wrapper

Berita Terkini

السبت 26 جمادى الثانية 1438   |   Sunday March 26 2017
Monday, 06 March 2017 00:00

Istiqamah Para Pencinta Kebenaran (Siri 2)

Rate this item
(1 Vote)

Belajar istiqamah daripada dua anak muda

Adakah mungkin ditemui anak muda hari ini yang hidup istiqamah dalam ketaatan semenjak kecilnya lagi?

Soalan ini lazim bermain di minda kita, kerana banyak sekali orang yang istiqamah lalu tiba-tiba menjauh daripada Allah Ta’ala, setelah itu kembali istiqamah semula. 

Kedua-dua keadaan ini adalah tidak mustahil. Mari kita ikuti kisah dua anak muda ini yang mungkin jarang disebut orang ramai.

i . Sabda Nabi SAW kepadanya: “Engkau telah tahu, berpegang teguhlah”.

Namanya Harithah RA, seorang sahabat muda baru berusia 17 tahun. Pada usia remajanya, beliau telah menemui kebenaran. Suatu hari Nabi bertemunya dan bertanya: “Bagaimana khabarmu pagi ini , wahai Harithah?” Dia menjawab :

“Pagi ini seakan-akan aku melihat arasy Tuhanku muncul. Sepertinya aku menyaksikan penghuni syurga sedang menikmati hidangannya, dan seperti aku menyaksikan ahli neraka sedang merintih kesakitan. Aku pun berpaling daripada dunia untuk berjaga pada malam hari dan berlapar pada siang hari.”

Anak muda ini begitu matang dalam menilai keutamaan akhirat berbanding dunia. Lalu jawab Nabi: "Wahai Harithah, engkau telah tahu, berpegang teguhlah". Ertinya jadilah seorang lelaki sejati dan hidup luruslah. Ternyata beliau sangat berpegang teguh dengan Islam.

Setahun kemudian, datanglah detik Badar, umat Islam keluar dari Madinah untuk bertahan di luar kota. Diketahui bahawa tentera Muslimin termuda ialah Harithah. Sebelum perang berkecamuk, sebuah anak panah dilepaskan oleh musyrikin melewati lebih 300 orang tentera Badar yang lain, meluncur mencari sasarannya iaitu Harithah, terkena tepat pada lehernya lalu ia gugur syahid.

Ibunya tergopoh-gapah datang bertanya: “Wahai Rasulullah, di syurgakah Harithah? Sehingga aku akan bahagia.. atau di neraka sehingga aku akan bersungguh-sungguh berdoa untuknya”. Nabi pun menjawab: “Wahai ibu Harithah, ia bukan hanya satu syurga, bahkan syurga-syurga yang banyak jumlahnya. Anakmu memperoleh syurga Firdaus yang tinggi”. (HR Bukhari daripada Anas bin Malik)

ii. Abdullah Zul Bajjadain

Kisah ini merupakan sebuah hadiah untuk kita. Remaja ini asal namanya Abdul Uzza al-Mizani daripada kabilah al-Mizaniyyah yang tinggal antara Makkah dan Madinah. Rasulullah SAW menukar namanya menjadi Abdullah Zul Bajjadain. Beliau daripada keluarga kaya-raya, ayah ibunya wafat saat usianya kecil lalu dijaga oleh bapa saudaranya. Beliau hidup mewah lantaran hartanya tak terhitung banyaknya.

Pada usia 16 tahun, beliau hanya memakai baju import dari luar, memiliki pengawal yang selalu berkhidmat kepadanya. Saat semua kaum Mizaniyyah menyembah berhala, kala itu Islam telah tersebar di Makkah dan umat Islam sedang berhijrah ke Madinah. Dengan izin Allah, Abdul Uzza bertemu rombongan para sahabat hijrah itu. Ia mendengar perbicaraan mereka, lalu terpengaruh dan terus beriman.

Kehidupannya berubah, setiap hari berlari mengejar para sahabat yang melintasi daerahnya dan berseru: "Tunggulah, aku ingin mendengar daripada kalian al-Quran. Aku ingin menghafal ayat yang baru".

Dalam benak Abdul Uzza, dunia sudah sirna, yang diharapkan hanya dekat kepada Tuhan. Seorang sahabat Rasulullah mengajaknya berhijrah kerana keadaan di situ tidak membolehkan mereka berlama-lama untuk mengajarnya. Jawab Abdul Uzza: “Aku tidak mungkin hijrah sehingga pakcikku beriman kepada Allah”.

Abdul Uzza tetap tinggal di tengah kaumnya selama tiga tahun. Selama itu, ia jauh daripada bimbingan ilmu daripada Nabi dan sahabat, namun ia tetap istiqamah beribadah sekadar apa yang diketahuinya. Saat akan beribadah, ia akan menjauh daripada kaumnya dan menyembunyikan keislamannya.

Sehingga pada satu hari, ia bicara kepada pakciknya: “Pakcik, aku mendengar orang bernama Muhammad berkata itu dan ini….” lalu dia membaca al-Quran. Ternyata pakciknya itu memaki hamunnya. Selama tiga tahun beliau memujuk pakciknya untuk beriman namun lelaki itu tetap tegar dengan kekafirannya. Ia tetap istiqamah dan sabar memujuk pakciknya untuk beriman.

Sehingga suatu hari ia berkata: “Pakcik, keranamu aku terlambat bertemu Rasulullah SAW. Aku sudah tak sanggup berjauhan daripadanya lagi. Aku telah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Aku akan berhijrah, mari bersamaku nescaya kau akan jadi orang yang paling bahagia”.

Jawab lelaki itu: "Jika kau tetap dengan Islammu, maka aku akan ambil semua yang kau miliki". Jawabnya dengan lembut: "Lakukan apa yang pakcik suka. Tidak ada suatu pun yang ku pilih selain Allah dan Rasul-Nya".

Hampir tidak percaya, ia berkata: "Jika kau tetap keras juga, aku akan koyakkan baju yang kau pakai sekarang". Ia pun bangkit dan merobek-robek baju Abdul Uzza. Abdul Uzza hampir saja telanjang, namun ia tidak mengalah, lalu ia pergi ke jalanan dan mencari potongan kain dan menemui potongan berbulu (bajjad), ia potong menjadi dua, maka ia memakai seperti seorang lelaki memakai ihram.

Abdul Uzza terus berhijrah. Nabi bertanya: "Siapa kamu?". “Aku Abdul Uzza”. “Mengapa pakaianmu begini?”, beliau menjelaskan daripada mula kisahnya dan berkata: "Tapi aku memilihmu wahai Rasulullah, aku sabar selama tiga tahun hingga akhirnya bertemumu dalam keadaan aku istiqamah taat kepada Allah". Lalu Nabi menukarkan namanya kepada Abdullah Zul Bajjadain (pemilik dua kain berbulu).

Pada usia 23 tahun, Abdullah Zul Bajjadain menyertai perang Tabuk dan syahid. Abdullah ibnu Mas’ud menceritakan kisahnya... Malam itu cuaca sejuk, dia tertidur tetapi tak lama mendengar orang menggali tanah, lalu keluar melihat tempat tidur Nabi, baginda tiada, demikian juga Abu Bakar dan Umar. Beliau keluar dan mendapati Abu Bakar dan Umar sedang memegang pelita, Nabi pula sedang menggali tanah. Bila ditanya, Nabi dengan berlinangan air mata berkata: "Saudaramu Zul Bajjadain meninggal".

Baginda tidak membenarkan dua sahabat itu menggalinya bahkan ia mahu menggalinya sendiri, menurunkan jenazahnya dan mengebumikannya dengan tangannya yang mulia itu. Setelah itu baginda berkata: "Ya Allah, aku bersaksi kepadamu bahawa aku meredhai Zul Bajjadain, maka redhailah ia".

Demikian dua kisah anak muda yang istiqamah di jalan Islam dan di jalan jihad menegakkan kebenaran.

Tulisan oleh Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad,  Penulis Wanita IKRAM (PenaWaN)

Read 343 times Last modified on Monday, 06 March 2017 10:08

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-melinfo@ikram.org.my


Our website is protected by DMC Firewall!