Print this page


KUALA LUMPUR - Malaysia berpendirian bahawa pelan damai Israel-Palestin ‘the Deal of the Century’ yang diumumkan AS tidak boleh diterima sama sekali dan sangat tidak adil, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 "Ia benar-benar mengecewakan selepas lebih tujuh dekad, hanya sebelah pihak sahaja yang telah wujud dalam Penyelesaian Dua-Negara (Two-State Solution) - Israel - sementara rakyat Palestin masih dibiarkan berjuang untuk keadilan, keamanan dan kedaulatan negara mereka sendiri," jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Ketiga Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) bertemakan ‘Towards Strategy for Defending Al-Quds’ (Ke Arah Strategi Untuk Mempertahankan Al-Quds) di hadapan kira-kira 500 orang ahli Parlimen dari seluruh dunia semalam.

“Pelan itu adalah pelan sebelah pihak yang dihasilkan oleh AS dan Israel tanpa perbincangan dengan Palestin yang menghancurkan sebarang percubaan untuk membawa keamanan dan keadilan terhadap Palestin,” tambah beliau.

Menurutnya, pelan itu tidak akan menghasilkan negara Palestin yang berdaulat, sebaliknya hanya melanjutkan lagi dominasi penjajahan seperti aparteid terhadap jutaan penduduk Palestin yang mana yang terjadi semasa Jerman menjajah Danzig dan Sudentenland.

Untuk memburukkan lagi keadaan, kata Tun Mahathir, pelan itu menyerahkan kota suci Baitulmaqdis kepada Israel yang tidak mempedulikan sama sekali perasaan jutaan umat Islam dan Kristian seluruh dunia.

“Pelan tersebut  hanya akan membawa lebih banyak konflik di rantau itu, dan menimbulkan kemarahan berbilion manusia seluruh dunia,” kata beliau.

Tambahnya lagi, persidangan LP4Q ini merupakan satu bukti pengukuhan semula secara kolektif Malaysia terhadap pendirian yang tidak berbelah bahagi terhadap nasib rakyat Palestin.

“Walaupun Malaysia mahu berkawan dengan semua negara dan menghormati kedaulatan mereka tanpa mengira keyakinan ideologi, kita mesti terus bercakap menentang ketidakadilan dan mempertahankan hak-hak mereka yang tertindas,” tegas beliau.

Ujar beliau, polisi luar negara Malaysia terhadap Palestin kekal sama selama berdekad-dekad sejak merdeka.

“Kami akan sentiasa menyokong Palestin,” tegas Tun Mahathir.

Sementara itu, Presiden Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q), Sheikh Hamid Abdullah al-Ahmar dalam ucapan aluannya berkata, pelan damai yang diumumkan AS meminggirkan rakyat Palestin, menghalalkan perang aparteid dan percubaan untuk mengubah hak mereka.

“Rakyat Palestin dan banyak negara menghantar mesej yang jelas kepada AS mengutuk pelan tersebut,” tambahnya.

Jelas beliau, segala usaha mesti dilakukan oleh semua pihak yang menyokong Palestin untuk mengelakkan percubaan ini dan menolak sebarang pelan yang merampas hak rakyat Palestin.

Tambahnya, visi yang jelas perlu dicari untuk menamatkan penjajahan Israel dan menyediakan strategi dan segala usaha secara efektif bagi menghadapi bahaya yang bakal berlaku.

“Semua parlimen memainkan peranan yang sangat penting untuk membantu rakyat Palestin seperti melalui persidangan ini atau penggubalan undang-undang yang diluluskan Parlimen,” jelas Sheikh Hamid.

Last modified on Sunday, 09 February 2020

3 Comments

Our website is protected by DMC Firewall!