri perlu rajin mencari, bertanya, memahami dan menyanggupi pelbagai medan baru. Belum cuba belum tahu. Ingat, Alah bisa tegal biasa. Yakin diri, istiqamah dan terus menerus meneroka.

54. Justeru, apakah ciri-ciri yang perlu ada pada kita untuk dampingan (engagement) yang berkesan? Menurut Hj Zaid Kamaruddin, dari pengalaman mendampingi masyarakat berbilang agama, kaum dan ideologi, ciri-ciri tersebut ialah:

  • Ikhlas
  • Sangka Baik
  • Amanah
  • Jujur
  • Tawadhu
  • Ada kemampuan
  • Boleh diharap (reliable)
  • Mesra
  • Konsisten
  • Inklusif (ini saya tambah untuk genapkan jumlah sepuluh!)

55. “Semua ciri-ciri ini bukanlah yang dibuat-buat agar kita diterima baik oleh orang tetapi ia memang sebahagian akhlak kita. Saya percaya akhlak seseorang duat boleh membantu mad`u memahami Islam”, tambah beliau lagi. Dengan ertikata lain, tanpa kita berdamping dengan masyarakat pun, ciri-ciri ini sudah semestinya sebati dengan jiwa dan peribadi duat. Justeru, tiada alasan mengapa kita tidak boleh berdamping dengan masyarakat.

56. Selain ciri-ciri di atas, kita sebenarnya juga memerlukan kepada ilmu-ilmu asas dan baru yang boleh dipelajari dalam kelas dan dalam medan. Antaranya ialah:

[1] Berpegang teguh dengan Islam pada setiap ketika. “Berikan penjelasan yang jelas. Tiada apa yang perlu disembunyikan tentang Islam. Tiada apa tentang Islam yang perlu kita malukan. Malah sebagai cara hidup yang menepati fitrah manusia bincangkan dengan baik, mudah-mudahan Islam itu lebih mereka fahami”. Rujuk Surah Al-Hijr ayat 94 untuk gesaan dakwah terbuka dan penulisan saya ‘Wacana MM2’. Teknik dan penyampaian boleh dipelajari tetapi pengalaman dan pendedahan ialah juga guru terbaik.

[2] Kemahiran menangani kepelbagaian atau diversity yang sering kali diungkap oleh Ukhti Dr Harlina. Beliau merujuk kepada beberapa ayat Al-Quran, antaranya ialah Surah Al-Hujuraat , ayat 13: “Wahai manusia, Sungguh, Kami telah ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.” Menurut beliau, ada tiga pilihan untuk menangani kepelbagaian iaitu sama ada menolak, bertoleransi atau meraikan. Boleh merujuk kepada persembahan beliau tentang topik ini.

[3] Memahami antara perkara utama dan dasar dengan remeh dan khilafiah di samping juga memahami sudut pandang orang lain. Ini boleh termasuk dalam kemahiran menangani kepelbagaian tetapi sengaja saya angkatnya sebagai ilmu yang wajib dipelajari kerana daripada pengalaman saya, kita akan sering berhadapan dan berdebat tentang perkara ini. Ini boleh juga dianggap antara kerangka kepada rules of engagement atau garis panduan dampingan.

        Wacana MM2.6: Catatan 17 Januari 2012

        57. Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam penulisannya Fi Fiqh al-Awlawiyyat dan Awlawiyyat al-Harakat al-Islamiyyah fi Marhalah al-Qadimah, dalam konteks pelaksanaan aspek dalam syariat Islam, beberapa fiqh perlu diberikan perhatian. Pelaksanaan aspek dalam syariat Islam bermaksud aspek dakwah, pembangunan ekonomi dan sosial, amal seharian sehingga kepada politik dan polisi pemerintahan negara. Engagement sudah tertentu ada terkandung dalam aspek ini.

