wrapper

Berita Terkini

السبت 2 صفر 1442   |   Saturday 19 September 2020
Wednesday, 12 August 2020 17:30

Pendakwah di media sosial perlu tauliah?

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)


Realiti kehidupan masa kini, manusia tidak dapat lari daripada berpaut dan menggunakan teknologi, iaitu bersifat teknosentrik. Menyesuaikan pendekatan dakwah dengan kenyataan semasa ini menuntut umat Islam melahirkan golongan pendakwah di media sosial.

Menurut Dr Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh dalam penulisannya yang bertajuk ‘Perlunya Pendakwah Dalam Media Sosial’ (Utusan Malaysia,  2018), hakikatnya golongan tekno-da‘i dalam konteks abad ke-21 ini boleh dibentuk sebagai satu jemaah yang mempunyai kepakaran mereka yang tersendiri.

 

Pada 2 Ogos lalu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nasrudin Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa pendakwah di media sosial perlu mendapatkan tauliah, kerana menurutnya, ia lebih memudahkan pihak berkuasa memantau penyampaiannya.

 

Berikutan kenyataan itu, terdapat juga golongan pendakwah di media sosial tidak sependapat apalagi bersetuju kerana ia seolah-olah menyekat penyebaran dakwah Islam itu sendiri.

 

“Takkanlah perlu minta tauliah di semua negeri di Malaysia untuk berdakwah di media sosial?” tanya Dr Syazalie dengan menambah saranan sedemikian sangat tidak rasional sama sekali.

 

Beliau yang aktif menyampaikan kuliah ilmu di lapangan dan di media sosial berkata, jika pihak kerajaan ingin menyekat penyebaran yang tidak sepatutnya, mereka perlu bertindak berdasarkan laporan dan bukti.

 

“Tidak perlulah sampai semua pendakwah di media sosial diwajibkan ambil tauliah. Ini mengganggu penyebaran dakwah itu sendiri.”

 

Hakikatnya, Islam ialah agama dakwah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat untuk kesejahteraan manusia dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud:

 

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

 

Melalui ayat ini, menampakkan kepentingan agama Islam disebarkan melalui jalan dakwah sebagaimana yang kita ketahui, lebih 1.6 bilion manusia yang menganut agama Islam di seantero dunia dan ini menunjukkan kejayaan proses dakwah yang berlangsung selama ini oleh golongan pendakwah dengan menggunakan pelbagai pendekatan.

 

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl: 125)

 

Menerusi ayat tersebut terdapat tiga pendekatan dakwah iaitu dengan menggunakan hikmah kebijaksanaan, memberi nasihat pengajaran yang baik dan berbahas menggunakan cara yang lebih baik.

 

Jika diteliti, ketiga-tiga pendekatan ini, wujud satu keperluan bagi umat Islam untuk menggunakan kaedah-kaedah terkini bagi tujuan dakwah terutamanya dalam zaman media sosial yang melaju hari ini.

 

Nur Faizah yang juga aktif menyampaikan dakwah di media sosial berkata, jika semua pendakwah media sosial perlu ada tauliah, maka akan sunyi sepilah media sosial ini dengan penyebaran Islam.

 

“Apa tidaknya, untuk mendapatkan tauliah punya birokrasi tersendiri. Bagaimana untuk mendapatkan tauliah di 14 buah negeri pula? Memang menyusahkan.”

 

Pada Disember 2016, mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pernah berkata bahawa pendakwah digalakkan menggunakan media sosial untuk berdakwah kerana ia lebih pantas dan sebarannya meluas.

 

Menurut beliau lagi, suasana terkini juga memerlukan pendakwah untuk membuat pencerahan kepada masyarakat bagaimana untuk menggunakan media sosial dengan bijak mengikut prinsip al-Quran.

 

Berikutan itu, kemunculan pelbagai media baharu yang dilihat semakin hebat dan berpengaruh serta mampu membentuk pemikiran masyarakat adalah cabaran besar yang harus diterokai dan dimanfaat sepenuhnya dalam kerja-kerja dakwah.

 

Ketika ditanya kepada Ustaz Ahmad Shahir mengenai isu ini, beliau berpandangan bahawa sebenarnya bukan isu pada perlu tauliahnya kerana media percuma ini tentunya tidak mampu dikawal.

 

“Namun, pihak berwajib perlu ada perancangan yang rapi dan teliti untuk memastikan media sosial ini dipenuhi dengan asatizah yang berkelayakan,” kata beliau yang juga seorang pengetua sebuah pusat tahfiz di Negeri Sembilan.

 

Kerana menurutnya, terdapat ‘ustaz’ yang bebas di Malaysia ini berkuliah sedangkan ia tidak mempunyai kelayakan dan inilah yang sebenarnya patut diwaspadai.

 

Hakikatnya, tanggungjawab menjalankan dakwah ialah terpikul kepada semua orang Islam dan tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas bahu satu-satu pihak sahaja.

 

Perubahan suasana persekitaran, ledakan maklumat, arus globalisasi dan lambakan gajet berteknologi tinggi memberi lebih ruang kepada masyarakat untuk mendapat maklumat yang tidak disaring. Pendakwah di media sosial perlulah melaksanakan peranannya membantu masyarakat dengan memberikan maklumat yang benar.

 

Apa yang dinyatakan YDP YADIM ini sewajarnya tidak dilaksanakan kerana jika semua pendakwah di media sosial memerlukan tauliah, ia tentu akan menutup ruang dan peluang kepada mereka yang mempunyai pengetahuan dalam bidang agama untuk turut sama menyampaikan dakwah dengan lebih luas.

Read 173 times Last modified on Wednesday, 12 August 2020 17:57

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd