wrapper

Berita Terkini

الأحد 24 رجب 1442   |   Monday 08 March 2021
Thursday, 28 January 2021 12:11

Ke mana industri buku 2021?

Written by Ishak Hamzah
Rate this item
(0 votes)

Penggiat industri menamakan aktiviti perbukuan sebagai industri buku, hatta buku tidak pernah diterima sebagai industri. Sebagaimana juga kita menganggap buku kuning Dasar Buku Negara (DBN) sebagai kitab dasar buku negara, hatta sejak terhasil, tiada usaha bersungguh-sungguh melaksanakan DBN oleh kerajaan.

Congak-congak industri buku kini dikatakan bernilai kira-kira RM500 juta tetapi jauh daripada angka RM1 ribu juta (bilion). Angka-angka itu hanya untuk kita menilai kewajaran dan potensi industri buku tetapi tidak memberikan makna kepada penggiat industri.

 

Sejak beberapa tahun yang lalu, dengan tambahan libasan impak Covid-19 dan PKP, industri buku memang sudah terjejas teruk. Masihkah ada harapan dalam industri buku?

 

Kalau industri buku dilihat sebagai komponen pendidikan, tentunya ada peluang bagi penerbitan yang berorentasikan pendidikan.  Penerbit yang berorentasikan pendidikan lebih memahami senario ini.

 

Jika industri buku dilihat sebagai satu komponen bisnes, tentu sahaja ada peluang bagi penerbit yang mengenal pasti ruang, peluang dan strategi perniagaan. 

 

Dalam situasi hari ini, cabaran adalah lebih besar bukan sahaja kerana situasi ekonomi, saingan teknologi, kecenderungan membaca, belanjawan yang tidak cenderung buku, malah kerana ‘industri buku’ ini telah terlerai memasuki lebuh raya yang lebih besar, yang boleh disebut sebagai industri kandungan.

 

Lebuh raya ini lebih banyak pemandu daripada pemain teknologi, seniman, ahli muzik, pelukis, penulis swaterbit  malah sesiapa sahaja yang ada ilmu ataupun kemahiran khusus. Medium akhirnya juga bukan sahaja dalam bentuk bercetak malah bercambah dalam bentuk digital, aplikasi, kandungan media sosial, realiti imej malah mengalir dalam pelbagai platform di telefon bimbit.

 

Kini penerbitan buku (dibaca sebagai ‘penerbitan kandungan’) perlu kembali menyelesaikan beberapa isu sebelum diterbitkan antaranya buku/kandungan apa, apa medium/platform penerbitan (tidak hanya bercetak), siapa pasarannya dan apa mekanisme pemasaran (kesampaian kepada pasaran).

 

Pada waktu buku dikatakan semakin kurang diterbitkan, situasi hari ini menampakkan kelahiran banyak penulis baru. Penerbit baru, penulis sifu, entiti baru juga pemain baru memainkan peranan membimbing penulis dan melahirkan pelbagai kompilasi mahupun karya persendirian yang bergerak tanpa menghiraukan situasi pasaran.

 

Kumpulan ini membina dan mencari pasaran baru. Impaknya belum besar buat masa ini tetapi kelihatannya ini adalah antara nafas baru dalam industri kandungan.

 

Bagaimana industri buku 10 tahun mendatang?

 

Adakah buku akan kekal? Sebelum ini apabila menyebut buku, kita lazimnya merujuk kepada buku bercetak. Cuma hari ini buku juga sudah terbit dalam bentuk digital sama ada e-book, audio book, video book dalam talian malah kandungan yang sama daripada buku menjadi pelbagai bahan digital.

 

Apabila buku terhasil dalam bentuk digital, akan berlaku pertembungan dengan pelbagai kandungan lain dalam bentuk digital.

 

Adakah ini akan menyebabkan buku bercetak luput? Buku bercetak adalah satu satu medium terbitan yang kini semakin pelbagai. Satu ketika dahulu, kamera adalah kehendak ramai orang. Kini pasaran kamera semakin kurang kerana kamera sudah boleh diperolehi dalam telefon bimbit.

 

Begitu juga jam tangan. Orang tidak perlu sangat jam tangan sebab dalam telefon pintar sudah ada jam tangan. Juga dilihat siapakah yang masih memiliki radio. 

 

Sesuatu industri terkesan dengan perkembangan teknologi. Sudah tentu juga industri buku terkesan dengan perkembangan teknologi dan memasuki kolam besar industri kandungan.

 

Industri buku sudah melalui pelbagai fasa dan cabaran sebelum ini. Pada suatu waktu, industri buku adalah industri yang dikuasai oleh pemilikan asing.

 

Hingga suatu ketika, penerbitan buku sangat berkisar kepada pasaran buku sekolah sahaja. Penerbit-penerbit Melayu hanya mula tumbuh secara kecil-kecilan pada akhir 1980-an.

 

Bersamalah ambil peduli akan situasi dan keadaan ini.

Tuan Ishak Hamzah adalah Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC), mantan Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia dan penulis buku 'Siri Apresiasi Tokoh : Anekdot Seorang Pencerita'.

Read 165 times Last modified on Thursday, 28 January 2021 15:21

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!