wrapper

Berita Terkini

الجمعة 12 ربيع الثاني 1442   |   Saturday 28 November 2020
Friday, 17 January 2020 12:09

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030: Pendakwah perlu diberi peranan aktif

Written by
Rate this item
(1 Vote)


Malaysia meletakkan sasaran untuk menjadi negara yang makmur menjelang 2030 melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Dengan matlamat mewujudkan taraf hidup yang lebih baik untuk semua rakyat menjelang 2030, WKB 2030 adalah satu usaha kerajaan untuk mengukuhkan kestabilan politik, meningkatkan kesejahteraan negara dan menyatukan semua rakyat negara ini.

 

Dengan bermulanya usaha ke arah mencapai WKB 2030 pada tahun ini, marilah kita meneliti satu perspektif yang mungkin jarang disebut dalam konteks pembangunan negara.

 

Perspektif baru ini ialah berkenaan dengan peranan pendakwah, khasnya berkait dengan usaha WKB 2030 untuk mengukuhkan kestabilan politik, meningkatkan kesejahteraan negara dan menyatukan semua rakyat.

 

Persepektif yang ingin dikemukakan di sini juga berkait dengan objektif ketiga WKB 2030 untuk mewujudkan negara yang bersatu, makmur dan bermaruah agar dapat menjadi paksi ekonomi di rantau Asia.

 

Sedia maklum walaupun kita ingin mencapai kemajuan fizikal dan infrastruktur setara dengan negara-negara maju di Barat mahupun di Timur, namun budaya dan tatasusila mereka bukanlah sudut yang ingin kita ikuti atau contohi sepenuhnya.

 

Tidak dinafikan, terdapat banyak budaya baik yang kita boleh contohi,  seperti budaya membaca, menjaga kebersihan, kegigihan dalam mencari rezeki, produktiviti yang tinggi, penyelidikan dan inovasi dan lain-lain.

 

Namun, pada masa yang sama, kita sedia maklum negara-negara maju di Barat mahupun di Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong mengalami krisis dan masalah sosial mereka yang tersendiri.

 

Antara lain, permasalahan yang berlaku di negara-negara tersebut adalah diakibatkan dasar kerajaan yang terlalu menekankan pembangunan material dan perkembangan ekonomi dari sudut yang sempit, seperti pertumbuhan KDNK.

 

Hanya dekad-dekad terakhir ini barulah mereka menyedari pentingnya aspek-aspek lain, terutama yang berkait dengan pembangunan sumber manusia dan modal insan.  

 

Semenjak puluhan tahun, sarjana dan pakar telah mengemukakan definisi dan konsep masyarakat maju dan membangun. Antara konsep yang paling lengkap adalah yang diperkenalkan oleh Amartya Sen, seorang pemenang anugerah Nobel Ekonomi dan juga Mahbub ul Haq, seorang ahli ekonomi terkenal dan juga mantan Menteri Kewangan Pakistan.

 

Amartya Sen memperkenalkan konsep pembangunan ialah kebebasan (development as freedom) dalam pelbagai aspek untuk mengembangkan potensi setiap manusia ke tahap yang terbaik.

 

Mahbub ul Haq pula memperkenalkan konsep yang meletakkan manusia sebagai fokus dalam dasar pembangunan (human development).  Konsep-konsep ini memberi perspektif segar yang lebih menyeluruh berbanding perspektif klasik dasar pembangunan yang menekankan aspek pendapatan (income) semata-semata.

 

Apabila digabungkan, kedua-dua konsep ini memberi satu asas yang kukuh bagi penggubal dasar merangka inisiatif-inisiatif pembangunan berdasarkan realiti dan keperluan di negara masing-masing.

 

Apa peranan pendakwah dalam mencapai WKB2030?

  

Sebelum menjawab persoalan ini, kita perhatikan dahulu maksud pendakwah. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan dalam Bayan Linnas beliau, pendakwah ialah orang yang memikul tanggungjawab dalam menyampaikan seruan dakwah.

 

Definisi dakwah pula termasuk menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kegiatan dakwah melibatkan pembentukan individu, masyarakat dan negara untuk melahirkan masyarakat yang adil dan sejahtera.

 

Dengan kata lain, dakwah ialah usaha untuk melahirkan masyarakat dan negara yang cemerlang, masyarakat yang harmoni, bersatu padu serta saling hormat menghormati di antara satu sama lain termasuk dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

 

Sehubungan itu, peranan pendakwah untuk mencapai WKB 2030 sangat penting kerana usaha dakwah bertepatan dengan usaha WKB 2030 untuk mengukuhkan kestabilan politik, meningkatkan kesejahteraan negara dan menyatukan semua rakyat.

 

Usaha dakwah juga dapat membantu mencapai objektif WKB 2030 untuk mewujudkan negara yang bersatu, makmur dan bermaruah.

 

Untuk memainkan peranan yang berkesan dalam WKB 2030, pendakwah mestilah dilatih untuk menjadi pendakwah millenial yang versatile dan mempunyai kemahiran yang sesuai dengan dunia hari ini yang kompleks dan bercirikan volatility, uncertainty, complexity and ambiguity (VUCA).

 

Selain kefahaman asas Islam yang mantap, pendakwah mestilah mampu menarik pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda dan juga golongan bukan Islam dengan risalah (mesej) murni yang dibawa, sesuai dengan peredaran zaman.

 

Jauh daripada kefahaman agama yang jumud dan sempit, pendakwah yang diperlukan negara kita mestilah boleh berperanan untuk menggalas prinsip-prinsip berkaitan di dalam WKB 2030, khususnya:

  • Masyarakat Peribelajar
  • Model Kesepaduan Sosial
  • Integriti dan tadbir urus yang baik
  • Perpaduan dalam kepelbagaian

 

Untuk mencapai hasrat ini, pihak kerajaan diharap dapat memainkan peranan untuk melatih golongan pendakwah yang mempunyai ciri-ciri di atas, bersesuaian dengan konteks, realiti dan cabaran yang dihadapi di negara ini.

 

Di sini, kita mengharapkan berlakunya sinergi dan penyelarasan di antara WKB 2030 dan Dasar Negara Rahmah yang telah diluluskan kabinet baru-baru ini.

 

Dasar Negara Rahmah menggariskan ciri-ciri sebuah negara yang dinaungi dengan pentadbiran dan kepemimpinan yang berintegriti, tadbir urus baik, memiliki masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang.

 

Aspirasi Blueprint Negara Rahmah pula seiring dengan matlamat WKB 2030 dan agenda antarabangsa 17 Matlamat Sustainable Development Goals (SDGs).

 

Blueprint ini meletakkan lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sebagai prinsip panduan bagi memastikan segala perancangan dan hala tuju bergerak seiring dengan syariat Islam.

 

Ringkasnya, peranan pendakwah yang berketrampilan dan kontemporari sangat penting dalam usaha untuk mencapai matlamat WKB2030.

 

Sehubungan itu, diharap pihak kerajaan dapat menggembleng dan melatih lebih ramai pendakwah yang mampu menangani cabaran semasa yang dihadapi masyarakat.

 

Tujuannya tidak lain demi meningkatkan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan mewujudkan perpaduan dan keharmonian di negara ini.

 

Penulis, Mohammad Abdul Hamid adalah lulusan Sarjana Polisi Awam Universiti Malaya dan Sarjana Falsafah Universiti Cambridge

Read 5178 times Last modified on Friday, 17 January 2020 12:18

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja


Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!