Print this page
Wednesday, 21 September 2016 00:00

Bantu Pembeli Pertama Miliki Rumah

Rate this item
(0 votes)

21 September 2016 - IKRAM Wilayah Persekutuan (IKRAM WP) menyambut baik gesaan The National House Buyers Association (HBA) agar pembeli rumah membuat semakan secukupnya sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah dan memastikan rumah yang dibeli adalah berdasarkan pendapatan dan kemampuan masing-masing. Gesaan ini dikemukakan lantaran cadangan Tan Sri Noh Omar (Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk memberi pemaju perumahan lesen pemberi pinjaman kewangan bagi membantu rakyat membeli rumah.

Di dalam rencana “Do necessary checks before buying” yang diterbitkan di dalam akhbar The Star pada hari Sabtu lepas (17 September 2016), HBA berpandangan cadangan tersebut jika dilaksanakan akan memberi kesan buruk kepada pembeli rumah dan industri hartanah.  Secara umumnya, IKRAM WP bersetuju dengan pandangan tersebut dan sebab-sebab yang diperincikan. Antara lain, HBA menekankan jika pihak bank setelah membuat penilaian terhadap permohonan sesuatu pinjaman perumahan, dan mendapati pemohon adalah tidak layak, keputusan tersebut sudah tentu adalah berdasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu yang terbukti berkesan dan diterimapakai oleh industri perbankan di negara ini. Selain itu juga, pinjaman dari pihak pemaju perumahan juga jika dilaksanakan dijangka akan membebankan pembeli pada jangka panjang kerana kadar faedah maksima yang boleh dikenakan ialah sebanyak 18%.

Sehubungan dengan itu juga, IKRAM WP menyambut baik arahan pihak kabinet agar Kementerian Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melakukan kajian dan penambahbaikan terhadap polisi pemberi pinjaman kewangan bagi membantu rakyat membeli rumah. Kajian ini hendaklah dibuat secara terperinci dan menyeluruh dengan mengambilkira semua faktor-faktor berkaitan agar punca permasalahan dapat dikenalpasti dan cadangan-cadangan dikemukakan berdasarkan punca tersebut.

IKRAM WP juga menggesa agar kajian ini melibatkan konsultasi dengan pelbagai pihak untuk menghasilkan idea-idea baru yang dapat menyelesaikan isu pemilikan rumah yang bersifat holistik dan mapan dengan keutamaan diberikan demi kesejahteraan rakyat secara amnya dan warga kota khasnya. Penyelesaian yang dikemukakan pula hendaklah berbentuk jangka pendek dan jangka panjang dengan mengambilkira kesan kepada kesejahteraan institusi keluarga dan masyarakat .

Apa yang penting, matlamat utama untuk membantu pembeli pertama dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri dapat dicapai oleh seramai mungkin anggota masyarakat, terutama penduduk di Lembah Klang yang sudah pun terbeban dengan kos sara hidup dan hutang isirumah yang tinggi.

 

Prof. Dr. Sahrim Hj. Ahmad
IKRAM Wilayah Persekutuan

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan kenyataan ini, sila hubungi 013-3302096 (Prof. Dr. Sahrim Hj. Ahmad, Yang Dipertua IKRAM Wilayah Persekutuan).

Read 696 times Last modified on Wednesday, 28 September 2016 00:16

Related items

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd