wrapper

Berita Terkini

الإثنين 14 ذو الحجّة 1441   |   Tuesday 04 August 2020

SERI KEMBANGAN - Berikutan masih terdapat sektor-sektor ekonomi yang menghadapi keadaan yang sukar, tidak menentu dan ramai yang mengharapkan moratorium ini dilanjutkan, kerajaan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada golongan yang memerlukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan baru, mereka akan menikmati lanjutan moratorium bersasar untuk tempoh tiga bulan.

 

“Bagi individu yang masih bekerja pula, tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat pandemik ini, bayaran ansuran bulanan dikurangkan untuk 6 bulan, pada kadar yang sama pengurangan gaji.”

 

Bagi pinjaman sewa beli, pihak bank menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada akta sewa beli.

 

“Bank-bank juga telah memberi komitmen membantu semua peminjam individu, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan mereka yang bekerja sendiri,” ujarnya ketika sidang media yang diadakan hari ini.

 

Menurutnya, langkah-langkah ini memberi manfaat kepada 3 juta individu dan PKS.

 

Sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya dan mereka yang layak bolehlah memohon melalui bank bermula 7 Ogos ini.

 

Pada Mei lalu, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) telah meminta kerajaan menimbang semula pelanjutan moratorium enam bulan yang diumumkan pada 25 Mac lepas sehingga Disember tahun ini.

 

“Ini kerana ada anggota masyarakat yang menghadapi kesukaran untuk kembali kepada kehidupan sebelum wabak COVID-19, khususnya bagi yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan serta perlu mencari kerja baharu,” ujar Presidennya Datuk Dr Marimuthu Nadason.

 

Sekiranya kerajaan bersedia menambah tiga bulan lagi kepada moratorium asal menurutnya, mereka yang terjejas akan dapat kembali ke pasaran pekerjaan.

 

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sektor perbankan dijangka menanggung kerugian pengubahsuaian sebanyak RM6.4 bilion sepanjang enam bulan pelaksanaan moratorium yang berakhir September ini.

 

"Keseluruhan jumlah kerugian dianggar memecah RM6.4 bilion, yang bersamaan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion, sama ada kepada rakyat atau peminjam.

 

Menurutnya, Malaysia antara negara terawal melaksanakan moratorium secara automatik, selain Singapura, Thailand, Indonesia, Itali, Kanada dan Amerika Syarikat.

 

"Namun, hanya Malaysia memberi moratorium selama enam bulan dan setakat 20 Julai lalu, nilai moratorium tersebut bernilai RM59 bilion yang keseluruhannya 7.7 juta rakyat memanfaatkannya," katanya.

 

Pelaksanaan moratorium bakal tamat penghujung September ini dan bayaran semula pinjaman kewangan dijadual akan bersambung pada Oktober 2020.

 

Pada Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman perniagaan selama enam bulan susulan penularan wabak COVID-19.

 

Penangguhan pembayaran balik pembiayaan itu melibatkan jumlah sekurang-kurangnya RM100 bilion dengan bank tempatan menawarkan penangguhan sehingga enam bulan kepada peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana bermula 1 April.

Last modified on Thursday, 30 July 2020

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!