wrapper

Berita Terkini

السبت 2 المحرّم 1439   |   Saturday September 23 2017
RM1.1 Juta - Econsave Bersama MyCARE Johor Membangun Semula Sekolah Anak-anak Yatim As Soleh &
Johor Bahru, 5 Ogos 2016 - Sejumlah RM1.1juta telah berjaya dikumpul dan majlis khas penyerahan cek kepada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) telah disampaikan di dalam satu majlis di Hotel M-Suite Johor
Tahniah – Pelancaran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF)
KENYATAAN MEDIA Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Negeri Johor. 7 Ogos 2016 bersamaan 4 Zulkaedah 1437H Tahniah – Pelancaran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF) Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Ihya Ramadan Kembara Ummah Meriah di Desaru
Kota Tinggi - 27 Mei. Telah berlangsung Program Ihya Ramadan Kembara Ummah di Desaru Utama Community Centre Kota Tinggi. Program tersebut adalah anjuran bersama MyCARE Johor, GEMA Johor dan KRT Zon 3 Taman Desaru Utama.
Mesyuarat Kerjasama IKRAM Johor dan Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor
Senai, 22 Jun 2016 - Saudara Ahmad Daniel Sharudin (PSU IKRAM Johor) dan Ustaz Mohd Hairozi Muhammad (Pengerusi JK Pembangunan Umat IKRAM Johor) telah menghadiri mesyuarat anjuran Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor

3 hassanhushin

Selamat Hari Murabbi/Guru dan Hari Pekerja kepada semua guru/ustaz/ustazah/staf sokongan khasnya di semua institusi pendidikan IKRAM Musleh(Pusat Pendidikan Hidayah, Rangkaian Tadika Iman ELC, Majlis Guru Ikram, SIH Niaga). Tidak ketinggalan juga kepada yang mengajar dan berkhidmat di sekolah harian, pejabat agensi pendidikan daerah/negeri, IPG dan universiti awam atau swasta.

Marilah kita sama-sama kekalkan keikhlasan dalam bekerja disamping terus menambahbaik amalan kerja/pengajaran dan pembelajaran dalam membina Generasi Rabbani ke arah membina Negara Rahmah yang diredhai Allah swt.

Alhamdulillah tahun 2016 merupakan kejayaan berganda kepada SRIH JB dan SMIH JB apabila berjaya memenangi Anugerah 5 Bintang Standard Kualiti Institusi Pendidikan Swasta(SKIPS) Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini. Kecemerlangan dalam akademik, kokurikulum, kemasyarakatan dan paling utama merasai dan menghayati pentarbiahan daripada para murabbi menjadi fokus utama kita. Terima kasih kepada ustaz Mohd Jelani Ramly selaku Ketua Eksekutif, Pendaftar/CFO Hj Mohd Hatta Husin, Pengetua Ustazah Fauziah Salam dan Guru Besar Ustazah Rohaida Ridzwan. yang bersama-sama memimpin Sekolah Islam Hidayah JB.

Begitu juga kita bersyukur dengan pembukaan cawangan SRIH Pasirris Babussalam, Batu Pahat yang menyambut Hari Murabbi yang pertama. Gurubesar pertamanya Ustazah Norhasidah Kosnin menjadi saksi kepada pembinaan generasi yang ingin dibina. Terima kasih puan.

Rangkaian Tadika Iman ELC juga berjaya menubuhkan Tadika Iman pada awal tahun 2016 di daerah Kluang. Kepada Puan Nailah Tang selaku Pengarah Urusan yang menggantikan Puan Mahayati Ibrahim setelah berkhidmat lama di Iman ELC sejak awal penubuhannya 28 tahun lalu. Mengurus dan memimpin 24 buah tadika dan taska di seluruh Johor DT dengan cemerlang merupakan kejayaan yang sangat dikagumi oleh semua pihak. Jazakallahukhairankathira kepada pimpinan BOD dan pengurusan yang tinggi iltizamnya.

Untuk sahabat-sahabat seperjuangan para ahli Lembaga Pemegang Amanah , Lembaga Pengelola PPH, Iman ELC, Ajk MGI, SIH Niaga dan ahli JK Pendidikan serta seluruh kepemimpinan Pertubuhan Ikram Negeri Johor, sama-sama kita ucapkan syukur dan terima kasih kepada para guru, murabbi dan staf yang menjadi obor generasi rabbani yang ditarbiah.

Kepada ibubapa/penjaga dan penderma yang baik hati, PIBG, rakan kongsi dan masyarakat luar , teruskan usaha memperkasa pendidikan Islam bersama-sama kami dalam apa sahaja kapasiti anda. Semoga Allah swt menerima amalan soleh kita.

