wrapper

Berita Terkini

الجمعة 12 ربيع الثاني 1442   |   Saturday 28 November 2020
Friday, 23 October 2020 12:48

Membina naratif pertengahan dalam perpaduan nasional

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)


Bagi merealisasikan aspirasi semua rakyat untuk bersatu menghadapi sebarang kemungkinan, ia perlu diperkuatkan dengan satu kata iaitu perpaduan.

Setiap tahun ketika hampirnya Hari Kemerdekaan, perkataan ini sering kali diungkapkan bagi menzahirkan rasa, mempertahankan kemerdekaan yang telah sedia dinikmati, adalah dengaan satu kata iaitu perpaduan.

 

Dengan bahasa mudahnya, perpaduan bermaksud proses menyatukan pelbagai bangsa dalam sesebuah negara supaya mempunyai hasrat dan cita-cita yang sama mengenai negaranya.

 

Sebagaimana kata Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) merangkap Ketua Pasukan Advokasi Perpaduan Nasional, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hj Zaid Kamaruddin:

 

"Kalau tidak berlaku perpaduan nasional, maka akan berlakulah huru-hara."

 

Beliau berkata demikian dalam Bicara Bina Negara (BBN) kali kedua anjuran Jabatan Kajian dan Advokasi dengan kerjasama Jabatan Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan IKRAM Malaysia, yang diadakan pada 21 Oktober lalu secara langsung di laman Facebook Pertubuhan IKRAM Malaysia, yang membicarakan mengenai 'Perpaduan Nasional: Perlu Naratif Baharu?'

 

Tentu tiada sesiapa yang inginkan huru-hara atau dengan kata lain kacau-bilau berlaku. Tidak dinafikan pelbagai usaha kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah melaksanakan program dan kempen kesedaran mengenai ini.

 

Sebagai contoh yang dilaksanakan kerajaan ialah pembentukan sosioekonomi yang membolehkan semua kaum dan etnik turut serta dalam proses pembangunan negara. Tidak terkecuali, penstrukturan semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu dengan memberi fokus kepada membasmi kemiskinan berasaskan kaum.

 

Seterusnya, penglibatan golongan miskin dalam pelbagai corak pembangunan ekonomi dengan menubuhkan beberapa agensi yang berkaitan seperti MARA, FELDA, UDA dan sistem pendidikan pula dijadikan sebagai medium utama pembentukan perpaduan iaitu dengan menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di semua peringkat, dari yang tinggi hinggalah di peringkat rendah.

 

Namun usaha-usaha ini tetap tidak menjadi realiti jika rakyat tidak turut sama melaksanakan peranan mereka dalam merealisasikan agenda perpaduan nasional tersebut.

 

Memang benar, rakyat perlu menolak polarisasi kaum dan agama demi keharmonian dan perpaduan berbilang bangsa di negara ini. Seterusnya, perpaduan yang diidamkan boleh dicapai dengan usaha terus-menerus pemantauan kesepaduan dan pembinaan tapak integrasi sebagai instrumen utama penyatupaduan.

 

Cabaran yang terbentang kini ialah masih terdapat pihak menggunakan sentimen perkauman, bangsa atau agama dalam sesuatu isu.

 

Media mahupun masyarakat yang aktif di media sosial, tidak perlulah lantang menggemburkan bangsa atau agama seseorang itu apabila berlakunya sesuatu isu. Alangkah harmoninya, jika agama, bangsa mahupun etnik seseorang itu tidak disebutkan.

 

Hari Malaysia sebagai Hari Perpaduan

Sebagaimana yang disarankan Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye pada 16 September 2018:

 

"Hari Malaysia seharusnya diisytiharkan sebagai ‘Hari Perpaduan’ bagi mencerminkan aspirasi semua rakyat Malaysia untuk bersatu menghadapi sebarang kemungkinan dan melalui sambutan Hari Malaysia juga rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia akan berasa semakin dekat menerusi semangat integrasi dan perpaduan nasional."

 

Mungkin ada rasionalnya saranan yang diberikan oleh Tan Sri Lee Lam Thye ini. Namun kempen atau saranan perlu dilaungkan selalu. Bermula daripada pemimpin negara hingga ke rakyat jelata, usaha-usaha ini perlu dipergiatkan.

 

Perpaduan nasional memerlukan naratif baharu, namun tentunya ia boleh diwujudkan daripada penerimaan serta pemahaman yang jelas daripada kemajmukan rakyat negara ini. Ia bukan mudah namun ia bukanlah sesuatu yang sukar.

 

Perlulah kita sedari, kepelbagaian masyarakat Malaysia adalah suatu rahmat dan kekuatan kita semua. Naratif baharu itu perlulah berkonsepkan atau bermatlamatkan bagaimana kita boleh mengerahkan kekuatan untuk memajukan negara.

 

Penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah, Dr Shamsiah Mohamad dalam artikel beliau yang tersiar di Sinar Harian Online pada 10 Oktober 2019 ada menjelaskan tentang ‘Syarat Membina Perpaduan’.

 

“Sesebuah negara tidak mungkin boleh membina kekuatan dalam apa jua aspek sekalipun jika anggota masyarakatnya berpecah-belah.”

 

Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi satu titik hitam yang menunjukkan betapa rapuhnya ikatan perpaduan antara kaum di Malaysia dan kemudiannya Rukun Negara pun diperkenalkan.

 

Rukun Negara itu dilancarkan dengan matlamat yang sangat harmoni. Prinsip-prinsip yang dizahirkan padanya jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan, keharmonian dan kesejahteraan negara.

 

Persoalan yang perlu kita semua rakyat Malaysia jawab ialah:

 

“Adakah Rukun Negara yang indah itu diselami maknanya dan  menjadi manifestasi kita sebagai rakyat Malaysia bagi merealisasikan sebuah negara yang aman, harmoni lagi sejahtera dengan wujudnya berbilang kaum, etnik dan bangsa, yang dengan kata lainnya perpaduan?”

 

Tanyalah diri, agar jawapannya ditemui.

 

Titik persamaan

Benarlah apabila adanya titik persamaan ini, banyak perkara yang boleh kita bincang dan rungkai sesuatu masalah tersebut serta mencari solusinya bersama.

 

Waktu itu kita tidak perlu meletakkan lagi permasalahan itu berdasarkan kaum, sebagai contoh, “Ini masalah orang Melayu. Ini masalah orang Cina dan ini masalah orang India.” Akan tetapi, masalah itu diselesaikan bersama agar ia tidak ditangani sendirian hingga mencetuskan permasalahan yang lain pula.

 

Pemimpin negara seharusnya sering menghamparkan medium penyatuan untuk rakyat pelbagai kaum, menjadikan kompas atau panduan agar dapat bersama merealisasikan impian dan kejayaan negara dengan wujudnya perpaduan.

 

Tahukah kita? Dengan mengamal dan melaksanakan perpaduan di negara ini, bukanlah kita menghilang atau menghakiskan identiti diri yang sudah wujud sejak lahir lagi.

 

Realitinya, seorang Melayu akan tetap Melayu, seorang Cina akan tetap Cina, seorang India akan tetap India dan begitu juga dengan kaum, etnik ataupun bangsa yang lain.

 

Menerima satu sama lain, tanpa mempersoalkan atau prejudis terhadap bangsa, agama dan etnik perlulah diterapkan sedari kecil lagi, selain memupuk diri berbangga sebagai rakyat Malaysia. Kerana dari situ, seseorang itu mampu menanam semangat patriotisme dan meningkatkan perpaduan.

 

Rukun Negara sewajarnya menjadi panduan kita untuk membangunkan bangsa dan ia perlu dihormati oleh semua pihak. Tentunya jika perpaduan diwujudkan atas dasar perkauman atau agama mahupun etnik, tentu ia akan mampu bertahan lama.

 

Kita semua patut bersetuju dengan pandangan Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Hj Badlishah Sham Baharin dalam sebagai panelis Bicara Bina Negara (BBN) baru-baru ini iaitu:

 

“Sentimen perkauman, bangsa dan agama dalam sesuatu isu, boleh ditangani dengan memperbanyakkan naratif pertengahan seperti memperbanyakkan penulisan tentang naratif pertengahan, memperbanyakkan contoh-contoh tentang membina keharmonian, perpaduan, kesepaduan dalam masyarakat.”

 

“Semua itu dapat dilaksanakan dengan mewujudkan kerangka pemerkasaan komuniti dalam usaha memacu perpaduan nasional ini. Sekiranya contoh-contoh itu dapat dibina dalam komuniti itu sendiri dan suasana yang kita bina itu berjalan, dilaksanakan, dihayati oleh komuniti dan masyarakat, dengan sendirinya seruan-seruan yang menyeru kepada sentimen perkauman, bangsa dan agama ini akan tenggelam.”

 

Tahukah kita apa naratif pertengahan (middle ground narrative) yang dimaksudkan beliau itu?

 

“Semua orang ada peranan dalam pembangunan sesebuah negara itu, mengamalkan pendekatan untuk dapat berbincang perkara ini kerana naratif yang ingin dibawa ialah ‘middle ground narrative’ atau dengan bahasa kita bermaksud naratif pertengahan.”

 

“Maknanya, semua orang ada sumbangan dan berperanan kepada pembangunan negara itu. Kita tentunya ingin melihat kepada titik persamaan daripada melihat titik perbezaan. Jadi ‘common ground’ itu ialah mencari titik persamaan, ini adalah sesuatu yang secara rasionalnya adalah lebih baik.”

 

“Kita semua perlu menjadikan ini sebagai agenda bersama untuk perpaduan negara. Prinsip-prinsipnya harus sentiasa ditegakkan dan dipraktikkan kerana ia tidak boleh diambil mudah kerana melibatkan soal kestabilan, kedamaian dan keharmonian negara yang sudah kita capai setakat ini.”

 

Realitinya, perpaduan rakyat Malaysia adalah satu perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam proses pembangunan negara. Selain daripada ekonomi dan politik, aspek perpaduan juga merupakan agenda penting dalam kemajuaan sesebuah negara. Hakikatnya ekonomi dan politik yang stabil akan memberi sumbangan yang besar dalam proses perpaduan negara ini.

 

Jadi sebagai rakyat, bersama-samalah kita merealisasikan impian Malaysia sebagai Negara Rahmah yang bersandarkan perpaduan yang utuh, jitu dan bukan lemah, yang tidak mampu digugat oleh sesiapa pun. Ayuh kita mulakan dengan diri sendiri dan lingkungan kita!

Read 162 times Last modified on Friday, 23 October 2020 13:22

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd