wrapper

Berita Terkini

الخميس 28 المحرّم 1439   |   Thursday October 19 2017
Monday, 23 September 2013 00:00

Hakikat Dakwah Kita

Rate this item
(0 votes)

 

 

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه وبعد

 

Allah SWT telah berfirman:

 

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُوا إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: “Maha suci Allah (dari segala iktikad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”. (Surah Yusuf: 108)

 

Ikhwan Muslimin (IM) adalah satu pertubuhan Islamiyyah yang lengkap (syumul) bekerja untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini demi merealisasikan matlamat yang dibawa oleh Islam yang maha suci.

 

IM beriman dengan Islam sebagai aqidah yang mengawal mereka agar berjalan seiring sesuai dengan Islam itu sebagai syariah (undang-undang) dan manhaj (metod) yang syumul merangkumi setiap sudut kehidupan.

 

 

Dalam situasi dakwah ini (sekarang) diuji dengan serangan yang amat dahsyat, konspirasi yang dilakukan oleh musuh terhadap dakwah dan pendokongnya, kita menegaskan di sini bahawa dakwah IM adalah dakwah Islamiyyah yang tulen berjalan di atas petunjuk Nabi Muhammad SAW di sudut dakwah, islah (pemulihan) dan taghyir (perubahan).

 

Justeru, dakwah ini adalah kesinambungan bagi jalan asolah (tulen) yang telah dijalani oleh golongan terdahulu yang termulia. Dakwah ini adalah suci dari ketamakan dan hawa nafsu.

 

 

Dakwah ini tertegak untuk membangun bersama ummah mengembalikan semula keagungan Islam. Dakwah ini pasti akan mendapat kemenangan dengan izin Allah dan musuh-musuhnya tidak sekali-kali mampu menyekat dan menghalang perjalanan dan perkembangannya.

 

Allah SWT telah berfirman:

 

وَلَا يَحِيقُ الْمَكْرُ السَّيِّئُ إِلَّا بِأَهْلِهِ

 

“Sedang rancangan jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya”. (Surah Fathir:43)

 

Firman-Nya lagi:

 

إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ

 

“Sesungguhnya kami tetap membela serta mempertahankan rasul-rasul kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)”. (Surah al-Mukmin:51)

 

 

 

 

Untuk itu, berikut adalah penerangan dan pencerahan berkenaan beberapa perkara berkaitan dakwah serta hakikatnya seperti yang telah dinyatakan oleh Ustaz Imam Hasan al-Banna Rahimahullah. Berkata Imam Al-Banna dalam Risalah “Ikhwan Di Bawah Panji Al-Quran”:

 

“Wahai Ikhwan, bahkan wahai manusia seluruhnya, kami bukan parti politik sekalipun politik di atas dasar Islam adalah merupakan inti kepada fikrah kami. Kami bukan pertubuhan kebajikan pembaikan sekalipun kerja kebajikan dan pembaikan adalah merupakan tujuan kami yang utama.

 

Kami bukan pertubuhan riadah (sukan) sekalipun riadah untuk kesihatan badan dan ruh adalah merupakan wasilah kami yang penting. Kami bukan semua bentuk yang disebutkan itu. Sesungguhnya semua itu mempunyai matlamat terhad dan mempunyai tempoh yang terhad. Boleh jadi ia tidak lebih dari sekadar pertubuhan yang hanya gah pada nama sahaja.

 

Tetapi kami (wahai manusia) adalah fikrah dan aqidah, nizam (sistem) dan manhaj (metod), tidak terhad kepada tempat tertentu dan tidak terikat dengan bangsa tertentu, tidak terkepung oleh sempadan-sempadan geografi, tidak akan terhenti dengan sesuatu kejayaan terhad yang dicapai sehingga Allah SWT mewariskan bumi ini beserta pendokongnya kerana ia merupakan nizam Rabb Al-‘Alamin dan manhaj Rasul Al-Amin”.

 

 

 

 

Di tempat yang lain Imam berkata pada akhir Risalah “Antara Semalam dan Hari Ini”:

 

“Wahai Ikhwan… Kamu bukan pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, bukan pertubuhan yang ditubuhkan untuk tujuan-tujuan yang terbatas, tetapi kamu adalah ruh baru yang mengalir dalam jantung hati ummah ini, justeru kamu mendapat panduan dengan Al-Quran. Kamu adalah cahaya baru yang menerangi kegelapan kebendaan dengan makrifat Allah. Kamu juga adalah suara yang bergema tinggi, melaungkan dakwah Rasulullah SAW”.

 

 

 

 

Kita boleh simpulkan kata-kata Imam Al-Banna dengan beberapa faedah dan hasilan berikut:

 

1. Bahawa Dakwah IM adalah Dakwah Rabbaniyyah: Kerana asas yang berligar di atasnya tujuan kita ialah untuk membawa manusia dekat kepada Tuhan mereka, mengikat hati-hati mereka dengan Tuhan mereka, menumpukan sepenuh perhatian untuk agama dan dakwah mereka serta membersihkan matlamat dan usaha semata-mata kepada Allah Tuhan Semesta Alam.

2. Bahawa Dakwah IM adalah Dakwah Islamiyyah: Kerana ia dinasabkan kepada Islam yang maha mulia ini dengan kesyumulan, kekamalan dan ketamamannya.

Allah SWT berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإسْلامَ دِينًا

 

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat Aku kepada kamu, dan Aku telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. (Surah Al-Maidah: 3)

3. Bahawa Dakwah IM adalah Dakwah ‘Alamiyyah: Kerana ia ditujukan kepada seluruh manusia dengan sebab manusia itu pada hukumnya adalah bersaudara; asal usul mereka satu.

Allah SWT berfirman:

 

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

 

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang engkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (Surah Saba’: 28).

 

Mereka (manusia) tidak diberi kemuliaan melainkan dengan taqwa.

 

 

FirmanNya:

 

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

 

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)”. (Surah Al-Hujurat: 13)

 

 

 

4. Bahawa Dakwah IM adalah Dakwah Yang Syumul: Ia tidak terhad pada satu sudut dalam kehidupan ini. Maka kita tidak boleh menghadkan gerak kerja hanya pada sudut politik iaitu pertembungan kepartian, perlumbaan untuk memenangi pilihanraya sahaja sekalipun politik itu juga merupakan sebahagian dari gerak kerja kita.

 

Kita juga tidak boleh hanya menumpukan gerak kerja dalam bidang kemasyarakatan, kecemasan serta bergaul mesra dengan anggota masyarakat sahaja, sekalipun semua gerak kerja kebajikan tersebut sebahagian dari tanggungjawab kita.

 

Akan tetapi dakwah IM ini merupakan dakwah yang syumul, merangkumi semua sudut kehidupan ini. Kesyumulan dakwah ini terjelma dari kesyumulan agama yang maha suci ini.

 

 

 

 

5. Bahawa Dakwah IM adalah Dakwah Tarbiyah dan Takwin: Kerana tarbiyah yang syumul dan takwin yang berterusan (kedua-duanya) itu merupakan tiang bagi dakwah ini dan keistimewaan yang membezakannya dengan dakwah lain. Sesungguhnya dakwah ini telah berupaya melalui manhaj tarbiyahnya mentakwin dan mentarbiyah soff yang mendokong dakwah dan bergerak dengannya.

 

Ia merupakan hasil yang terpenting kerana individu merupakan tiang pembangunan ummah. Justeru Imam Al-Banna sentiasa berpesan kepada Ikhwan: “Bentuklah diri kamu, nescaya ummah kamu akan terbentuk (menjadi baik)”.

Tarbiyah ini wajib diikuti oleh semua anggota IM; besar, kecil, lama, baru, pimpinan dan pengikut. Tidak ada di sana dalam IM orang yang berada di luar dari lingkaran tarbiyah dan takwin.

 

 

 

6. Bahawa Dakwah IM adalah Dakwah yang Ikhlas dan Berprinsip: Dakwah ini mentarbiyah para pengikutnya untuk meletakkan keredhaan Allah dan ganjaranNya sebagai matlamat dalam semua gerak kerja dan kata-kata mereka, tanpa menoleh kepada habuan, pangkat, gelaran, maju atau mundur (dalam hidup).

 

Justeru ikhlas dijadikan salah satu dari rukun bai’ah. Imam Al-Banna sentiasa berpesan kepada Ikhwan dengan katanya: “Sesungguhnya bekerja secara senyap (diam dengan tidak menghebohkan kepada orang) di jalan ini lebih baik dari zahir”.

Dakwah ini juga suci (tidak terkesan) dengan hawa nafsu dan ketamakan, di mana individu yang bersama dakwah ini menumpukan sepenuh perhatian kepada fikrah serta prinsip-prinsip dakwahnya tanpa menoleh kepada prinsip, fikrah serta peribadi tertentu kerana dakwah ini membawa sebaik-baik fikrah.

Allah SWT berfirman:

 

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

 

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam yang Kami telah sebati dengannya ialah) celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam)! Dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNya jualah kami beribadat.” (Surah Al-Baqarah: 138)

 

Semua keterangan di atas membuktikan bahawa dakwah IM adalah dakwah Islamiyyah yang suci. Ia bersifat rabbaniyyah pada titik bertolak dan pada matlamatnya. Ia bersifat muhammadiyyah pada petunjuknya. Ia bersifat islahiyyah syamilah pada manhajnya. Ia bersifat 'alamiyyah yang tidak terhad pada batas-batas tertentu atau dipisah-pisahkan oleh puak dan bangsa.

Peranan dakwah ini yang paling utama ialah seperti yang telah ditegaskan oleh Imam Al-Banna di dalam Risalah bertajuk “Ke Arah Mana Kita Menyeru Manusia”:

“Memimpin dunia dan menunjuk ajar manusia seluruhnya kepada sistem-sistem Islam, pengajarannya yang berguna di mana ia tidak mungkin dapat membahagiakan manusia dengan selainnya”. Ia adalah ruh baru yang mengalir dalam jantung hati ummah ini dan dihidupkannya dengan Al-Quran.

 

 

 

Inilah hakikat sebenar dakwah IM. Amat dangkal dan lemahlah jika ada orang yang menyangka bahawa ia mampu untuk menghentikan dan menghapuskan dakwah ini. Adalah rugi dan amat meleset sekali bagi orang yang tidak mengambil pengajaran dari sunnatullah (undang-undang ketentuan Allah) dalam dakwah ini.

 

Barangsiapa yang berusaha untuk menyekat dakwah Allah serta berusaha menghalang dakwah ini sampai kepada manusia, adalah seperti orang yang akhirnya berputus asa untuk menutup sinaran matahari dari manusia.

Allah SWT berfirman:

 

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

 

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah As-Soff: 8)

 

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين

 

 

 

 

 

Terjemahan: Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria

 

Sumber: http://abuamru1208.blogspot.com/2013/09/hakikat-dakwah-kita.html

Read 4047 times Last modified on Wednesday, 30 November 2016 06:58

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!