Print this page


SERI KEMBANGAN - Bagi mengangkat martabat kerjaya suri rumah ke peringkat lebih tinggi, Konvensyen SURI 2020 (KONSURI 2020) telah berlangsung dengan jayanya menerusi dalam talian pada 17 Oktober lalu dengan tema ‘Dari Suri Untuk Semua’.

Selain itu, matlamat konvensyen ini ialah bagi menangkis stigma masyarakat terhadap kerjaya suri rumah yang dipandang enteng dan juga menjadikan suri rumah sebagai kerjaya pilihan pada masa hadapan.

 

Menurut Pengerusi Suri Rumah Rahmah (SRR), Nurul Huda Ahmad Nawawi, KONSURI 2020 berjaya dilaksanakan walaupun terdapat pelbagai halangan.

 

“(Halangan itu) antaranya ialah tidak dapat berbincang berhadapan kerana perbincangan dilakukan di alam maya,” ujar beliau.

 

Beliau berkata, pelbagai strategi dirancang dan pelbagai perkara tetap disusun rapi dalam konvensyen yang mensasarkan 300 suri rumah muda ini.

 

Tambahnya lagi, peserta yang mendaftar diberikan pautan ke Facebook group khas KONSURI 2020.

 

“Apa yang menariknya, KONSURI 2020 kali ini dijayakan sepenuhnya oleh para suri rumah dan disertai daripada kalangan suri rumah juga,” ujarnya.

 

Terdapat tiga slot yang diketengahkan dalam konvensyen kali ini iaitu ‘Suri, Dirimu Begitu Berharga’ yang disampikan oleh pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun, ‘Suri Sihat Fizikal dan Mental, yang disampaikan oleh ahli psikologi klinikal, En Akif Basri dan ‘Bersama Ummi Profazz’.

 

“Sebuah konvensyen yang sangat best. Penuh dengan informasi yang mantap. Penceramah yang sangat best. Tahniah penganjur!” respons Nik Fatma Amirah yang menjadi peserta KONSURI.

 

Dalam pada itu, Wawa Shauqi pula berkata, inilah konvensyen yang menawarkan cadangan solusi kepada golongan yang jarang diberi tumpuan untuk dibantu.

 

“Terima kasih banyak-banyak pada pihak penganjur. Sebolehnya, saya nakkan ia berlangsung lebih lama. Tak puas. Sangat best. Ummi Profazz tu ibarat beri wake up call kepada ibu-ibu seperti saya yang selama ini lebih banyak fokus pada kesulitan jadi suri rumah. Lepas ni, insya-Allah lebih terinspirasi untuk berusaha dan jadi suri yang lebih kuat,”  jelasnya.

 

Menurutnya lagi, ia perlu dianjurkan berterusan kerana semangat mudah surut dan naik. Apabila selalu ada program sebegini, ia membantu juga mengekalkan momentum dan motivasi sebagai suri rumah.

 

“Pada saya, platform ini juga sesuai untuk ibu-ibu berkerjaya. Banyak info, tip, nasihat serta panduan yang boleh diikuti dan diamalkan. Tak terasa masa cepat berlalu. Sedar-sedar sudah di penghujung program,” luah, Zinnatul Asyikin Abdul Malik.

 

Menurutnya, ini adalah antara hikmah COVID-19, rupa-rupanya Allah SWT hendak lorongkan suri ummah supaya dapat mengikuti konvensyen ini walaupun sedang sibuk menguruskan rumah tangga.

 

“Tahniah untuk jentera penggerak konvesyen ini dan tahniah juga kepada suri ummah yang hadir. Mohon diadakan lagi konvensyen seperti ini di masa akan datang.”

 

KONSURI 2020 digerakkan oleh jawatankuasa dari seluruh pelusuk negara, yang mana tidak tertumpu hanya di satu negeri sahaja. Ia digerakkan oleh suri di luar Selangor seperti Terengganu dan secara global oleh suri luar negara iaitu Qatar.

 

Walaupun berbeza zon waktu, ia bukanlah penghalang untuk konvensyen ini dijayakan dan pihak penganjur berharap agar program ini mampu menjadi batu loncatan atas keterlibatan suri menyumbang secara efektif kepada masyarakat bagi pembangunan negara yang mampan.

Last modified on Friday, 23 October 2020

1 Comment

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd