Print this page


KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 (IMLD 2020) bakal dimeriahkan dengan dua program menarik bertemakan ‘Mempromosi Keterangkuman dan Pendidikan Bahasa Ibunda’.

Pada Sabtu, 15 Februari, Karnival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 akan berlangsung di Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) yang menyajikan pelbagai aktiviti seperti Bicara Berirama (dalam pelbagai bahasa), khat Jawi, kaligrafi (Cina dan Tamil), anyaman orang asli, seni potong kertas Cina serta pembuatan Kolam, Thoranam dan Mehendi/Inai.

Karnival tersebut turut diserikan dengan permainan dan kebudayaan tradisional pelbagai kaum antaranya Congkak/Palanguli, Batu Seremban, Cabaran Chopstick dan Jak Renoi selain pertandingan seni kolaj, melukis dan menulis.

Tahun ini adalah tahun kesembilan bagi acara ini yang dianjurkan bersama oleh Tamil Foundation Malaysia (TFM), LLG Cultural & Development Centre, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JAOS) dengan kerjasama NGO-NGO lain serta rakan strategik.

Sementara itu, program kemuncak adalah Majlis Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 yang akan berlangsung pada Jumaat, 21 Februari di Auditorium Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Kwo, Kuala Lumpur.

Majlis itu bakal dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan YB Puan Teo Nie Ching dan diserikan dengan ucapan wakil UNESCO Jakarta, Deklarasi Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa UNESCO dan persembahan Orang Asal.

Majlis itu juga bakal disajikan dengan Forum Belia yang menampilkan panelis Cik Dayoung (Aktivis Belia JOAS), Dr Daniel Iqram Abd Halim (Aktivis IKRAM Muda), Cik Lavaniya Nagarajan (Aktivis Belia Tamil Foundation) dan Encik Wong Yan Ke (Aktivis Belia KLSCAH) dan dipengerusikan oleh Pn Khadijah Khalid (Aktivis Belia IKRAM).

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa disambut pada 21 Februari setiap tahun di seluruh dunia, diisytiharkan oleh UNESCO pada tahun 1999 bagi mempromosi kepelbagaian budaya dan bahasa, serta menggalakkan penggunaan bahasa untuk memelihara warisan dan budaya.

Last modified on Wednesday, 12 February 2020
DMC Firewall is a Joomla Security extension!