wrapper

Berita Terkini

الجمعة 9 جمادى الثانية 1442   |   Friday 22 January 2021
Tuesday, 08 December 2020 15:12

Jangan terpedaya dengan Macau Scam

Written by
Rate this item
(0 votes)

Kegiatan jenayah sindiket penipuan Macau Scam di negara ini semakin menjadi-jadi dengan kerugian mangsa yang bukan sedikit, tetapi melibatkan ratusan juta ringgit setiap tahun walaupun pihak berkuasa sedang giat membendungnya.

Dengan taktik licik menyamar sebagai pegawai daripada agensi pihak berkuasa atau bank, mereka menghubungi mangsa dan mendakwa ada masalah di akaun bank atau tunggakan pinjaman seterusnya menyuruh mangsa membayar amaun tertentu untuk mengelakkan daripada didakwa di mahkamah atau dipenjara.

 

Ramai yang terpedaya kerana panik dan takut terutamanya warga emas lantas mereka memindahkan duit kepada penjenayah ini dan akhirnya menanggung kerugian yang besar bahkan ada yang mencecah jutaan ringgit seorang.

 

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menunjukkan rakyat Malaysia kerugian lebih RM518 juta dalam tempoh dua tahun lalu akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam melalui satu temu bual yang dilaporkan Sinar Harian, 28 November 2020.

 

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, angka itu dijangka meningkat pada tahun ini apabila setakat 18 November lalu, sebanyak RM264 juta kerugian dilaporkan berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak RM254 juta.

 

Kerugian dengan angka ratusan juta ringgit dalam sesuatu jenayah merupakan satu angka yang menggerunkan. Jika jenayah terancang ini tidak dibendung dengan tegas dan hukuman yang lebih keras, ia boleh menjadi satu krisis nasional yang boleh mengancam kelestarian dan keharmonian masyarakat.

 

Yang lebih menyedihkan, kegiatan jenayah ini disyaki turut melibatkan lebih 20 anggota polis seperti yang disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini. Jika terbukti, penglibatan ini sudah pasti mencemarkan imej pasukan keselamatan itu sendiri yang sedang berusaha keras membanteras jenayah tersebut.

 

Beliau mengakui bahawa pegawai kanan polis adalah antara yang diambil tindakan berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

 

Menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya, pegawai dan anggota polis terbabit bakal berdepan digantung tugas selain ditamatkan perkhidmatan jika pembabitan mereka dibuktikan, seperti yang dilaporkan Bernama pada 20 November 2020.

 

Teringat penulis satu peristiwa pada awal tahun ini. Penulis dihubungi seseorang yang mendakwa seorang pegawai bank yang memaklumkan bahawa penulis mempunyai hutang tertunggak kad kredit di sebuah bank berjumlah ribuan ringgit.

 

Memang penulis adalah pelanggan bank itu tetapi satu kesalahan besar pemanggil tersebut ialah penulis tidak pernah memohon atau mempunyai kad kredit di mana-mana bank. Jadi, penulis menafikannya dan terus menghentikan perbualan.

 

Apa langkah yang perlu diambil jika menerima panggilan sebegini?

 

1. Jika sekiranya mendapat panggilan dan tertera di telefon bimbit nombor-nombor yang tidak kenali atau nombor luar negara yang panjang, abaikan sahaja. Terima panggilan yang benar-benar dikenali dan diyakini sahaja.

 

2. Jika ingin juga menerima panggilan tersebut, kenal pasti siapa namanya dan dengar dahulu apa yang mereka minta.

 

3. Jika pemanggil mendakwa ia daripada agensi kerajaan seperti mahkamah, polis atau bank serta mendakwa anda ada terlibat kes dadah, pengubahan wang haram, tunggakan pinjaman, kad kredit atau sebagainya serta meminta untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun tertentu supaya tidak didakwa atau dipenjara, jangan cepat panik.

 

4. Jangan dedahkan maklumat perbankan anda seperti nombor akaun, nombor kad kredit, kata laluan dan sebagainya kepada pemanggil yang tidak dikenali jika diminta. Mana-mana agensi kerajaan atau bank tidak akan meminta maklumat sebegitu. Ia jelas satu penipuan.

 

5. Jangan teruskan perbualan itu. Dapatkan nombor rasmi agensi kerajaan atau bank terbabit dan hubungi mereka untuk mendapatkan pengesahan lanjut.

 

6. Hubungi polis atau SPRM jika ada info lanjut mengenai sindiket penipuan kewangan seperti Macau Scam.

 

Membanteras jenayah kewangan sebesar Macau Scam ini bukan hanya terletak kepada agensi penguatkuasaan atau mahkamah sahaja. Peranan masyarakat amat penting supaya mereka mampu mencegah jenayah ini terjadi dan sentiasa berwaspada dengan panggilan daripada sesiapa sahaja yang tidak dikenali yang meminta supaya memindahkan wang.

 

Bagi anak muda yang sentiasa mendapat maklumat mengenai sindiket penipuan terancang ini, mereka perlu memesan rakan-rakan, ahli keluarga dan ibu bapa mereka terutamanya warga emas atau pesara agar berhati-hati dengan sebarang panggilan yang licik ini dan melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan dengan masalah tersebut.

 

[Minda Editor]

Read 195 times Last modified on Tuesday, 08 December 2020 15:19

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!