wrapper

Berita Terkini

الإثنين 3 شوّال 1441   |   Tuesday 26 May 2020
Thursday, 21 May 2020 07:14

Risalah 2: Perlukah khutbah Hari Raya di rumah?

Written by Dr Syazalie Hirman
Rate this item
(6 votes)

Khutbah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud ucapan atau ceramah. Timbul persepsi dalam kalangan masyarakat kita, apabila disebut khutbah, ia seolah-olah sesuatu yang berat, sukar dan terlalu banyak protokolnya.

Sebenarnya menyampaikan khutbah adalah sama seperti menyampaikan ucapan-ucapan yang lain. Cuma ia terdapat sedikit tambahan beberapa perkara yang menjadi rukun sepertimana pandangan dalam mazhab al-Syafie.

 

Pada tahun ini, umat Islam akan berhari raya Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak memungkinkan untuk diadakan solat sunat Hari Raya secara berjemaah di masjid atau di tempat lapang.

 

Oleh itu, timbul persoalan bagaimana mendirikan solat sunat Hari Raya di rumah masing-masing? Adakah ia perlu disertai dengan penyampaian khutbah?

 

Hal ini bukanlah sesuatu yang terlalu rumit. Hukum menyampaikan khutbah bagi solat Hari Raya adalah sunat. Menurut Imam al-Syaukani dalam kitabnya Nail al-Autar: “Aku tidak menemui sebarang pandangan mewajibkannya.”

 

Oleh yang demikian, solat Hari Raya adalah sah sekalipun tanpa diikuti dengan khutbah selepasnya. Namun, jika solat sunat Hari Raya dilakukan secara berjemaah di masjid atau tempat lapang tanpa disertai oleh khutbah hukumnya adalah makruh menurut mazhab al-Syafie.

 

Begitu juga halnya jika seseorang itu menghadiri solat sunat Hari Raya tetapi tidak mendengar khutbah atau bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan atau meninggalkan majlis tanpa menunggu khutbah selesai, hukumnya makruh di sisi mazhab al-Syafie.

 

Walau bagaimanapun, melakukan solat Hari Raya secara bersendirian di rumahnya atau di tempat lain adalah sah serta tidak disunatkan disertai dengan khutbah (al-Nawawi, Kitab al-Majmuk).

 

Kesimpulannya, dalam suasana PKPB, umat Islam akan mendirikan solat sunat Hari Raya secara berjemaah di rumah masing-masing bersama ahli keluarganya.

 

Oleh yang demikian, perkara ini mempunyai keluasan berdasarkan perbahasan ulama fikah. Terdapat beberapa cadangan pilihan seperti berikut:

 

1. Ketua keluarga boleh menyampaikannya dengan membaca teks khutbah yang telah pun disediakan oleh mana-mana pihak.

 

2. Ketua keluarga juga boleh menyampaikan khutbah berupa pesanan dan nasihat daripada isi hati sanubarinya sendiri kepada makmum yang terdiri daripada isteri, anak dan ahli keluarga tercinta yang lain.

 

3. Seluruh isi keluarga juga boleh memilih untuk mengikuti siaran secara langsung Khutbah Hari Raya yang disiarkan dari Masjid Negara atau mana-mana tempat yang lain selepas mereka menunaikan solat sunat Hari Raya secara berjemaah.

 

4. Ahli kelurga atau seluruh isi rumah juga boleh untuk sekadar mendirikan solat sunat Hari Raya secara berjemaah tanpa disertai oleh khutbah.

 

Ustaz Dr Syazalie Hirman bin Ahmad Najib
Pengerusi
Majlis Hal Ehwal Syariah IKRAM
21 Mei 2020

Read 2064 times Last modified on Friday, 22 May 2020 07:52
More in this category: « Mengisi waktu memburu lailatuqadar

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!