wrapper

Berita Terkini

الجمعة 22 رجب 1442   |   Friday 05 March 2021
Thursday, 05 November 2020 17:34

Isu kemiskinan: Perlu ditangani atau bertambah lagi

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)

Kemiskinan merupakan isu yang masih tiada berkesudahan dan perlukan perhatian yang teliti terutamanya pihak kerajaan bagi membendung agar ia tidak terus melonjak hingga menyebabkan situasi kritikal berlaku.

Memang ia tidak semudah yang dikatakan. Namun, kerajaan perlu mengambil sikap yang lebih rasional lagi drastik apalagi ia berkaitan ekonomi dan rakyat. Jangkaan peningkatan mendadak peratus kemiskinan rentetan daripada pendemik COVID-19 yang melanda perlu ditangani dengan sebaik mungkin.

 

Belanjawan 2021 yang bakal dibentang tentunya diharapkan banyak berpihak kepada kepentingan rakyat terutamanya daripada aspek memperbaiki taraf hidup ketika dan pasca COVID-19 ini.

 

Isu kemiskinan menjadi topik fokus Bicara Bina Negara (BBN) kali ketiga anjuran Jabatan Kajian dan Advokasi pada hari ini secara langsung di laman Facebook Pertubuhan IKRAM Malaysia, bersama Penasihat Penyelidikan/Penerbitan, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Prof Dr Fatimah Kari.

 

“Sebenarnya, ini adalah isu yang menyentuh emosi dan juga menyentuh kemanusiaan kita. Isu kemiskinan ini, kadangkala kita melihatnya, semakin banyak kita buat, semakin banyak isu kemiskinan ini,” kata beliau.

 

Benar, sesiapa sahaja akan rasa tersentuh hati jika isu ini dibualkan. Adalah sesuatu yang pelik jika mereka yang mendengar atau melihat mereka yang dalam keadaan seperti ini (miskin) akan berasa suka.

 

Jadi, setiap kita perlu melihat situasi seseorang itu dengan selayaknya. Bukan membiarkannya tetapi turut merasa peduli serta simpati agar melahirkan rasa kasih dan terbit sikap tanggungjawab kepada diri kita untuk membantu, mana yang mampu.

 

Pada Ogos 2019, merujuk penulisan Prof Dr Mohd Nazari Ismail yang disiarkan di Astro Awani bertajuk ‘Masalah kemiskinan di Malaysia: Punca dan Penyelesaian’, mengetengahkan kenyataan pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Philip Alston yang mengisytiharkan kaedah yang digunakan untuk menentukan kadar kemiskinan di Malaysia adalah tidak sesuai serta tidak memberikan gambaran sebenar tentang keadaan kemiskinan di negara kita.

 

Menurut beliau, kaedah yang digunakan oleh kerajaan Malaysia adalah tidak wajar kerana berpandukan kepada garisan kemiskinan yang tidak realistik (iaitu RM980 sebulan bagi satu keluarga yang mempunyai empat ahli).

 

 

“Akibat dari penggunaan kaedah ini, kadar kemiskinan di Malaysia adalah hanya 0.4 peratus dan dengan itu memberikan gambaran bahawa Malaysia seolah-olah telah berjaya menghapuskan terus masalah kemiskinan sedangkan negara-negara Eropah, Jepun dan Amerika masih terbelenggu dengan masalah kemiskinan.”

 

Mengambil pandangan Prof Dr Fatimah, dari satu segi, kenyataan beliau itu telah banyak menimbulkan kesedaran.

 

“Kita sebagai penyelidik mengakui, bahawa selama ini kita mempunyai masalah dengan data yang boleh digunakan. Cumanya kita sebagai penyelidik, saban kali mengatakan selagi data statistik itu tidak dikongsi dengan terbuka, kita tidak terdedah dengan kaedah-kaedah yang betul dan tidak akan dapat keputusan yang tepat bagaimana mengukur garis kemiskinan.”

 

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan beberapa cabaran terutamanya mengenai data yang berbeza dan mengharapkan Jabatan Statistik Negara boleh berkongsi data secara terbuka.

 

Menurutnya, ini kerana di Malaysia tidak mempunyai amalan seperti itu dan tidak mudah bagi penyelidik untuk mengekses kepada data berkenaan, selain terlalu mahal untuk dibeli.

 

Berbanding dengan negara jiran, Indonesia merupakan satu model negara di mana data tentang kemiskinan ini adalah secara terbuka.

 

Realitinya, situasi berbeza ini adalah akibat daripada penggunaan kaedah pengiraan yang berbeza dan tidak sama. Di negara lain, kaedah yang digunakan adalah ‘kemiskinan relatif’ (relative poverty) iaitu sesebuah keluarga dikatakan miskin jika pendapatan adalah kurang 60 peratus daripada pendapatan median di negara tersebut.

 

Tentunya, bagi mendapat gambaran taraf kemiskinan  rakyat Malaysia dengan lebih tepat, para penyelidik perlu merujuk statistik yang tepat daripada Jabatan Statistik Negara kerana mereka merupakan agensi yang diberi tanggungjawab untuk menyimpan dan juga mengutip data berkenaan.

 

Data daripada jabatan itu akan menghasilkan keputusan yang tepat serta dapat menjelaskan situasi dan keadaan sebenar taraf kemiskinan di negara ini, tetapi itu tidak berlaku.

 

Dalam program bicara yang dijalankan secara langsung itu, beliau turut memperkatakan mengenai aspek kemiskinan di negeri Sabah dan Sarawak yang sangat berbeza sekali dengan Semenanjung.

 

“Jika kita lihat kepada unjuran, kedudukan dan data-datanya jauh lebih kritikal dibandingkan dengan Semenanjung kerana faktor yang menyebabkan dimensi kemiskinan di Sabah dan Sarawak memerlukan satu acuan yang berlainan dari segi luasnya kawasan dan kemudahan asas seperti jalan raya,” demikian menurutnya.

 

Persolan yang jelas yang boleh sama kita lontar dan fikirkan ialah, bagaimana negara kita mampu mengendalikan isu ini dengan sebaiknya apalagi dalam keadaan situasi pandemik yang belum nampak kesudahannya?

 

Marilah kita bersama-sama saksikan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan kerajaan esok. Adakah segala permasalahan ini akan terubat atau makin melarat?

Read 225 times Last modified on Thursday, 05 November 2020 17:50

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd