wrapper

Berita Terkini

الخميس 6 ربيع الأوّل 1442   |   Thursday 22 October 2020
Thursday, 15 October 2020 17:43

Wanita hebat lonjak nama ke seantero dunia

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)


Inspirasi, jika disebut perkataan itu, tentu kita terfikir ada sesuatu yang menarik terhadap diri seseorang yang dikisahkan.

Boleh jadi di sebalik mekar harum namanya, terdapat pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapinya hingga kisah itu menjadi sesuatu yang memberi impak yang besar kepada negara hingga ke seantero dunia.

 

Sesiapa pun mampu memberi inspirasi kepada orang lain, mungkin ada yang menyedarinya dan ada yang tidak sedar akan hakikat itu.

 

Seseorang menempa nama yang membanggakan untuk negara adalah sesuatu yang sangat wajar kita ambil peduli. Tidak kira ia berbangsa apa atau menganuti agama apa, kita wajar mengangkat kisahnya sebagai motivasi untuk melahirkan generasi terbaik negara, insya-Allah.

 

Baru-baru ini, Lt. Lohappriya Manisegaran muncul sebagai wanita Malaysia berbangsa India yang pertama menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan namanya kini menjadi bualan di media sosial.

 

Beliau yang berasal dari Klang adalah salah seorang daripada 38 pelatih yang hadir dalam Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan untuk Kursus Penerbangan Asas Siri 81/18 dan Kursus Penerbangan Helikopter Asas Siri 60/18 di Dewan Aeroangkasa, Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas di Alor Setar pada 9 Oktober baru-baru ini.

 

Daripada 38 itu, lapan adalah juruterbang pejuang, 15 adalah calon juruterbang, dan 15 adalah juruterbang helikopter. Kesemuanya akan berkhidmat di tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Perjalanan hampir enam tahun beliau menunjukkan hasil yang membanggakan hingga menyandang Pegawai Kadet UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi di Kuala Lumpur dan kini berpangkat leftenan dan menjadi juruterbang wanita Malaysia berbangsa India pertama TUDM.

 

Khabar itu tentunya menjadi inspirasi dan motivasi kepada mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang seperti Lt. Lohappriya ini.

 

Di sebalik kisah yang menaikkan nama Malaysia ke seantero dunia ini, pada 2018, seorang wanita muda Malaysia berusia 19 tahun menjadi pelajar wanita pertama Malaysia yang didaftarkan di Akademi Angkatan Laut Amerika Syarikat (USNA).

 

Beliau yang bernama, Janushaa Bala Krishnan Muthiah menyertai program diploma empat tahun di Akademi Tentera Annapolis, Maryland, Amerika Syarikat bersama-sama dengan kadet lain dari seluruh dunia.

 

Janushaa merupakan pelajar kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menjadi salah seorang daripada 15 pelajar yang dipilih daripada lebih 157 buah negara.

 

Harapan beliau sangat tinggi iaitu berharap satu hari nanti dirinya akan menjadi juruterbang profesional. Ini bagi membuktikan bahawa jantina bukan penghalang untuk mencapai impian yang dicita-citakan.

 

Jadi, mereka yang terpilih itu bukanlah calang-calang usahanya untuk menggapai impian. Masya-Allah, hebat bukan?

 

Mejar Patricia Yapp Syau Yin pula merupakan juruterbang wanita pertama yang mengendalikan pesawat pejuang MiG-29.

 

Beliau yang bercita-cita menjadi juruterbang pesawat pejuang TUDM tidak melihat fizikalnya yang lebih kecil berbanding lelaki sebagai penghalang kerjaya penerbangan.

 

Sebagaimana memetik kata Patricia;

“Minat dan jangan pernah berputus asa adalah kunci utama bagi wanita khususnya golongan muda yang mahu menceburi bidang penerbangan ketenteraan.”

 

Beliau telah bertugas selama 20 tahun dalam TUDM dan berpengalaman sebagai juruterbang pesawat pejuang selama lima tahun tahun dari 2003 hingga 2007 sebelum ditugaskan sebagai jurulatih pesawat pelatih Pilatus PC-7 MKII di KTU.

 

Sebelumnya, negara kita sudah ada juruterbang pesawat iaitu Lt. Kol. Emilia Kamaruddin dari Selangor merupakan wanita pertama menjadi juruterbang pesawat pejuang.

 

Beliau mahir mengendalikan jet-jet pejuang hebat seperti Skyhawk, Hawk, Pilatus PC-7, Aermacchi MB339 dan Aerotiga MD3.

 

Emilia pernah menjadi juruterbang pesawat Skyhawk di Pengkalan TUDM Kelantan dari tahun 1989 hingga 1992. Kemudian, menjadi jurulatih di Pusat Latihan Terbang Satu di pengkalan TUDM Alor Setar (1992-1995) dan merupakan wanita pertama dalam ATM menjadi jurulatih penerbangan.

 

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Operasi Pusat Simulator Pejuang di Pengkalan TUDM Butterworth, Pulau Pinang (1995 hingga 1998). Seterusnya, pada tahun 1999 hingga 2001, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Memerintah di Pusat Simulator Pejuang.

 

Bermula tahun 2001, beliau merupakan Ketua Sayap KAKU di Institut Latihan Instruktor Terbang di Pengkalan TUDM Alor Setar, Kedah dan sering dijadikan rujukan kepada generasi muda untuk membina kejayaan sebagai juruterbang dan nama beliau terpahat dalam buku Malaysian Book of Records.

 

Okey, saya memang tidak kenal empat wanita hebat yang melonjakkan nama ke seantero dunia ini. Namun, apabila membaca kisah-kisah mereka menggapai kejayaan, sebagai rakyat Malaysia, saya sungguh berbangga dengan pencapaian mereka, apatah lagi mereka adalah wanita.

 

Sungguh, “tangan yang mengayun buaian mampu menggoncang dunia”. Teruslah wahai wanita, walaupun sering dikaitkan bersifat lemah-lembut dan keibuan, mereka mampu menyumbang tenaga dan idea untuk membangunkan negara.

 

Hakikatnya, ramai lagi rakyat Malaysia jauh lebih berjaya dalam pelbagai bidang lain yang boleh menjadi inspirasi rakyat Malaysia. Tahniah buat anda semua yang telah menjulang nama Malaysia ke persada dunia.

Read 227 times Last modified on Thursday, 15 October 2020 17:51

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd