wrapper

Berita Terkini

السبت 14 ذو القعدة 1441   |   Sunday 05 July 2020
Monday, 01 June 2020 11:25

Memupuk perpaduan komuniti era COVID-19

Written by Badlishah & Mohammad
Rate this item
(0 votes)

 

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan besar kepada masyarakat merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semenjak bulan Mac 2020 merubah gaya hidup masyarakat dengan ketara. Selain kesan kesihatan awam, pekerjaan, pembelajaran anak-anak dan perniagaan juga terkesan. Ada dalam kalangan anggota masyarakat yang kehilangan sumber pendapatan.

 

Hasil kajian Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Mac 2020 mendapati lebih daripada dua pertiga (71.4 peratus) responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi kurang daripada sebulan sahaja.

 

Sebahagian besar mereka terdiri daripada golongan yang baru memulakan alam kerjaya iaitu 69.7 peratus yang telah bekerja dalam tempoh kurang daripada setahun dan 63.2 peratus yang bekerja dalam tempoh setahun hingga tiga tahun.

 

Pelbagai pihak tampil untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan tanpa mengira latar belakang masing-masing. Perkembangan ini menunjukkan betapa masyarakat kita merupakan masyarakat yang prihatin, pemurah dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

 

Dalam mendepani cabaran berkait COVID-19, pelbagai bentuk sokongan diperlukan sama ada dari sudut material, moral dan lain-lain.

 

Di peringkat individu dan keluarga, masing-masing boleh berperanan untuk menjaga kebajikan jiran tetangga dan saudara mara terdekat dengan bertanya khabar dan bersikap prihatin terhadap apa yang berlaku dalam lingkungan kenalan masing-masing.

 

Amalan-amalan yang mungkin nampak kecil namun memberi impak yang besar dalam mengukuhkan hubungan boleh diamalkan seperti saling berbalas buah tangan dengan jiran tetangga.

 

Begitu juga di peringkat komuniti setempat, inisiatif-inisiatif boleh dimulakan bersesuaian dengan konsep #kitajagakita yang kini kian sebati dalam kalangan rakyat di negara ini.

 

Dengan pelbagai kemudahan teknologi seperti aplikasi Whatsapp, Facebook, Googleform dan lain-lain, tinjauan boleh dilakukan secara berkala dalam kalangan penduduk setempat untuk mengenal pasti permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh anggota masyarakat dan juga bentuk bantuan yang masing-masing boleh sumbangkan.

 

Dengan maklumat daripada data besar (big data) yang dikumpulkan, bentuk bantuan yang diperlukan dapat dikenal pasti mengambil kira keperluan masing-masing secara khusus.

 

Golongan ibu tunggal, anak yatim, warga emas, orang kurang upaya (OKU), belia menganggur dan isi rumah yang hilang sumber pendapatan mestilah diberikan perhatian sewajarnya berdasarkan keperluan mereka.

 

Oleh yang demikian, bentuk bantuan yang boleh diberikan oleh penduduk setempat dapat dikenal pasti dan dipadankan berdasarkan keperluan. Dengan pendekatan ini, penggunaan sumber dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan manakala pembaziran pula dapat dielakkan.

 

Selain sumbangan material, sumbangan kepakaran juga boleh diberikan oleh anggota masyarakat mengikut bidang masing-masing. Sebagai contoh, bagi yang mempunyai pengalaman kerjaya atau kemahiran tertentu, mereka boleh memberikan khidmat nasihat kerjaya atau melaksanakan kursus dalam talian secara percuma kepada golongan belia atau graduan yang menganggur.

 

Dengan kata lain, setiap komuniti mestilah mengambil pendekatan yang kreatif dan praktikal untuk memenuhi keperluan anggota komuniti masing-masing.

 

Dalam menghulurkan sokongan dan bantuan, komuniti setempat juga boleh bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan atau pun badan bukan kerajaan (NGO).

 

Bagi yang memerlukan perkhidmatan kaunseling pula, Talian Khas Kaunseling COVID-19 yang diwujudkan melalui Talian Kasih dan Whatsapp Talian Kasih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta NGO seperti Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (TERATAI) mestilah dimanfaatkan sebaiknya. 

 

Begitu juga dengan masjid dan rumah ibadat. Insitusi keagamaan berada pada kedudukan yang baik untuk membantu anggota masyarakat berbilang kaum dan agama mendepani krisis jangkitan COVID-19 yang tidak mengenal warna kulit dan kepercayaan. Namun, penyelarasan hendaklah dilakukan supaya sumber yang ada dapat dimanfaatkan sebaiknya. 

 

Rumusannya, dalam mendepani cabaran kelaziman baharu (new normal) yang tidak menentu, pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan oleh komuniti setempat.

 

Pendekatan berorientasikan ‘whole of society approach’ mestilah diambil melalui penggemblengan daya sumber seluruh anggota komuniti untuk meningkatkan kesejahteraan dan memupuk perpaduan dalam masyarakat.

 

Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk terus saling membantu antara satu sama lain demi memupuk perpaduan komuniti pada era COVID-19.

 

Badlishah Sham Baharin, Timbalan Presiden IKRAM
Mohammad Abdul Hamid, Perunding Polisi Awam

Read 328 times Last modified on Monday, 01 June 2020 12:05

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!