Print this page


SERI KEMBANGAN - Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melepasi angka 58 juta berikutan lebih ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam, menurut data terbaharu Johns Hopkins University.

Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan 12.1 juta kes jangkitan dan diikuti India dengan 9.09 juta kes, manakala Brazil merekodkan 6.05 juta kes.

Sebanyak 29 negara merekodkan angka positif dalam lingkungan 100,000 hingga 300,00 kes. Kebanyakan negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 100,000 kes, termasuk Malaysia.

Dalam pada itu, jumlah kumulatif kematian akibat pandemik COVID-19 telah melepasi 1.38 juta kes di seluruh dunia dan jumlah kumulatif kematian global sebanyak 1,385,499 kes.

Di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti tiga kluster baharu semalam, manakala empat kluster diisytihar tamat.

“Tiga kluster baharu berkenaan ialah Kluster Pengkalan Barat, Kluster Bakti dan Kluster Bayam Indah manakala empat kluster diisytihar tamat adalah Kluster Kasih, Kluster Baiduri, Kluster Long dan Kluster Bestari.

Menurut beliau, Kluster Pengkalan Barat melibatkan Daerah Barat Daya di Pulau Pinang serta Daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak dengan kes indeks (kes ke-42,002) dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 10 November lepas.

"Sehingga hari ini sejumlah 251 individu telah disaring dengan 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini," katanya.

Kluster Bakti pula ​​​​​​melibatkan sebuah penjara dalam Daerah Seremban, Negeri Sembilan dengan kes indeks (kes ke-54,624) merupakan seorang banduan yang dilaporkan positif COVID-19 melalui saringan kemasukan tahanan ke penjara.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini sejumlah 481 individu telah disaring dengan 16 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster itu.

Last modified on Monday, 23 November 2020
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd