Print this page


SERI KEMBANGAN - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) memberi kerjasama dalam mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.

“Usaha memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar bukan hanya perlu digalas negara Malaysia,” jelas beliau ketika mengetuai Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 secara maya yang dipengerusikan Pengerusi ASEAN Tahun 2020, Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc di Hanoi pada hari ini.

 

Tambahnya lagi, Malaysia bukanlah Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967.

 

“Kami menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar, namun situasi ini tidak boleh berterusan selama-lamanya.”

 

Menurutnya, Malaysia akan terus menanggung beban krisis berpanjangan ini, yang mana tiada penghujungnya.

 

“Kami tidak boleh lagi mengambil lebih ramai (pelarian) memandangkan sumber dan kapasiti ketika ini sudah mula diketatkan, susulan pandemik COVID-19,” jelasnya.

 

Sehubungan dengan itu, ASEAN perlu membantu antara negara anggota dalam mencari penyelesaian berkesan isu pelarian Rohingya yang memberi kesan kepada penduduk serantau.

 

"Krisis ini telah menimpa kita sejak sekian lama dan tidak akan dapat menyelesaikannya sendiri.”

 

Sebelumnya krisis di Wilayah Rakhine itu turut memberi kesan besar kepada rantau Asia dan masalah itu perlu diselesaikan dengan lebih berkesan.

 

“Apa yang ASEAN lakukan untuk saling membantu dalam mencari jalan penyelesaian yang berkesan untuk wilayah Rakhine?” soalnya dengan mengharap ASEAN perlu melakukan lebih banyak perkara untuk membantu Myanmar dan Myanmar juga harus melakukan lebih banyak perkara untuk menangani krisis yang dialami.

 

Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 bermula hari ini melibatkan sepuluh pemimpin negara  dengan menumpukan kepada isu pandemik COVID-19.

Last modified on Monday, 29 June 2020
Our website is protected by DMC Firewall!