wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 12 ربيع الأوّل 1442   |   Wednesday 28 October 2020
Monday, 17 February 2020 17:49

PPSMI: Fakta dan pandangan

Written by Atriza Umar
Rate this item
(1 Vote)


Merujuk kepada hasrat YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Januari 2020 yang lalu untuk mengembalikan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sasterawan Negara, Prof Dr Siti Zainon Ismail menyifatkan pengumuman Perdana Menteri itu sebagai satu ‘jenaka’.

Beliau berpendapat, kebanyakan anak muda di negara ini berasa malu untuk menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri berbanding anak muda di Korea dan Indonesia.

 

Beliau yang juga penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-14 itu turut menggambarkan keadaan semasa yang melihatkan anak muda di negara ini lebih bangga dengan penampilan ala barat dan tidak menggunakan bahasa ibundanya sendiri. Tegasnya, rakyat Malaysia sewajarnya berani bersuara mengeluarkan pandangan mereka kerana ini melibatkan isu yang perlu diperjuangkan.

 

Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad pula berkata, keputusan melaksanakannya semula sangat bertentangan dengan aspirasi Pendidikan Nasional dan akan merosakkan tahap pendidikan anak bangsa, terutamanya pelajar luar bandar.

 

Tambahnya, telah terbukti sebelum ini pencapaian dalam peperiksaan jatuh merudum dan banyak pembaziran berlaku apabila perbelanjaan untuk melaksanakan PPSMI tidak mendatangkan kebaikan.

 

Kesan PPSMI di sekolah rendah

 

Satu kajian telah dilakukan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menerbitkan hasil kajian ‘Kesan Dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah’ pada April 2008.

 

Kajian tersebut mendapati lebih 70 peratus murid menyatakan mereka ‘tidak faham atau kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan 80 peratus Sains dalam bahasa Inggeris, dan mereka ‘sukar atau agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini.

 

Ia berkait rapat dengan kajian yang sama yang menunjukkan lebih 80 peratus murid menyatakan yang guru Sains dan Matematik mereka menggunakan campuran bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini.

 

Kajian itu juga mendapati prestasi murid dalam Ujian Sains dan Matematik berada di tahap rendah terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam bahasa Inggeris dan penyelesaian masalah. Kelemahan ini nyata sekali dalam kalangan murid Melayu dan murid Orang Asli berbanding murid Cina dan India.

 

Oleh itu, kajian ini memperlihatkan bahawa objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai malah menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Sains dan Matematik pelajar hingga program ini dibatalkan secara berperingkat pada tahun 2010.

 

Kesan PPSMI dalam UPSR

 

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Fazril Mohd Salleh berkata, generasi PPSMI yang menceburi bidang sains menurun daripada 29.35 peratus pada 2012 kepada 28.90 peratus pada 2013, turun lagi kepada 28.69 peratus pada 2014, dan terus menurun kepada 23.15 peratus dan 23.19 peratus pada 2016 dan 2017.

 

Tambahnya, PPSMI telah memangsakan 170,000 orang murid yang gagal mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2008 hingga menyebabkan peratusan murid ke bidang sains semakin menurun secara konsisten sehingga ke hari ini.

 

Realitinya, kegagalan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris telah terbukti gagal ketika sistem PPSMI ini dilaksanakan dan kesannya dapat dilihat hingga ke hari ini dan para pelajar itu sendirilah yang menjadi mangsanya kerana terpaksa mengikuti kaedah pembelajaran ini.

 

Faktor kegagalan PPSMI

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Prof Dr Omar Yaakob berkata, unsur utama PPSMI ialah 'paksaan' ke atas semua sekolah tanpa kecuali untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris walaupun terdapat sekolah yang tidak mempunyai persediaan yang cukup dan rapi dari segi sumber, prasarana dan guru yang kompeten.

 

Tegasnya, IKRAM tetap membantah ura-ura untuk melaksanakan semula PPSMI sepertimana yang pernah dilaksanakannya sebelum ia dimansuhkan kerana ia terbukti tidak berjaya sehingga menyebabkan kerajaan membatalkannya.

 

Guna bahasa ibunda, setempat

 

Satu laporan kajian UNESCO bertajuk Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries yang dikarang oleh Santosh Mehrotra menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat.

 

Mehrotra juga menegaskan lagi dalam buku Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth bahawa jika bahasa perantara bukan bahasa ibunda, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pelajar itu buta huruf, maka bertambah buruklah masalah belajar dalam persekitaran yang dikelilingi kemiskinan dengan kemungkinan keciciran akan bertambah.

 

Alternatif PPSMI

 

Kesimpulannya, cadangan pelaksanaan semula PPSMI amat dikesali oleh pelbagai pihak meskipun banyak kajian dan petunjuk akademik secara jelas memaparkan kegagalan dasar tersebut yang telah memangsakan ramai pelajar.

 

Sewajarnya untuk meningkatkan prestasi bahasa Inggeris, peruntukan masa untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah perlu ditambah. Kaedah alternatif pengajaran dan pembelajarannya pula perlu digalakkan dan diguna pakai untuk murid berlainan kebolehan terutama di sekolah kebangsaan di luar bandar.

 

Selain itu, pelaksanaan Program Dwi-Bahasa (DLP) di sekolah perlu ditambah baik dan program pengukuhan seperti Highly Immersive Program (IHP) harus dimantapkan sebagai alternatif PPSMI.

 

Bahan bacaan daripada pelbagai bidang seperti sastera, sains dan teknologi, sejarah dan geografi pula boleh digunakan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk membina kecekapan pelajar menguasai kemahiran membaca dan menulis bahasa Inggeris secukupnya supaya mereka dapat mengakses maklumat yang kaya dalam bidang tersebut.

 

Meskipun diakui bahawa bahasa Inggeris adalah salah satu bahasa ilmu masa kini, Kementerian Pendidikan perlu realistik dalam mengadaptasi sebarang program pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil kira pelbagai faktor melibatkan persediaan sekolah serta risiko dan kesannya terhadap pelajar.

Read 1508 times Last modified on Monday, 17 February 2020 18:10

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!