Terima kasih para guru, staf dan murabbi.

Selamat Hari Murabbi IKRAM Musleh 2016
"Guru Pembina Negara Rahmah"

Hassan bin Hushin
Pengerusi
JK Pendidikan IKRAM Johor
Pengerusi LPH
16 Mei 2016
9 Syaaban 1437H

Thursday, 12 May 2016 00:00

Lebih 200 hadiri MPN IKRAM Johor

Written by

PONTIAN, 23 April 2016 - Lebih 200 orang perwakilan dan pemerhati menghadiri Majlis Perwakilan Negeri (MPN) Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Negeri Johor dekat sini pada hari ini.

Bertempat di Auditorium Sekolah Tinggi Cina Pei Chun, Pontian Besar, majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua IKRAM Negeri Johor, Ust. Dr. Ajmain Safar mewakili Naib Presiden IKRAM, Ust. Burhanuddin Lukman yang tidak dapat hadir.

Dalam ucapan yang dibacakan Ust. Dr. Ajmain, Ust. Burhanuddin menegaskan kembali tentang misi dan visi IKRAM untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rahmah yang menuntut setiap ahli IKRAM untuk melakukan penambahbaikan berterusan dalam setiap gerak kerja yang dilakukan. Beliau juga melaporkan perkembangan-perkembangan terkini dalam IKRAM dari sudut keahlian, kewangan serta perancangan strategik dan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi ke arah mencapai misi dan visi yang digariskan.

Menurut perlembagaan IKRAM, MPN merupakan majlis yang berperanan memantau perlaksanaan dasar dan perancangan utama IKRAM pada peringkat negeri. Selain itu, MPN juga berfungsi sebagai medan pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa Negeri (JKN) yang merupakan barisan kepimpinan IKRAM di peringkat negeri.
Dalam sesi pemilihan pada MPN kali ini, barisan kepimpinan berikut telah terpilih untuk memimpin perjalanan IKRAM Negeri Johor bagi sesi 2016-2018:

Yang Dipertua: Ust Dr Ajmain Safar
Timbalan Yang Dipertua:Hj Mokri Sabran
Ketua Wanita: Hjh Sabariah Manshor
Setiausaha: Hj Aminuddin Alias
Penolong Setiausaha: Ahmad Daniel Sharudin
Bendahari: Hj Abd Razak Jambari

Ahli-ahli Jawatankuasa:
1. Ust Mohamed Hairozi Mohamed
2. Dr Md Zin Kandar
3. Dr Mohamed Wijayanuddin Ali
4. Dr Zulkifli Khair
5. Dato Dr Norzam Darmin
6. Hj Hassan Hushin
7. Ramlee Mamat
8. Hj Zamani Md Zain

Pengerusi Tetap: Hj Yusuf Suratman
Timbalan Pengerusi Tetap: Dr Nordin Yahya
Pemeriksa Kira-kira 1: Hj Kusaini Kandar
Pemeriksa Kira2 2: Hj Zaidon Rais

Selain dari nama-nama yang terpilih di atas, tujuh lagi Ahli JKN akan dilantik dalam mesyuarat JKN.

mpn1

Dalam majlis yang sama, Ust. Dr. Ajmain menyampaikan kad nama IKRAM sebagai simbolik penyerahan tugas kepada semua Yang Dipertua IKRAM Daerah-daerah serta Ketua-ketua Wanita IKRAM Daerah sesi 2016-2018. Kad-kad nama berkenaan ditaja oleh Amani Printing.

Thursday, 07 April 2016 00:00

Mawar Berduri

Written by



Wanita.

Aku sering tertanya-tanya, menjadi wanita ini sebenarnya suatu rahmah atau ujian?

Ada satu hadis yang cukup untuk menakutkan ku setiap masa;

“Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” [Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim]

Hadis ini benar-benar membuatkanku sering tertanya-tanya. Mengapa wanita itu ramainya di neraka?

Namun, aku juga tidak pernah lupa akan hadis ini yang terkadang cukup menyejukkan hati;
Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW, katanya (di dalam sebuah hadis yang panjang): Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”
Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin” [Hadis Riwayat at-Tabrani]

Lalu bagaimana sebenarnya? Hadis sebelum itu kelihatan seperti contradict dengan hadis yang selepasnya. Mengapa kelihatannya menjadi wanita itu seperti suatu rahmah tapi pada masa yang sama, kelihatan seperti suatu ujian?

Aku mahu menjadi wanita solehah. Aku sangat mengimpikan untuk menjadi wanita mulia di sisi Allah yang dirahmati dengan syurga. Tapi bagaimana?

