Ciri Ketujuh: Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni

Deskripsi: Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya adalah satu kelainan yang ada pada rakyat Malaysia yang sepatutnya dihormati dan diiktiraf keberadaannya.

 

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” Surah al-Mumtahanah, Ayat 8)

Dalam negara rahmah, seluruh rakyat, sebagai warganegara Malaysia berada pada kedudukan sama rata, memiliki hak-hak dan memikul tanggungjawab-tangungjawab seperti warganegara lain, semuanya hidup sebagai anggota kepada satu keluarga besar, bangsa Malaysia.

Semua mereka terdedah kepada libat urus langsung setiap masa menerusi pergaulan harian, perkenalan yang semakin meluas, kejiranan. Lantaran itu semua mereka bertanggungjawab membina persekitaran kehidupan yang sejahtera dan aman untuk semua, saling berziarahan antara satu sama lain, ikut serta dalam berbagai-bagai kegiatan kejiranan dan kemasyarakatan.

Setiap kumpulan daripada etnik yang berbeza, agama yang berbeza adalah bebas dalam mengamalkan agama dan kebudayaan masing-masing, berbicara  menggunakan bahasa mereka sendiri selama mana semua mereka mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia.

Kita semua sewajarnya melihat kelainan yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai agama, kelainan bahasa dan budaya sebagai satu kelainan yang ada pada rakyat Malaysia yang sepatutnya dihormati dan diiktiraf keberadaannya. Ia adalah fenomena flora dan fauna kemanusiaan rakyat Malaysia.

Ia satu kelainan dan kepelbagaian yang tidak menghalang kepada penyatuan, bukan bahan kepada seruan perkauman yang sempit. Ia adalah sebahagian daripada bukti-bukti kekuasaan Allah SWT, Sang Pencipta yang mampu mencipta manusia dalam kepelbagaiannya berbeza agama, warna, bahasa, bangsa dan budaya, tetapi boleh hidup bersama  dan bergaul secara harmoni.

Bagi seorang pendakwah Muslim, kelainan tersebut bukanlah satu halangan kepada usaha-usaha dakwahnya, hubungannya dengan mereka adalah hubungan dakwah, ia menuntut dirinya bergaul dengan mereka dengan baik, libat urus dengan mereka secara sedar bagi membebaskan mereka daripada belenggu syirik, melakukan dakwah ke arah mereka menerusi penampilan akhlak dan perilaku yang sopan, dialog dan penghujahan yang bijak, menerusi lisan al-maqal dan lisan al-hal yang menawan.  

 

Sumber:
Artikel 12 Ciri Negara Rahmah | 2021
Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia