wrapper

Berita Terkini

الجمعة 3 شوّال 1442   |   Friday 14 May 2021
Thursday, 22 April 2021 11:20

Transformasi mimbar

Written by Abd. Aziz Ishak
Rate this item
(0 votes)

Suara mimbar sangat sinonim dalam kehidupan umat Islam. Setahun, 52 kali lontaran suara mimbar disipongangkan ke udara ditambah dengan dua kali untuk Aidilfitri dan Aidiladha. 

Ia sangat signifikan sebagai medium atau alat penyampai ad-Din yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia seantero alam. Suara mimbar yang tersuar di menara bagai tetuang udara untuk anak-anak kariah.

 

Mimbar selalunya berbentuk seperti menara dan di atasnya berkubah ataupun berbentuk piramid. Mimbar selalunya berhias dan unik walaupun mimbar zaman dahulu hanya mempunyai tangga dan tempat berdiri.

 

Mimbar terletak di tepi mihrab, dan kedudukannya menghadap arah kiblat (Mekah). Ia tempat suci di dalam masjid yang mulia sebagai wadah untuk khatib menyampaikan mesej yang baik kepada sidang jemaah. Pengaruh khutbah juga bukan calang-calang.

 

Peranan khutbah di mimbar secara terperincinya ialah sebagai platform penerangan, medium pembentukan akhlak dan amar makruf nahi mungkar, lidah kebenaran dan komunikasi dakwah serta pentas terbaik menanam kefahaman Islam.

 

Malah secara berseloroh rakan-rakan mencadangkan kepada sesiapa yang ingin melelapkan mata, maka silalah ke masjid pada hari Jumaat semasa khatib sedang berkhutbah. Walaupun sindiran tajam, namun perkara ini perlu dilihat dari sudut yang positif.

 

Memang tidak dinafikan sesetengah masjid, penyampaian khutbahnya menarik dan menyegarkan mata kuyu daripada dibelai angin kipas gergasi atau penyaman udara. Namun, perubahan drastik perlu dilakukan untuk menambah baik penyampaian khutbah dari segi isi kandungan dan gaya penyampaian.

 

Khutbah ialah rukun solat Jumaat. Selain kerukunannya dijaga, tidak menjadi kekhilafan jika perubahan dilakukan demi keberkesanan pengkhutbahan. Yang tersurat dan tersirat isi kandungan akan melekat ke sanubari jemaah.

 

Intipati khutbah hendaklah dibuat secara berhati-hati, bukan semberono dan jangan melepas batuk di tangga sahaja. Jangan hanya up-to-date sahaja. Perlu diingat manusia perlu bekalan dan sebaik-baik bekalan adalah takwa.

 

Aura khutbah dapat menyantuni, mengingatkan, menyedarkan seluruh lapisan masyarakat secara optimum di sanubari, minda atau kotak fikrah. Secara tidak langsung khutbah sebagai pemangkin untuk berfikir di luar kotak dan jemaah dapat membuat transformasi dalam amalan kehidupan.

 

Penyampaian khutbah dan teksnya memainkan peranan besar bagi menghasilkan khutbah yang menarik. Biarpun teks khutbah baik, namun boleh menjadi tidak menarik apabila disampaikan khatib yang tidak menjiwainya, apatah lagi jika disampaikan tanpa persediaan.

 

Justeru, ciri-ciri khutbah yang baik bergantung kepada khatib yang menyampaikan, topik yang dibicarakan, wujud unsur teguran, gaya penulisan yang menepati kaedah bahasa yang betul serta tarikan melalui persoalan yang dapat mengetuk hati pendengar berfikir. Ia perlu membuka kotak fikiran orang Islam, biar jelas dan menerima masuk kefahaman dan membawa perubahan.

 

Mimbar wajar berbicara secara kritikal tentang masalah tanah umat Islam, beri kesedaran tentang faraid, tentang urusan harta pusaka, tentang zakat, tentang derma masjid (yang ada di akaun sampai mencecah jutaan ringgit sedangkan anak kariah ada yang merana hidup). Ketengahkan soal mat rempit, air ketum, masalah telefon bimbit dan sebagainya secara terperinci supaya jemaah jelas dan faham.

 

Mimbar sebagai platform kesedaran masyarakat tentang peluang menuntut ilmu duniawi dan ukhrawi, biasiswa, bantuan pendidikan. Ulaskan tentang ekonomi, peluang-peluang perniagaan.

 

Dedahkan kepincangan masyarakat, sosio ekonomi, masalah politik (bukan mengutuk atau menghukum). Ceritakan faedah dan masalah media sosial (Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan sebagainya). Isu-isu semasa perlu diberi perhatian diulas dengan lebih kritikal.

 

Khutbah secara berpidato

 

Sampaikan khutbah secara berpidato. Kenapa Nabi tidak nyatakan “wal imamu yaqraul khutbah”? Hal ini menunjukkan khutbah itu disampaikan secara berpidato yang berkesan, bukan dibaca. Kebanyakan kita menterjemahkan “wal imamu yakhtubu” kepada “sedang imam membaca khutbah”. Apabila terjemahan salah ini diterima, kebanyakan khatib membaca teks untuk berkhutbah.

 

Hasilnya, lebih 99 peratus khatib begitu. Lebih parah, pemidato hebat yang boleh berceramah berjam-jam pun guna teks lantaran salah faham khutbah Jumaat mesti dibaca.

 

Jadi, beberapa persoalan harus difikirkan, iaitu kenapa khatib tidak menghadap kiblat, sebaliknya menghadap jemaah? Kenapa khatib berdiri ketika menyampaikan khutbah? Kenapa kedudukan khatib lebih tinggi daripada jemaah?

 

Jika kita renung persoalan itu, pasti hikmahnya ialah mewujudkan komunikasi lebih berkesan antara khatib dan jemaah. Inilah 'hablum minannas'. Kebanyakan khatib sekarang terus pandang kertas dan jarang renung wajah jemaah.

 

Antara kesan buruk pembacaan khutbah itu ialah jemaah lesu, mengantuk dan tidur; tiada mahabbah antara khatib dengan jemaah kerana tiadanya komunikasi mata. Penyampaian maklumat kepada jemaah kurang berkesan dan menjadi satu fitnah besar kepada Islam kerana kemungkinan ada menyangka bahawa khutbah Jumaat tidak lebih daripada ‘mantera’ yang mesti dibaca.

 

Pendekkan tempoh khutbah

 

Sebenarnya khatib di Malaysia mampu menyampaikan khutbah dengan baik dan berkesan berdasarkan alasan berikut, iaitu Islam itu indah dan mudah. Banyak rukhsah atau kelonggaran diberikan kepada umatnya. Kedua, Nabi Muhammad SAW menggalakkan masa penyampaian khutbah lebih pendek daripada masa sembahyang Jumaat dua rakaat.

 

Sabdanya: "Sesungguhnya panjangnya solat dan pendeknya khutbah seseorang itu menunjukkan pemahamannya tentang agama. Oleh itu, panjangkanlah solat dan pendekkanlah khutbah." (Hadis Riwayat Muslim, No. 869)

 

Rukun khutbah Jumaat cuma lima perkara kalau dilafazkan hanya ambil masa seminit sahaja. Ketika menyampaikan rukun ini, khatib tidak perlu baca kerana sudah hafaz. Seterusnya, bilangan khatib berbakat dalam pidato bukanlah ramai tetapi adalah kurang munasabah dalam satu-satu kawasan tiada seorang pun boleh berpidato dengan baik.

 

Kita yakin, jika khatib mampu berkhutbah dengan baik sama ada dari segi gaya penyampaian, isi, bahasa dan teknik komunikasi berkesan akan menyebabkan jemaah bersemangat datang awal ke masjid, beri kefahaman lebih mantap dan berkesan kerana komunikasi baik khatib dan jemaah serta khutbah Jumaat jadi saluran maklumat berkesan, relevan dan boleh dipercayai kerana berdasarkan etika kebenaran.

 

Jemaah juga pelbagai, antaranya mereka yang tumpu wajah khatib walaupun khatib hanya baca teks. Jemaah akan lebih fokus sekiranya khatib berkhutbah atau berpidato. Tunduk memandang tempat sujud walaupun khatib berkhutbah dengan baik adalah lantaran salah faham erti takwa bererti tunduk dan patuh.

 

Transformasi dan polisi khutbah

 

Mereka yang berniat tidur ketika khutbah disampaikan kerana khutbah menjemukan dapat dikejutkan dengan transformasi ini.

 

Jadi, dicadangkan supaya diadakan kursus dan pertandingan berkhutbah Jumaat untuk imam dan pelajar sekolah, bengkel latihan berkhutbah Jumaat untuk guru pendidikan Islam yang berbakat dalam pidato, menggalakkan masjid menjemput guru agama yang tinggal atau bertugas di kawasan itu.

 

Masjid juga boleh menjemput pakar dalam bidang masing-masing untuk menyampaikan khutbah mengenai isu semasa. Sebagai contoh, pegawai tadbir boleh berkhutbah cara pengurusan dan kepemimpinan.

 

Untuk merealisasikannya, pihak berwajib perlu mengkaji semula polisi antaranya sama ada khatib mesti membaca teks khutbah disediakan, hanya imam masjid dan segelintir pegawai agama Islam boleh menyampaikan khutbah.

 

Disarankan juga agar pihak berwajib merangka garis panduan, kod etika khatib dan format khutbah serta mengadakan segera bengkel latihan berkhutbah untuk pegawai agama Islam negeri terlebih dahulu kerana mereka diamanahkan dan diberi kuasa menjadi nadi penggerak masjid.

 

Semoga dengan usaha ini, penyampaian khutbah Jumaat di masjid dapat dipertingkatkan mengikut kehendak Islam seperti ditunjukkan Nabi Muhammad SAW.

 

Intihanya, mimbar khutbah dapat dijadikan lokasi perubahan penting untuk umat Islam berubah cara fikir dan cara bertindak dengan lebih dinamik.

 

Biar lontaran suara pidato khutbah khatib setiap minggu bergema di dewan masjid berdegar-degar dan melantun di atmosfera kariah jelas dan mantap, menggegar jiwa dan minda yang dapat mencetus perubahan umat Islam.


Abd. Aziz Ishak (ABI)
Bekas Pensyarah

Kredit foto: Mogulesque

Read 81 times Last modified on Thursday, 22 April 2021 12:08

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!