wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 5 صفر 1442   |   Tuesday 22 September 2020

 

Setiap kapal yang berlayar pasti akan berlabuh di pelabuhan. Suatu perkara yang menarik ialah pelayaran tidak semestinya di lautan. Sultan Muhammad al-Fateh pernah melayarkan kapal perangnya di atas gunung-ganang ketika pembukaan kota Konstantinopel. Begitu jugalah pelayaran Madrasatul Hayah IKRAM (MHI).

Alhamdulillah, pelayaran bahtera MHI selama 42 hari telah tiba di pelabuhan dengan jayanya. Pelayaran kali ini dilengkapi pelbagai ilmu yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran mahupun perubahan sikap. Kesemua ini disemai dengan baik demi melahirkan generasi muda yang mampu membangunkan diri, agama, bangsa dan negara.

 

Kebiasaannya, setiap anak kapal akan menerima imbuhan dan hadiah daripada nakhoda sebagai tanda terima kasih kerana berjaya mengharungi samudera yang begitu luas dan akhirnya berlabuh dengan selamat.

 

Kali ini, selaku juragan yang diamanahkan mengawal kapal MHI, saya berbesar hati untuk memberikan formula SNAKE kepada semua anak kapal sebagai buah tangan bagi menempuhi realiti kehidupan sebenar.

 

SNAKE merupakan singkatan kepada Skill, Networking, Attitude, Knowledge dan Experience. Buah tangan ini akan saya huraikan satu persatu sehinggalah kesemua anak kapal dapat menghadamkannya.

 

Sesi praktikal bengkel kereta

 

S - Skill (Kemahiran)

 

Pertama, SKILL. Sepanjang 42 hari belayar di MHI, pelbagai kemahiran telah diperturunkan kepada anak kapal. Antaranya ialah kemahiran mengurus, memimpin, menjadi imam, memberi tazkirah, pengucapan awam, berorganisasi, memasak, menjahit, berbengkel kereta dan menyembelih ayam.

 

Semua kemahiran ini merupakan kemahiran insaniah (soft skill set) yang penting untuk anak kapal menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa, ketua keluarga, pemimpin masyarakat dan negara.

 

Perkara ini amat penting kerana kajian yang dilakukan di Harvard University, Amerika Syarikat menyatakan, berjayanya seseorang tidak ditentukan semata-mata oleh pengetahuan dan kemampuan teknik (hard skill) saja, tetapi lebih kepada kemampuan mengurus diri dan orang lain (soft skill).

 

Kajian ini turut menyatakan, berjayanya seseorang hanya ditentukan sekitar 20 peratus oleh hard skill dan bakinya 80 peratus oleh soft skill.

 

Peserta MHI menyantuni pelajar SK Perik dengan sesi motivasi dan fun learning

 

N - Networking (Jaringan)

 

Kedua, Networking. Tempoh pelayaran yang lama menyebabkan pentingnya keserasian antara anak kapal. Anak kapal yang datang daripada pelbagai latar belakang perlu bekerjasama sepanjang tempoh pelayaran MHI.

 

Oleh yang demikian, perkara paling penting yang sering diingatkan ialah ukhuwah dan kasih sayang. Perkara ini boleh ditingkatkan daripada sekadar persaudaraan kepada suatu jaringan yang padu. Selepas tamat pelayaran MHI selama 42 hari, semua peserta akan bergelimpangan keluar membangunkan masyarakat di tempat masing-masing.

 

Perkara ini bakal menjadi suatu jaringan yang luas di peringkat nasional malah mungkin di peringkat antarabangsa. Kehadiran peserta dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, menjadikan jaringan ini sangat luar biasa pada awal usia 17 tahun.

 

Latihan dan pembentangan dalam kumpulan

 

A - Attitude (Sikap)

 

Ketiga, ATTITUDE. Beberapa orang anak kapal bertanya, “Mengapa pelayaran ini terlalu lama sehingga 42 hari?” Selaku nakhoda, saya perlu menjawab setiap persoalan anak kapal bagi mewujudkan keserasian antara kami semua.

 

Jawapan saya mudah, “Kerana ada pendapat mengatakan, jika kita ingin mengubah sikap seseorang sehingga menjadi kebiasaan (habit), maka kita memerlukan sekurang-kurangnya 40 hari”.

 

Sepanjang 40 hari, peserta bersolat jemaah lima waktu, membaca zikir mathurat, mendengar tazkirah, bertilawah dan membaca hadis. Aktiviti ini diharapkan dapat mengubah sikap dan personaliti peserta ke arah lebih positif, mencintai ilmu dan beramal dengan seikhlas hati.

 

Jika sewaktu pelayaran, amalan-amalan tersebut dilakukan secara ‘paksa rela’, diharapkan selepas ini perkara itu menjadi sukarela seperti kata pepatah “Biasakan yang betul, betulkan yang biasa”.

 

Perkongsian Prof Datuk Dr Harlina mengenai pemikiran kreatif dan kritis

 

K - Knowledge (Ilmu)

 

Keempat, KNOWLEDGE. Manusia paling bijak ialah mereka yang sentiasa mencintai ilmu. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

 

Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Mujadilah: 11)

 

Oleh yang demikian, pelayaran MHI kali ini amat mementingkan aspek ilmu dalam diri anak kapal. Mereka telah diberikan pelbagai ilmu antaranya akidah, ibadah, sirah dan hadis. Kesemua ilmu ini merupakan aset penting dalam membina asas jati diri seorang mukmin profesional.

 

Peserta MHI bergotong-royong membersihkan Masjid Kg Perik

 

E - Experience (Pengalaman)

 

Kelima, EXPERIENCE. Ibu segala ilmu adalah pengalaman. Pengalaman ini tidak boleh dibeli melalui buku dan kuliah di dalam dewan. Pengalaman perlu dirasai sendiri oleh setiap individu.

 

Sebab itu wujudnya pepatah “siapa makan garam dahulu”. Pepatah ini ingin menunjukkan beza individu yang berpengalaman dengan yang tidak berpengalaman. Menariknya pelayaran MHI apabila anak kapal dibawa ke Kampung Perik, Kuala Nerang, Kedah untuk aktiviti jaulah keluarga angkat.

 

Segala ilmu dan kemahiran yang telah diajar perlu dipraktikkan di kampung tersebut seperti aktviti kemasyarakatan, mempelajari budaya, menghargai kepayahan, menikmati alam dan menyantuni masyarakat setempat menjadi sajian penting sepanjang jaulah. Inilah pengalaman. Pengalaman yang tidak mampu dinilai harganya.

 

Maka, inilah formula SNAKE yang telah menjadi buah tangan buat semua anak kapal bahtera MHI 2019/2020. Formula ini bakal menjadi skill set yang penting bagi melahirkan negarawan yang mukhlisin (ikhlas) dan mukminin menjelang Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 nanti.

 

Semoga semua anak kapal dapat terus istiqamah menggigit dan berkongsi buah tangan ini sepanjang kehidupan mereka. Saya yakin mereka sudah boleh berlayar sendiri selepas ini dengan bekalan yang telah diberikan.

 

Benarlah pesan orang dahulu, “Kalau tidak dipecah ruyung, manakan dapat sagunya”. Sebagai nakhoda MHI, saya dan pasukan telah berusaha ‘memecahkan ruyung’, sekarang ‘sagu’ boleh dinikmati bersama.

 

Mohd Hafiz Abd Hamid
Pengarah MHI 2019/2020 (Nakhoda)
#MHI1920

Layari Facebook MHI: fb.com/madrasatulhayahikram/

Last modified on Wednesday, 29 January 2020

2 Comments

  • Comment Link Jannade Tuesday, 31 March 2020 02:04 posted by Jannade

    Best Canadian Mail Order Pharmacies buy cialis online from canada Order Celebrex cialis online cheap Viagra Sildenafil 100mg

  • Comment Link Jannade Wednesday, 01 April 2020 02:47 posted by Jannade

    Prezzi Cialis Viagra Levitra comprare cialis online Propecia Cancer De Prostata cheap cialis Prix Du Xenical En Parapharmacie

Leave a comment

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!