Print this page

SERI KEMBANGAN - Buat julung kalinya, Unit Kokurikulum IKRAM MUSLEH dan Kadet Remaja Sekolah MUSLEH (KRS MUSLEH) akan menganjurkan larian maya International Eco Nature Virtual Run 2020 (IENVR'20) yang akan berlangsung pada 16 November hingga 15 Disember 2020.

Dengan objektif untuk mempromosikan gaya hidup sihat, pihak penganjur menggalakkan semua yang berminat untuk menyertai larian ini yang mana pendaftaran penyertaan telah dibuka sejak semalam (15 Oktober 2020) sehingga 15 November 2020.

 

“Tercetusnya program ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19. Tentunya aktiviti luar tidak dibenarkan,” kata Pengerusi Unit Kokurikulum IKRAM MUSLEH & KRS MUSLEH, Mejar KRSM Abd Rahaim Md Isa.

 

Tambahnya lagi, para pelajar memerlukan nilai markah kokurikulum bagi memenuhi Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan Dan Kokurikulum (PAJSK).

 

“Program ini juga adalah salah satu usaha untuk kutipan dana membangunkan Pusat Latihan IKRAM MUSLEH di Batang Kali. Untuk tujuan itu, kami telah mensasarkan penyertaan seramai 20,000 orang peserta dalam kalangan murid sekolah, pelajar IPT dan orang awam.”

 

Tambahnya, berikutan banyak pihak yang menganjurkan program sebegini untuk mendapatkan dana, pihak penganjur berasa yakin dan mampu melaksanakan demikian.

 

“Cuma perlukan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman menguruskan program secara dalam talian seperti ini,” jelasnya.

 

Beliau yang juga Pengerusi Kadet Remaja Sekolah MUSLEH (KRSM) berkata, syarat yang ditetapkan pihak penganjur, para peserta perlu berlari sejauh 5 kilometer atau menyelesaikan 7,500 langkah dalam tempoh berjalan dari 16 November hingga 15 Disember 2020 menggunakan aplikasi khas seperti NRC, FitBit, Strava dan lain-lain bagi merekod larian mereka.

 

“Setelah larian selesai, peserta hanya perlu mengemukakan bukti rekod larian untuk mendapatkan e-sijil sebagai perakuan ke atas larian mereka.”

 

Jelasnya, virtual run (larian maya) bermaksud peserta boleh berlari di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan pihak penganjur.

 

“Sekiranya peserta menghadapi kesukaran untuk berlari, mereka boleh berjoging atau berjalan mengikut rentak sendiri dan apa yang menariknya, peserta boleh melakukannya dengan menggunakan alatan treadmill.”

 

“Para peserta akan mendapat kemeja-T larian atau kemeja-T Muslimah, dan e-sijil daripada pihak penganjur setelah para peserta menyelesaikan larian maya ini mengikut pakej yang dipilih.

 

Selain itu, hadiah bertuah bernilai lebih RM10,000 disediakan kepada peserta-peserta yang bertuah dan sekolah-sekolah yang menghantar penyertaan teramai.

Sebelumnya pada 2 Oktober 2020 lalu, pelancaran laman web rasmi International Eco Nature Virtual Run 2020 (IENVR'20) telah disempurnakan oleh Pengerusi Kluster Pendidikan IKRAM merangkap Penaung IENVR'20, Prof Dr Omar Yaakob di Pejabat IKRAM MUSLEH.

 

Untuk mendaftar larian maya ini, sila klik pautan https://krsmusleh.onpay.my/order/form/ienvrmy2020. Sebarang info lanjut boleh didapati di laman web rasmi larian  https://econaturerun.krsmusleh.com/

Last modified on Friday, 16 October 2020
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd