wrapper

Berita Terkini

السبت 2 صفر 1442   |   Saturday 19 September 2020
Thursday, 06 August 2020 15:52

Gelombang ketiga COVID-19: Jangan alpa

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)

 

Angka yang terus mendadak naik setiap hari amat membimbangkan kita dan masyarakat dunia. Lebih 18 juta kes positif COVID-19 di seluruh dunia bukanlah nilai yang sedikit.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan terdapat pertambahan hampir 210,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

 

Di Malaysia, apa yang terjadi di Sarawak tentunya menjejaskan aktiviti masyarakat di sana apabila gelombang ketiga jangkitan COVID-19 yang telah berlaku sejak penghujung Julai lalu melibatkan Kuching, Padawan dan Samarahan menyebabkan tempoh penutupan sekolah dilanjutkan hingga 17 Ogos ini.

 

Di Semenanjung pula, kluster Sivagangga menyebabkan empat mukim terjejas susulan penambahan 14 kes aktif COVID-19 hingga memaksa kerajaan Kedah melaksanakan 'Targetted Enhancement Movement Control Order' (TEMCO) di Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu dan Kampung Ulu, Padang Sanai di Mukim Padang Terap.

 

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah telah telah memutuskan untuk mengarahkan lima buah sekolah di dua daerah di negeri itu ditutup selama 28 hari bermula 2 Ogos lalu.

 

Selain itu, dua pelajar sekolah rendah berusia tujuh dan 10 tahun telah disahkan positif COVID-19 pada Ahad lalu mendapat jangkitan daripada pesakit ke-8,975 dan pesakit ke-8,976 daripada kluster Sivagangga.

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini turut menegaskan bahawa aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif giat dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan aktiviti pembersihan serta nyahkuman dilaksanakan di semua premis termasuklah sekolah yang terlibat dan rumah kes yang dikesan positif.

 

Berikutan kes yang terjadi ini, sewajarnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menilai kembali pembukaan semua sekolah kerana perkara itu sangat membimbangkan ibu bapa dan juga guru-guru. Sekolah mungkin perlu dicutikan sehingga hujung tahun agar situasi benar-benar selamat.

 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersedia menguatkuasakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes positif harian mencecah tiga angka.

 

Tentu sahaja peningkatan itu terjadi berikutan kealpaan segelintir masyarakat kita yang merasakan seolah-olah kita sudah berjaya menghapuskan wabak tersebut. Ramai juga yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) hingga akhirnya menyebabkan kes ini meningkat semula.

 

Jika situasi itu berterusan, ia akan menjejaskan banyak sektor ekonomi negara. Siapa yang hendak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu berulang lagi? Duduk rumah dan tidak dibenarkan ke mana-mana. Tentu kita semua tidak mahu bukan?

 

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan rasa bimbang mengenai vaksin untuk melawan COVID-19 mungkin tidak akan ditemui.

 

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Gabreyesus berkata, walaupun usaha mencari vaksin berkesan dipercepatkan, ‘penyelesaian’ yang sempurna mungkin tidak akan dijumpai.

 

Menurutnya, beberapa vaksin kini dalam fasa ketiga ujian klinikal dan beliau berharap dapat menemui vaksin yang berkesan supaya dapat membantu dalam mencegah orang ramai daripada jangkitan.

 

Bermula 1 Ogos, kerajaan telah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat umum dan boleh didenda RM1,000 jika melanggarnya. Kerajaan pula perlulah tegas dalam menguatkuasakan arahan tersebut tanpa memilih bulu.

 

Patuhilah SOP yang telah ditetapkan, amalkan penjarakan fizikal di mana sahaja kita berada dan sentiasa check-in melalui aplikasi MySejahtera atau menulis nama, nombor telefon dan memeriksa suhu badan ketika  memasuki premis.

 

Sentiasalah peduli dengan kesihatan diri dan keluarga serta bersama-sama mencegah wabak ini daripada terus menular. Tidak kira siapa pun kita, teruskan berusaha dan berdoa agar negara kita dan dunia segera bebas daripada pandemik ini.

Read 165 times Last modified on Tuesday, 11 August 2020 17:18

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!