wrapper

Berita Terkini

الإثنين 1 ربيع الأوّل 1439   |   Monday November 20 2017
Rumusan Kandungan Surah an-Nur
Surah an-Nur adalah surah ke-24 dalam al-Quran. An-Nur bermaksud ‘Cahaya’ Tujuan utama surah an-Nur diturunkan adalah untuk mendidik manusia menjadi umat yang terbaik kerana manusia dilahirkan ke bumi ini membawa
IKRAM Ajak Keluar Dari Kebekuan Tradisi kepada Inovasi
Seri Kembangan, 22 September. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengajak mesyarakat keluar dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi dan seterusnya melahirkan umat Islam yang sentiasa berfikiran kreatif dan
Jaga Adab, Elak Provokasi Dalam Berbincang di Media Sosial
Dalam kehangatan perbincangan isu-isu di media sosial, kita melihat pelbagai respon diberikan netizen dalam mengemukakan pandangan masing-masing. Walaupun ada yang memberi respon yang baik dan rasional, tidak kurang
Time to look for alternatives on home ownership?
Conventional thinking dictates that each family in this country should own a home. That has been an acceptable norm as a roof over one’s head is considered a basic necessity. A house is an appreciating asset that can
Friday, 20 October 2017 00:00

Rumusan Kandungan Surah an-Nur

Rate this item
(0 votes)

Surah an-Nur adalah surah ke-24 dalam al-Quran. An-Nur bermaksud ‘Cahaya’

Tujuan utama surah an-Nur diturunkan adalah untuk mendidik manusia menjadi umat yang terbaik kerana manusia dilahirkan ke bumi ini membawa satu tanggungjawab menjadi khalifah di muka bumi. Khalifah di muka bumi bermaksud makhluk yang bersilih ganti iaitu manusia itu mempunyai keturunan. Manusia mempunyai keturunan yang bersilih ganti menjadikan salah satu daripada tugas kewujudan kita di bumi ini adalah untuk melahirkan orang yang menggantikan zuriat manusia. Demi melahirkan pengganti-pengganti itu, tiada cara lain lagi yang telah Allah SWT susun kecuali melalui perkahwinan yang sah. Sekiranya tiada perkahwinan yang sah, maka tidak lahirlah keturunan. Hubungan secara tidak sah tetap menghasilkan anak, namun anak yang lahir itu tidak boleh diharap menjadi pewaris kerana perhubungan itu bukan dengan niat untuk mendapat anak. Dengan itu Allah SWT menjadikan satu tujuan utama surah an-Nur ini adalah untuk melahirkan manusia-manusia yang layak untuk menjadi pewaris dan mewarisi. Itulah yang dipanggil khalifah. Sebenarnya makna khalifah itu adalah ‘saling ganti mengganti’.

Sebelum Surah an-Nur dan Kesinambungan

Manusia bertanggungjawab melahirkan khalifah, seorang manusia yang soleh, musleh, baik dan yang layak untuk memikul amanah risalah Rasulullah SAW. Maka mereka mestilah dididik dengan baik. Allah SWT menyebut dalam ayat-ayat sebelum surah an-Nur iaitu dalam surah al-Isra’, ayat 32; “Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan).” Jangan menghampiri zina kerana zina ini mengancam keturunan. Allah SWT bukan sahaja melarang zina, tetapi juga melarang mendekati zina. Jangan menghampiri sebab-sebab yang boleh menyebabkan zina.

Dan dalam surah al-Mukminum Allah SWT menyebut tentang ciri-ciri orang yang beriman antara lainnya adalah orang yang memelihara kemaluan mereka kecuali kepada pasangan yang sah.

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman (1) Iaitu mereka yang khusyu’ dalam solatnya; (2) Dan mereka menjauhkan diri daripada segala perkara yang sia-sia; (3) Dan mereka menunaikan zakat; (4) Dan menjaga kehormatan dirinya, (5) Kecuali kepada isteri atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidak tercela (apabila mereka melakukan hubungan jenis dengannya). (6) Sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas; (7) Dan mereka menjaga amanah dan janji; (8) Dan mereka yang tetap memelihara solatnya (pada waktunya). (9) Mereka itulah orang yang berhak mewarisi. (10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya. (11)”

Setelah Allah SWT menyebut dalam surah sebelumnya tentang larangan zina dan larangan menghampiri zina ini, maka Allah SWT terus memulakan surah an-Nur dengan dua penegasan. Penegasan pertama adalah hukuman kepada orang yang melakukan zina iaitu pada ayat kedua. “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat serta hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh sekumpulan daripada orang yang beriman.” Hukuman kepada orang yang melakukan zina dalam ayat ini adalah disebat seratus kali.

Penegasan kedua adalah bersangkutan dengan langkah-langkah pencegahan zina. Apabila Islam mengharamkan sesuatu maka pintu-pintu ke arahnya ditutup supaya manusia tidak terjebak. Contohnya dalam pengharaman arak, Islam juga menetapkan, arak tidak boleh dijual di merata-rata kawasan yang menjadi tempat duduk majoriti umat Islam. Larangan ini dikecualikan di kawasan kediaman orang bukan Islam.

Langkah-langkah menjauhi zina dalam surah an-Nur

Larangan Penyebaran Berita Palsu

Langkah pertama menjauhi zina dalam surah an-Nur adalah dengan melarang daripada penyebaran cerita atau perbicaraan tentang zina. Allah berfirman dalam ayat ke 19; “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab yang amat pedih di dunia dan di akhirat dan Allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Walaupun memang kita tahu orang itu melakukan zina, tetap tidak boleh menghebah-hebahkan berita atau tuduhan zina ke atasnya. Jika tidak ada empat saksi maka tidak boleh melakukan pertuduhan. Ini supaya orang tidak senang menuduh atau membuat cerita. Kalau dibiarkan mungkin ada yang mengambil kesempatan menyebarkan sesuatu yang tidak benar tentang orang yang baik-baik oleh mereka yang dengki atau dendam.

Misalnya kita dilarang bersangka buruk dan membuat tuduhan melulu mengatakan seorang hamba Allah itu berzina, hanya kerana melihatnya jalan berdua. Selagi dia berbuat jahat secara senyap-senyap, dia berdosa dengan Allah kalau berdua-duaan. Kita pula tidak boleh menyebar-nyebarkan. Sebabnya, sekiranya masyarakat sudah terbiasa sangat mendengar tentang kejahatan sebegini, mereka menjadi imun. Perlanggaran ini menjadi sudah tidak asing lagi. Dosa itu dirasakan bukan lagi satu kesalahan. Perbuatan ini bukan lagi perbuatan yang teruk kerana ramai orang buat.

Allah SWT berkehendak membuktikan buruknya penyebaran tuduhan fitnah tanpa saksi ini dengan berlaku sendiri fitnah terhadap isteri Nabi SAW, Saidatina Aisyah radhiallahu’anha. Kisah yang masyhur ini memberi pengajaran besar tentang kawalan berita palsu terutamanya tentang zina.

Adab Bertandang

Langkah kedua menjauhi zina dalam surah an-Nur adalah dengan mengajar adab bertandang. Adab bertandang bermula dengan memperolehi keizinan tuan rumah untuk menerima kehadiran kita. Ini bermakna kita tidak boleh pakai redah sahaja pada bila-bila masa yang kita suka. Apatah lagi, terus menolak pintu rumah bila kita tiba. Dalam ayat 27, Allah SWT berfirman, “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya. Demikian itu adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat.”

Walaupun nampak enteng tetapi sebenarnya satu langkah supaya kita dapat mengelak keadaan di mana, dengan tidak sengaja kita terpandangkan aurat orang lain. Sebab rumah adalah aurat. Allah SWT dengan ini mengiktiraf privasi kita. Dalam rumah kita, kita bebas berkeadaan apa sahaja mengikut kehendak kita. Kita ada hak untuk menentukan waktu yang kita bersedia untuk menyambut tetamu dan waktu yang kita tidak bersedia. Jadi, Allah SWT mengajar kita supaya tidak pula timbul sangkaan buruk kepada tuan rumah, jika mereka tidak memberi keizinan untuk bertandang. Dewasa ini, lagi mudah dengan teknologi yang ada membolehkan kita bertanya dahulu tuan rumah sama ada bersedia atau tidak.

Allah SWT menggunakan dua perkataan ‘Tusallimu’ dan ‘Tasta’nisu’. Iaitu ‘Tusallimu’ yang bermakna ‘memberi salam’, dan ‘Tasta’nisu’ diterjemahkan dalam bahasa melayu sebagai ‘meminta izin’, tetapi maksud sebenarnya bukanlah sekadar minta izin, tetapi maknanya, kita mendapat gambaran bahawa tuan rumah sedia menerima. Itulah maknanya ‘Tasta’nisu’. Gambaran itu pula adalah tuan rumah nampak tidak keberatan untuk menerima. Itulah adabnya.

Nabi SAW menghuraikan adab menziarah rumah orang ni dengan memberi salam sebanyak tiga kali atau pada zaman sekarang, tekan loceng. Nabi SAW pernah pergi ke rumah seorang sahabat. Dia memberi salam “Assalamualaikum”. Sahabat yang mendengar Rasulullah SAW sedang memberi salam kepadanya, telah menjawab salam Nabi SAW dengan perlahan supaya Nabi SAW memberi salam kepadanya banyak kali kerana salam merupakan satu doa. Nabi SAW tidak dengar lalu memberi salam lagi. Cukup tiga kali salam diberi, Nabi SAW berpatah balik. Sahabat ini nampak Nabi SAW berpatah balik, barulah mereka keluar lalu berkata. “Ya, Rasulullah, kami mendengar dan menjawab salam. Sebenarnya kami mahu Rasulullah membanyakkan salam kepada kami. Kami ada dan jemput masuk.” Rasulullah SAW pun masuk.

Rasulullah SAW juga tidak suka sekiranya tuan rumah bertanya “siapa tu?” tetamu menjawab, “ana (saya).” Jawablah dengan memberitahu nama kita yang sebenar atau nama yang dikenal oleh tuan rumah. Iaitu perkenalkan diri supaya tuan rumah senang kenal untuk membuat keputusan untuk buka pintu atau tidak buka pintu. Jangan jawab “saya”. Kalau tiada sesiapa di rumah, dilarang masuk sehingga kita diizinkan. Pengunjung tidak boleh bersangka buruk kepada tuan rumah sekiranya tuan rumah tidak mahu menerima kehadiran kita. Itu adalah salah satu cara untuk kita mengelak daripada terserempak dengan perkara yang tak patut kita nampak di rumah orang. Begitu juga semasa dibukakan pintu, Rasulullah SAW mengajar supaya tidak mengadap pintu. Perlu mengiring ke kanan atau ke kiri agar tidak terserempak sesuatu yang tidak patut dilihat.

Menjaga Batas Pergaulan

Langkah ketiga menjauhi zina dalam surah an-Nur adalah menjaga batas pergaulan. Ayat ke 30 dan 31 iaitu menjaga pandangan dan menutup aurat.

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram). Demikian itu lebih suci (lebih baik) bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan (melalui penglihatan dan kemaluan mereka). (31) Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram) dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (wajah dan kedua-dua tapak tangan) dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, agar kamu berjaya. (31)”

Dalam ayat 30, Allah SWT tujukan kepada Mukminin. “Qul lil mukminin.” Perintah ini dikeluarkan kepada orang-orang beriman. Sekiranya kita tidak mengikuti perintah ini, mungkin ada kekurangan kepada keimanan kita. Perintah pertama: “Tundukkan sebahagian pandangan.” Iaitu jangan biarkan mata meliar memandang wanita yang tidak halal baginya. Lelaki mukmin tidak boleh memandang wanita yang tidak halal untuknya. Dan perintah kedua: “peliharalah kemaluan mereka”. Semua orang tahu bahawa syahwat itu bermula dengan pandangan mata. Jadi Allah SWT mahu meminimumkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan terangsangnya syahwat. Ini kerana syahwat ada dalam diri setiap orang. Tujuan syahwat adalah untuk melahirkan anak. Tiada syahwat tiadalah hubungan dan tiadalah lahir anak sedangkan tujuan kewujudan manusia adalah menjadi khalifah yang melahirkan.

“Katakan kepada orang yang beriman…” Perintah ini adalah untuk orang yang beriman, lelaki dan perempuan. Jika kita tidak rasa mahu ikut, kita harus periksa dan nilai iman kita. Lelaki dan perempuan disuruh menjaga pandangan dan kemaluan. Perintah tambahan kepada perempuan, menutup aurat.

Dalam pertembungan antara lelaki dan perempuan, ada empat keadaan;

Pertama, lelaki menjaga pandangannya dan perempuan menutup aurat. Ini keadaan yang paling selamat.

Kedua, lelaki menjaga pandangan tetapi perempuan tidak tutup aurat. Ini keadaan yang masih terjaga kerana lelaki itu menjaga pandangannya.

Ketiga, lelaki tidak menjaga pandangan, tetapi perempuan menutup aurat. Ini juga keadaan yang masih selamat lagi kerana tiada apa yang boleh dipandang oleh lelaki itu.

Keempat, lelaki tidak menjaga pandangan, perempuan pula tidak menutup aurat.

Kerana itu, Allah SWT tujukan juga kepada kaum wanita dalam ayat 31, ‘Wa qullil mukminat.’ “Dan katakan kepada orang beriman wanita” dengan perintah yang sama, “tundukkan pandangan mereka.” dan “Jaga kemaluan mereka.” Kemudian ada tambahan kepada kaum wanita, “jangan dedahkan perhiasan melainkan yang zahir.”

Jadi, ianya seimbang. Kedua-dua lelaki dan wanita disuruh menjaga pandangan. Kedua-dua lelaki dan wanita disuruh menjaga kemaluan. Dan bagi wanita, disuruh menutup perhiasan. Lelaki pula tidak disuruh menutup perhiasan sebab secara tabi’inya lelaki tidak berhias.

Allah SWT tidak melarang berhias, tetapi Allah SWT menyuruh supaya jangan dedahkan perhiasan. Jangan dedahkan kecuali yang zahir. Yang zahir ini, ulamak mentafsirkan sebagai perhiasan yang sentiasa ada. seperti baju yang dipakai, manik-manik pada baju, ataupun cincin di jari yang mana jari ini memang biasa terdedah. Atau pun pada wajah. Ada dalil wanita bercelak dan berinai. Rasulullah SAW pernah menegur seorang perempuan yang tidak memakai inai. Aisyah radhiallahu’anha juga pernah menegur seorang perempuan yang tidak berinai. Ada satu kisah tentang seorang perempuan yang menghulurkan sesuatu kepada Nabi SAW dari sebalik tabir. Nabi SAW bertanya, sama ada tangan lelaki atau tangan perempuan? Perempuan itu menjawab, “saya perempuan Rasulullah”. Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Kalau perempuan mestilah ada kesan inainya.”

Perhiasan itu ikut adat dan budaya. Bagi kita masyarakat Malaysia tidak menjadi kebiasaan memakai inai. Bagi mazhab syafei katanya sekiranya tidak ada suami, maka makruh memakai inai. Kalau ada suami, sunatlah berhias untuk suami. Tetapi kalau tidak menjadi suatu tarikan kepada suami tiada keperluan untuk memakai inai.

Dalam menutup aurat, wanita perlu membawa tudung ke dada. Allah menyebut perkara ini kerana orang Arab, sebelum ayat ini diturunkan, mereka memakai ‘khumur’. Khumur adalah jamak kepada khimar. Khimar bermakna tudung. Orang Arab memakai tudung dengan letak tudung atas kepala atau ikat di bawa ke belakang kemudian dibiarkan leher dan dada terdedah. Maknanya Allah SWT menyuruh supaya tudung dibawa ke depan biar tutup leher dan dada. Budaya arab yang mendedahkan leher dan dada. Kemudian, Islam menyuruh membawa atau menutup tudung ke leher dan dada. Jadi tudung ni adalah ajaran islam, bukannya budaya arab.

Allah SWT juga menceritakan secara terperinci tentang orang-orang yang diharuskan melihat perhiasan dalam ayat 31 ini.

Menggalakkan Perkahwinan

Langkah keempat menjauhi zina dalam surah an-Nur adalah menggalakkan perkahwinan. Ayat 32 surah an-Nur; “Dan kahwinkanlah orang bujang daripada kalangan kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaan-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya), lagi Maha Mengetahui.” Ayat ini ditujukan kepada para wali supaya “kahwinkanlah.” Majoriti ulama mengatakan wanita tidak sah mengahwinkan dirinya sendiri melainkan dengan wali. Perintah ini termasuklah supaya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan yang telah sampai umurnya, yang telah muda remaja dan hendak berkahwin, pihak wali janganlah menghalang bahkan wali perlu memudahkan urusan perkahwinan itu.

Menjaga Pergaulan dalam Rumah

Langkah kelima menjauhi zina dalam surah an-Nur adalah dengan menjaga pergaulan dalam rumah. Allah SWT menyebut dalam ayat 58 dan 59 tentang adab meminta izin masuk ke bilik ibu bapa.

“Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang yang belum baligh di kalangan kamu, meminta izin kepada kamu pada tiga waktu. (iaitu) sebelum solat Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengahari dan sesudah solat Isyak, itulah tiga waktu bagi kamu (yang biasa terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah selain daripada tiga waktu tersebut, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (58) Apabila anak-anak kamu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang (yang cukup umur) yang tersebut dahulu meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (59)”

Anak-anak yang belum sampai umur baligh perlu meminta izin untuk masuk ke bilik ibu dan ayah sebanyak tiga kali sehari iaitu waktu sebelum solat Subuh, ketika waktu rehat tengahari, dan ketika waktu sesudah solat isyak. Selain itu, ajaran ini menunjukkan bahawa, pertama, ibu dan ayah mesti ada bilik dan kedua, anak-anak yang belum baligh tidak boleh tidur dengan ibu dan ayah. Manakala, bagi anak-anak yang telah sampai umur baligh, Allah SWT mengajar supaya meminta izin pada setiap masa sekiranya mahu masuk ke bilik ibu dan ayah.

Demikian Allah SWT telah mengajarkan adab-adab dan cara hidup yang istimewa kepada manusia sesuai dengan tujuan penciptaan manusia sebagai khalifah yang silih berganti kehadirannya di muka bumi untuk mengimarahkan bumi dengan risalah kebaikan. Menjadi kewajiban setiap orang yang beriman untuk mempelajari dan menerapkan secara bersungguh-sungguh didikan dalam surah an-Nur ini dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakat. Semoga dengan itu terlahir sebuah masyarakat dan negara yang penuh rahmah dan diberkati.

Disampaikan oleh Ustazah Maznah Daud
Program Kuliah Jumaat
25 Ogos 2017 bersamaan 3 Zulhijjah 1438H
Pusat Komuniti IKRAM Batu.

Read 133 times

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi IKRAM Wilayah

Pertubuhan IKRAM Malaysia Wilayah Persekutuan

Jalan AU1A/4A, 54200 Kuala Lumpur, Malaysia

Telefon: +603-42523225

Pejabat Urusan: https://goo.gl/maps/3QSni

Our website is protected by DMC Firewall!