        58. Fiqh yang disebutkan oleh Al-Qaradawi ialah seperti berikut:

        [1] Fiqh al-awlawiyyat (fiqh keutamaan), juga dikenali sebagai fiqh maratib al-amal

        [2] Fiqh al-muwazanat (fiqh pertimbangan), pertimbangan antara sesama al-masalih (kebaikan), antara sesama al-mafasid (keburukan dan kerosakan) dan pertimbangan antara al-masalih dan al-mafasid

        [3] Fiqh al-maqasid (fiqh bagi mengetahui maksud syariat)

        [4] Fiqh al-nusus (fiqh nas-nas al-Quran dan al-Sunnah), dan

        [5] Fiqh al-waqi’ (fiqh kefahaman mengenai realiti manusia dan kehidupan sekitarnya)

          59. Mempelajari Fiqh Al-Waqi’ adalah perlu kepada setiap faqih, apalagi pendakwah. Aspek yang paling penting diketahui ialah aspek siasah syar’iyyah, kerana ia merupakan fiqh yang mempunyai hubungan secara langsung dengan orang ramai dan dengan keputusan-keputusan, peraturan-peraturan dan fenomena-fenomena yang melibatkan orang ramai.

          60. Seseorang pendakwah perlu meraikan perubahan masa, tempat dan situasi-situasi manusia. Hukum-hukum ijtihadiyah yang berdasarkan kepada maslahah semasa sentiasa mengalami perubahan mengikut perubahan semasa dan keadaan. Kewujudan hukum bergantung kepada sebab-sebabnya. Memandangkan perubahan inilah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengubah fatwanya yang pernah difatwakan sewaktu beliau berada di Madinah. Begitu juga dengan Imam Malik, Imam Syafie, Al-Nawawi dan lain-lain.

          61. Selain kaedah fiqh di atas, turut sering diungkapkan sejak akhir-akhir ini ialah kepentingan wujudnya tarbiah maidaniyyah supaya bijak dalam berdepan dengan ranjau-ranjau dan cabaran sebuah gerakan massa dan terbuka. Apa maksudnya tarbiah maidaniyyah?

          62. Saya rasa kita boleh mudah faham maksudnya dengan meninjau dan membaca tindakan mutakhir oleh Tunisia dan Mesir sejak pasca Arab Spring. Di Tunisia umpamanya, bagaimanakah Parti An-Nahdhah respon terhadap fenomena dan waqi’ masyarakat mereka yang kebaratan dan liberal? Di Mesir, bagaimana pula FJP (Parti Kebebasan dan Keadilan) berhadapan dengan gesaan puak liberal dan sistem tinggalan ‘jahiliyah’ rejim Mubarak? Mungkin situasi di Turki juga boleh dijadikan contoh.

          63. Agak menarik bagaimana Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr. Mohamed Badie bertemu dengan Pope Shenouda III baru-baru ini di Ibu Pejabat Al-Azhar bagi membincangkan inisiatif Al-Azhar untuk “Mengembalikan Semangat dan Nilai Revolusi dan Memenuhi Tuntutan Revolusi”.  Apakah agaknya ciri-ciri dampingan dan rules of engagement yang diamalkan oleh Dr Mohamad Badie dan IM?

          64. Begitu juga menariknya Tokoh Ikhwan tersebut beramah mesra dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter (kini Presiden Carter Center International Foundation) baru-baru ini di Ibu Pejabat Ikhwanul Muslimin. Lebih menarik lagi apabila Carter berkata, “I Recognize Egyptian People’s Love for the Muslim Brotherhood” iaitu “Saya mengiktiraf cinta rakyat Mesir terhadap Ikhwanul Muslimin”.

          Last modified on Friday, 02 March 2012

          Leave a comment

          Iklan Penaja


          Pertubuhan IKRAM Malaysia

          Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

           

          Facebook

          TV IKRAM

          tv ikram

          Hubungi Kami

          Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

          No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
          43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

          Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
          Fax : +603-8945 1772

          E-mel

          Umum: [email protected]
          Pentadbiran: [email protected]
          Keahlian: [email protected]
          Kewangan: [email protected]

          DMC Firewall is a Joomla Security extension!