Soalan-soalan di atas mendorong diriku untuk membanyakkan pembacaan tentang ciri-ciri seorang wanita dambaan syurga. Melalui penerokaan itu, aku sering terbaca tentang betapa wanita ini perlu sangat dijaga rapi dan betapa pentingnya menjadi wanita terpelihara sehinggakan mereka tidak boleh keluar berdakwah, perlu duduk diam di rumah dan tidak boleh mengenakan pakaian selain yang berwarna hitam.

Benarkah begitu? Jiwaku membentak. Aku cemburu melihat kaum lelaki yang punya lebih banyak ruang amal dan lebih bebas bergerak di bumi Allah. Hati kecilku selalu bertanya bagaimana mungkin aku mampu menjadi wanita hebat, wanita luar biasa yang mampu menyumbang pada ummah sekiranya pergerakanku terbatas? Medanku sedikit?

Lalu ku terdengar kata-kata agamawan yang berbunyi “Jadi wanita ni senang. Duduk je rumah, layan suami, didik anak-anak. Cukup puasa, cantik solat, pilihlah mana-mana pintu syurga yang dia nak masuk”.

Ah, aku tidak puas hati. Takkan semurah itu dan semudah itu memiliki syurga? Kasihan kaum lelaki yang perlu bertungkus lumus mengejar syurga sedang perempuan begitu mudah memilikinya. Tapi… Bagaimana jika aku ini bukanlah dalam golongan mereka yang direzekikan untuk bersuami? Bagaimana sekiranya aku ini ditakdirkan Allah tidak berjodoh di dunia?

Jadi bagaimana dengan Maryam a.s? Tidak solehahkah ibunda Maryam? Maryam tidak punya suami. Jadi bagaimana ia mampu menjadi isteri solehah? Bagaimana ia boleh menjadi wanita hebat disisi Allah dan mahu memilih mana-mana pintu syurga jika dia tidak punya suami untuk beramal?

Aku punya keluarga terdekat yang belum Allah rezekikan untuk melahirkan anak. Aku punya keluarga yang ibunya solehah sekali, tapi anaknya masih belum diberi taufik oleh Allah. Bagaimana dengan mereka? Adakah kerana mereka tidak dapat mendidik anak-anak menjadi soleh/ solehah, maka mereka itu tidak solehah? Tidak mulia disisi Allah? Tidak pantas mendapatkan syurga? Tak mungkin Tuhanku berlaku tidak adil kepada hamba-hambaNya..

Pasti ada yang berkata, jika tidak punya suami untuk berbakti, serve your parents. Jadilah anak solehah. Lalu, bagaimana dengan mereka yang yatim piatu? Tidak dapat berbakti kepada kedua orang tua mereka? Tidak solehahkah mereka?

Aku pernah terbaca satu status di Facebook;

“Wanita itu tidak wajib berdakwah selagi mana ada lelaki di muka bumi ini.” Benarkah? Jadi wanita tidak perlu menjadi khalifah? Lemah sangatkah wanita ini sehingga ia tidak layak menjadi khalifah?
Kalaulah benar begitu, mengapa Rasulullah mengambil baiah Nusaybah binti Kaab semasa Baiah Aqabah kedua? Mengapa Rasulullah melihat Nusaybah berperang di kiri dan kanan Rasulullah ketika di medan Uhud?

Mengapa Rasulullah mendoakan Nusaybah menjadi penemannya di syurga saat baginda melihat Nusaybah terluka di medan Uhud? Mengapa Rasulullah tidak memerintahkan Nusaybah pulang ke rumah saat itu juga? Mengapa Abu Bakar dan Saidina Umar tidak melarang Nusaybah menyertai perang Yamamah?

Dalam kecelaruan, ku kembalikan segalanya pada Allah.. Hanya Dia mampu menjawab segala yang bermain di fikiran dan hatiku.

Maha suci Allah, pada suatu hari, mataku terhenti pada ayat 32 surah al-Ahzab. Mata terasa hangat dek terharu kerana Allah seolah-olah menjawab pertanyaan demi pertanyaanku..
“Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak seperti perempuan-perempuan yang lain jika kamu bertakwa.” (33: 32)

Dengarlah kata-kata penciptamu hai wanita, kau itu tidak sama seperti wanita lain, kau boleh menjadi wanita luar biasa. Dengan satu syarat;

Ittaqullah.

Dengan bertaqwa kepada Allah.

Pada hari ini, kita melihat masyarakat meletakkan nilai wanita itu pada kecantikan. Majalah, rancangan realiti mahupun kawan-kawan kita sendiri, sering mengangkat wanita yang mempunyai kecantikan hinggakan semua orang berlumba-lumba untuk mengejar kecantikan demi mendapatkan pengiktirafan manusia. Produk-produk kecantikan tumbuh bak cendawan kerana ia mendapat permintaan tinggi. Cukup untuk menunjukkan betapa wanita zaman ini sibuk ingin mencantikkan diri.

Di sudut lain pula, muncul golongan yang memperjuangkan kebijaksanaan melebihi kecantikan. Mereka ini kononnya memperjuangkan bahawa menjadi wanita bijak itu lebih utama dari menjadi seorang wanita cantik.

Di laman facebook pula, kita melihat perbahasan-perbahasan tentang suri rumah versus wanita berkerjaya. Ada pula yang mengatakan wanita itu mahalnya dia pada kebolehannya memasak dan mengurus rumah. Manusia berlumba-lumba meletakkan nilai pada wanita sehinggakan wujudnya label ‘tak laku’ apabila seseorang wanita itu masih belum mendirikan rumah tangga.

Wanita, maha suci Tuhanmu yang meletakkan nilai dirimu pada nilaian taqwa. Pada sesuatu yang abstrak, yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar yang tidak boleh dipersoalkan orang lain.
Dengan pakaian taqwa ini duhai wanita, jadilah engkau apapun—pelajar, anak, isteri, wanita berkerjaya, suri rumah, wanita berkahwin, wanita bujang—engkau tetap mulia di sisi Allah.

Dengan taqwa hai wanita, dalam sembunyi mahupun di tengah ramai, engkau tetap tinggi di sisi Allah. Jika engkau wanita bertaqwa, engkau akan menjadi tulang belakang ummah yang kuat dan kukuh. Jika sebaliknya, engkau hanyalah tiang kayu yang rapuh, yang merosak, membinasakan dan meruntuhkan ummah.

Oleh itu hai wanita, tinggikan taqwamu. Kerana di situ letaknya nilaimu. Janganlah kau kejar melainkan apa yang ada di sisi Allah kerana apa yang ada padaNya itulah, sebaik-baik tempat kembali.

“Sesungguhnya lelaki dan perempuan muslim, lelaki dan perempuan mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” [Al-Ahzab: 35]

“Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” [An-Nahl: 96]

Nukilan:
Nurul Izyana
Aktivis IKRAM Siswa UTM

Artikel Asal:
IKRAM Siswa UTM



KULAI, 1 April 2016 - Isu kemanusiaan adalah isu sejagat. Ia 'buta' warna. Kemanusiaan tidak mengenal bangsa dan agama. Asal sahaja seaorang itu ditimpa musibah atau di dalam kesusahan, manusia lain wajib membantu tanpa bertanya dahulu mereka bangsa apa atau agama apa.Begitulah seharusnya kefahaman mengenai ISU KEMANUSIAAN yang cuba diketangahkan oleh MyCARE (Humanitarian Care Malaysia). Bermula dari itu, maka MyCARE menganjurkan Ekspo Kemanusiaan yang bermula di Econsave Kulai pada 1-3 April 2014.

Ekspo Kemanusiaan MyCARE mengandungi pelbagai aktiviti yang meliputi pameran, tayangan video, edaran bahan-bahan kempen, jualan buku, cenderamata dan sebagainya. Aktiviti kanak-kanak turut dijalankan seperti games, jigsaw puzzle, wheel of fortune, peraduan mewarna dan sebagainya. Di antara tajuk-tajuk pameran dan tayangan video ialah;

- Isu Kemanusiaan di Palestin.
- Isu Kemanusiaan di Syria.
- Isu Kemanusiaan di Iraq.
- Isu Kemanusiaan di Mesir.
- Isu Kemanusiaan di Rohingya.
- Isu Kemanusiaan di Libya.
- Gempa Bumi Nepal.
- Gempa Bumi Kinabalu.
- Banjir Besar Pantai Timur dan Perak.
- Misi-misi bantuan di Palestin, Lubnan, Al-Quds, Syria, Sempadan Jordan, Turkey, Lubnan, Rohingya, Nepal, Kinabalu, Pantai Timur dan lain-lain.

Orang ramai dari pelbagai lapisan dan bangsa telah mengambil peluang mendapatkan maklumat dan memahami isu-isu Kemanusiaan Sejagat yang di sertai dan diurus oleh MyCARE dan Pertubuhan Ikram Malaysia.







Gambar-gambar di sekitar program boleh di rujuk di sini.

Page 2 of 10

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi IKRAM Johor

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Negeri Johor

No. 10-11 Jalan Pendidikan 3,
Taman Universiti,
81300 Skudai,
Johor

Tel: +607 521 1152 / +01112734566
Faks: +6075211613

Email: Johor@ikram.org.my
Web: http://ikram.org.my/v4/negeri/johor.html

DMC Firewall is a Joomla Security extension!