wrapper

Berita Terkini

الخميس 6 ربيع الأوّل 1442   |   Thursday 22 October 2020
Monday, 21 September 2020 14:25

Tadah air hujan teknik zaman batu?

Written by Nizam Rahman
Rate this item
(0 votes)


Baru-baru ini kecoh dengan kenyataan menteri di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggalakkan rakyat Kelantan untuk menadah air hujan untuk kegunaan harian.

Kenyataan ini menerima pelbagai reaksi daripada kalangan netizen, hingga ada yang menyifatkan cadangan itu seperti kembali ke zaman batu, mundur dan tidak futuristik.

 

Namun, cadangan ini tidaklah seteruk yang disangka. Kaedah ini ternyata sudah lama dipraktikkan di negara-negara lain seperti Brazil, New Zealand, Korea Selatan, Thailand dan banyak lagi.

 

Langkah ini diambil sebagai alternatif kepada sistem saliran air yang memerlukan kos yang tinggi dan ternyata terbukti ianya mampu menjimatkan sumber. Air hujan yang ditadah boleh digunakan untuk mengairi tanaman, membasuh pinggan, mencuci bilik air dan juga boleh dijalankan penulenan untuk kegunaan sebagai sumber minuman.

 

Kaedah penadahan air hujan ini juga telah digunakan oleh beberapa kolej kediaman di Universiti Malaya, Kuala Lumpur bagi memudahkan para pelajar membersihkan kenderaan mereka.

 

Dengan kekurangan air menjadi masalah mendesak bagi banyak kawasan-kawasan berpenduduk padat, sistem tadahan air hujan dapat menyediakan bekalan di rumah dan sesuai bagi tujuan perniagaan dengan menggunakan air yang telah ditadah pada musim panas dan kurang hujan. Langkah ini secara tidak langsung dapat mengurangkan permintaan daripada sistem biasa.

 

Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada sistem empangan semata-mata. Seperti yang kita tahu, keadaan iklim sekarang tidaklah menentu dan perubahan iklim boleh mengakibatkan empangan-empangan ini mengering dan dapat mengurangkan kapasitinya sehingga lebih 19 peratus seperti yang berlaku di empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang.

 

Apabila berlakunya kemarau, akan timbul pelbagai konflik antara keperluan air di perumahan, keperluan bagi kegunaan perniagaan dan keperluan bagi tujuan pertanian. Kita semua sedia maklum bahawa kesemua aktiviti ini memerlukan sumber air yang banyak.

 

Jika benar pihak kementerian ingin menggalakkan rakyat untuk menggunakan sistem tadahan air hujan di rumah, banyak perkara yang perlu diambil kira. Perkara paling utama ialah kos.

 

Pelaksanaan sistem tadahan air hujan di rumah memerlukan beberapa pengubahsuaian dari segi bentuk atap bumbung, bagi memastikan air hujan dapat dikumpulkan secara maksimum dan dapat disalurkan ke tangki-tangki seperti di bilik air, garaj kereta dan tangki utama. Kesemua ini memerlukan kos yang agak tinggi.

 

Seterusnya, aspek kualiti juga perlu diambil kira. Sebelum jatuh ke permukaan, air hujan akan bercampur dengan pelbagai jenis gas di udara. Keadaan menjadi buruk apabila kawasan tersebut dengan kawasan industri yang mengeluarkan gas-gas bahaya seperti karbon monoksida.

 

Sebaik sahaja sampai ke permukaan, air hujan akan bercampur dengan bahan larut dan tidak larut dan ia akan mengumpulkan bahan pencemar seperti habuk, bakteria, kulat, najis haiwan dan bahan organik lain serta bahan bukan organik seperti mineral terlarut, logam, bahan kimia atau cat larut dalam air.

 

Mungkin kita tidak tahu, bahawa idea untuk menggalakkan penuaian air hujan ini datang daripada Ketua Setiausaha kepada menteri KASA sendiri iaitu Dr Zaini Ujang, seorang pakar dalam bidang pengurusan air.

 

Jadi, susah tentu ia bukannya idea yang konyol dan mundur. Cuma, timbul isu di sini apabila cadangan tersebut diketengahkan kepada negeri Kelantan, sebuah negeri yang mempunyai banyak masalah air.

 

Masalah air di Kelantan tidaklah secara langsung berpunca daripada perubahan iklim kerana sumber air di Kelantan sangatlah banyak dengan taburan hujan yang sekata sepanjang tahun dan kawasan berhutan seluas 700,000 hektar sebagai tadahan air semulajadi. Jadi, tidak akan timbul isu kekeringan sumber air.

 

Namun, masalah timbul apabila kawasan berhutan ini telah dimusnahkan bagi aktiviti pembalakan dan perladangan hutan. Seluas 169,0000 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) telah menjadi zon bagi projek ladang hutan yang mana kesemua pokok ditebang habis secara ‘cuci mangkuk’.

 

Ini ditambah lagi dengan pembalakan komersial di HSK seluas 200,000 hektar (tujuh kali keluasan negeri Melaka). Tindakan ini wajar dikritik, kerana ia bukan sahaja mengakibatkan sumber air menjadi kotor dan tercemar, bahkan ia juga menjadi penyebab kepada bencana banjir yang kita lihat sudah menjadi ‘aktiviti tahunan’ di negeri Pantai Timur ini.

 

Di sini, pihak kerajaan patut sedar akan keutamaan sebenar dalam isu ini. Tindakan menggalakkan rakyat untuk menadah air hujan ibarat satu tindakan lepas tangan yang meminta rakyat bertindak sendiri bagi menangani isu bekalan air, yang secara hakikatnya berpunca daripada kesilapan pengurusan kerajaan negeri itu sendiri.

 

Masalah di Kelantan bukannya kekurangan bekalan air tetapi bekalan air yang kotor dan tercemar. Jika sistem tadahan air semula jadi tidak diganggu, sudah pasti tiada keperluan bagi rakyat untuk menadah air hujan bagi kegunaan harian. Sebagai seorang ahli parlimen dan menteri yang terlibat dalam penggubalan undang-undang, isu-isu sebeginilah yang perlu ditekankan. Tapi, hmm…

 

Nizam Rahman, aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia

Read 337 times Last modified on Monday, 21 September 2020 14:41

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!