wrapper

Berita Terkini

الخميس 28 المحرّم 1439   |   Thursday October 19 2017
Thursday, 16 February 2017 00:00

Yakin dan Ahlu al-Yaqin (Siri 1)

Rate this item
(0 votes)

Perkataan yakin lawan kepada perkataan syak atau ragu-ragu. Yakin mengandungi unsur ilmu dan kefahaman mengenai sesuatu yang diyakini. Keyakinan ini seharusnya bertepatan dengan hakikat sesuatu yang diyakini.

Yakin membuatkan seseorang tidak merasa ragu-ragu, malah merasa tenang dengan apa yang diyakininya. Kata al-Junaid: “Yakin ialah ilmu yang mantap, tidak goyah, tidak berdolak-dalik dalam hati.”

Yakin merupakan ilmu yang sempurna, tidak ada sebarang keraguan, ia pemangkin amal. Yakin merupakan sesuatu yang sabit dan tidak goyah, perasaan tenang dalam diri. Hakikat yakin ialah rasa tenang terhadap apa yang diketahui. Apabila seseorang merasa tenang terhadap sesuatu yang diketahuinya bermakna dia telah yakin terhadap apa yang diketahuinya itu.

Kata Ibn al-Qaiyyim: “Kehidupan hamba di dunia dan akhirat tidak sempurna tanpa yakin dan afiat. Yakin menghindarkan azab akhirat, afiat menghindarkan penyakit dunia daripada hati dan jasadnya."

Bagi sesetengah orang, yakin itu seluruh iman. Kata sesetengah salaf: Sabar itu separuh iman, yakin itu seluruh iman. Kata Ibn al-Qaiyyim: “Kedudukan yakin berbanding iman samalah dengan kedudukan roh dengan jasad.”

Yakin Dalam al-Quran

Kata akar (يقين) dan terbitannya disebut tidak kurang daripada 26 kali dalam al-Quran. Perkataan 'yakin' disebut dalam al-Quran dalam pelbagai kesempatan dan isu. Ada kalanya ia datang dalam bentuk sifat bagi orang beriman, seperti dalam ayat 4 surah al-Baqarah yang menyatakan yakin adalah sifat orang beriman:

وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ

Ada kalanya ia disebut dalam kesempatan menyatakan hikmah Allah SWT pada perbuatannya ke atas makhluk supaya dengan itu, hambanya mendapat darjat yakin seperti yang dinyatakan dalam ayat 75 surah al-An’aam. Ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT menunjukkan kepada Nabi Ibrahim AS tentang tujuh petala langit dan bumi agar Nabi Ibrahim AS tergolong dalam golongan ahlu al-yaqin:

وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ

Dalam kesempatan lain, 'yakin' disebut untuk mengecam mereka yang tidak yakin sesuatu yang datang daripada Allah SWT seperti yang dijelaskan dalam ayat 82 surah al-Naml yang menjelaskan, apabila sampai masa hukuman dijatuhi ke atas manusia, Allah SWT keluarkan sejenis binatang dari bumi, yang menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini bukti-bukti, keterangan dan pengajaran daripada Allah SWT: 

وَإِذَا وَقَعَ الْقَوْلُ عَلَيْهِمْ أَخْرَجْنَا لَهُمْ دَابَّةً مِنَ الْأَرْضِ تُكَلِّمُهُمْ أَنَّ النَّاسَ كَانُوا بِآيَاتِنَا لَا يُوقِنُونَ

Tiga Tingkat Yakin

Pertama: Ilm al-Yaqin (علم اليقين) iaitu keyakinan yang bertepatan dengan hakikat sebenar sesuatu yang diyakini, seperti disebut dalam ayat 5, 6 dan 7 surah al-Takathur yang menjelaskan, manusia yakin tentang neraka jahim kerana mereka mengetahui hakikatnya setelah melihatnya sendiri:

كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ ، لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ ، ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ   

Kedua: 'Ain al-Yaqin (عين اليقين) iatu keyakinan hasil daripada sesuatu yang dilihat dengan mata kepala sendiri atau Allah SWT bukakan alam ghaib kepada seseorang, diistilahkan sebagai kasyaf (كَشَّاف) seperti disebut dalam ayat 22 surah Qaf yang menjelaskan, pada hari kiamat, Allah membuka tutupan daripada pandangan manusia, lantas mereka melihat neraka dengan jelas:

لَقَدْ كُنْتَ فِي غَفْلَةٍ مِنْ هَٰذَا فَكَشَفْنَا عَنْكَ غِطَاءَكَ فَبَصَرُكَ الْيَوْمَ حَدِيدٌ

Ketiga: Haq al-Yaqin (حق اليقين) iaitu keyakinan yang terhasil daripada kebersamaan dan kebercampuran, seperti yang dinyatakan dalam ayat 51, 52 surah al-Haqqah:

وَإِنَّهُ لَحَقُّ الْيَقِينِ ، فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ

Kata sesetengan ahli sufi; haq al-yaqin adalah darjat yakin paling tinggi, kedua 'ain al-yaqin dan ketiga 'ilm al-yaqin. Haq al-yaqin seperti orang berakal mengetahui mati pada saat dia mengalami kematian. 'Ain al-yaqin seperti seseorang mengetahui mati ketika melihat malaikat maut. 'Ilm al-yaqin seperti orang mengetahui mati sepanjang masa.

[Bersambung ke Siri 2]

Ustazah Dr Anisah Abd Ghani
Penulis Wanita IKRAM (PENAWAN)

Read 592 times Last modified on Wednesday, 22 February 2017 07:53

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!