wrapper

Berita Terkini

الإثنين 12 ربيع الثاني 1441   |   Monday 09 December 2019
Tuesday, 26 November 2019 11:34

Umpama pedang bermata dua

Written by Siti Hamisah Manan
Rate this item
(0 votes)

MASA - Itulah tajuk yang ingin saya perkatakan hari ini. Saya sedang membaca sebuah buku yang sangat bagus bertajuk 'Saya Ada 25 Jam Sehari' tulisan Datuk Dr Mohd Daud Bakar, seorang pakar kewangan syariah terkenal dalam dan luar negara. Sudah lama saya ingin membaca buku ini namun terhenti kerana kekangan masa. Ya, masa!

Kenapa saya memilih tajuk masa dalam penulisan sulung ini di tempat kerja baru? Kerana pengurusan masa sangat penting bak ungkapan 'Umpama pedang bermata dua' yang turut diungkapkan oleh beliau dalam buku ini. Saya memvisualkan ungkapan ini dengan membayangkan pedang di tangan, jika saya tidak memotong maka saya akan terpotong!

Buku ini menarik minat saya, pertamanya kerana saya ingin tahu bagaimana seorang pakar syariah yang mahasibuk dapat menguruskan masa tambahan apatah lagi jawatan baru yang diterima oleh beliau dalam membantu membangunkan negara iaitu Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Belum disenaraikan lagi jawatan beliau sebagai ahli lembaga kepada syarikat, yayasan mahupun NGO. Pencapaiannya mengagumkan saya dan ingin belajar bagaimana beliau boleh berbuat demikian melalui bukunya ini.

Saya pula baru bertukar kerja dan beza jarak perjalanan saya berbanding tempat kerja lama saya ialah 20 kilometer! Sebelum ini saya mengambil masa hanya lima minit untuk sampai ke pejabat, namun di tempat kerja baru saya mengambil masa 30 minit jika tidak terperangkap dalam kesesakan trafik.

Jika terperangkap perjalanan boleh mengambil masa satu jam atau lebih dan bayangkanlah masa yang dihabiskan dalam dua hingga tiga jam untuk pergi dan balik kerja! Saya tidak boleh jadi sebegini. Jadi, saya perlu baca buku ini.

Menelaah buku ini, saya temukan untaian mutiara kata yang indah yang mengasyikkan dan boleh juga menjadi bilah-bilah pedang yang tajam yang menusuk jiwa yang paling dalam. Antara petikan buku beliau adalah seperti berikut:

“Menurut ajaran Islam, di akhirat nanti, masa tidak lagi perlu digunakan bagi bekerja dan mendapat ganjaran. Sebaliknya, masa yang bersifat abadi - diperuntukkan bagi KENIKMATAN atau HUKUMAN. Jadi, perkaitan antara masa, kejayaan dan ganjaran HANYA TERPAKAI DI DUNIA!

"Senang cakap, selepas MATI, sudah TERLEWAT bagi kita menggunakan masa untuk bekerja. Sebaliknya, itulah musim menuai, itu pun JIKA semasa hidup, kita menanam benih-benih kebaikan. Ya, tiada lagi PELUANG.. TIADA lagi sesaat dua bagi kita MENEBUS KESALAHAN. LANGSUNG TIADA!"

Terkesima. Ayat-ayat beliau membuatkan saya terpana seketika, termenung, bermonolog dengan diri sendiri.

Apakah aku telah menggunakan masa sebaiknya dalam kehidupan agar tidak ada sesalan kelak?

Apakah aku selalu berkira-kira dalam beramal sehingga masa yang ada sebahagian besar digunakan secara terbazir?

Apakah benar dan tepat jika aku menolak tawaran-tawaran jawatan yang sangat memerlukan komitmen tenagaku?

Apakah aku telah cukup menggunakan masa yang ada agar aku boleh berehat dan menerima KENIKMATAN di akhirat kelak atau HUKUMAN?!.

Sungguh buku ini memberikan kesan begitu mendalam daripada segi psikologi dan emosi. Saya mula mencatur diri agar masa yang ada dapat digunakan sebaiknya kerana jika silap percaturan, saya akan terperangkap dalam KITARAN KEGANASAN MASA.

Masa ke tempat kerja yang panjang dan akan membabitkan pengurusan kerja pejabat, pengurusan keluarga dan juga pengurusan peribadi termasuk ibadah dan juga pengurusan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Kitaran ini akan mengganas, akan membelit diri saya dan akhirnya harapan saya untuk menyumbang kepada ummah melalui kerjaya terkini akan menjadi debu yang berterbangan, hanya fatamorgana air di padang pasir yang gersang.

Tambah beliau lagi:
.
“Dalam Islam, ia bukan tentang BETAPA SIBUKNYA anda, tetapi tentang KEBERKESANAN ANDA MENGURUS DIRI DALAM KONTEKS MASA bagi mewujudkan kehidupan baik buat diri sendiri dan persekitaran anda."

Sangat banyak hikmah yang boleh dikutip apabila membaca buku ini dan saya baru membaca dua bab sahaja namun ibrah yang dikutip seperti telah membentuk arah tuju kehidupan seharian saya. Bukan saya sahaja. Saya merasakan sahabat dan rakan di luar sana juga boleh mengutip mutiara berharga melalui pembacaan buku ini. Semoga saya akan segera menamatkan buku ini dan mengutip hikmah berharga dan dapat meresapinya dalam kehidupan saya..

Merenung mutiara-mutiara daripada buku ini yang boleh bertukar kepada bilahan pedang yang boleh memotong anda bila-bila masa, beliau berkongsi gagasan minda melalui pengalaman beliau yang boleh kita jadikan panduan:

• Masa adalah organisma hidup

• Masa dan nyawa tidak dapat dipisahkan. Masa adalah kehidupan, sedetik ia pergi ia tidak akan kembali dan ia tidak boleh ditukar ganti.

• Sikap sambil lewa akan melenyapkan inovasi

• Kekurangan masa adalah sumber kekuatan dan pencapaian hebat. Makin sedikit masa makin banyak pencapaiannya

• SAYA TIDAK MENGURUSKAN MASA, SEBALIKNYA MENJANA LEBIH BANYAK MASA!.

“Demi MASA! Sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Al-'Asr: 1-3)

“Hingga apabila telah datang kematian kepada seorang dari mereka, dia berkata, “Ya Rabbku kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku beramal soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkan saja. Dan di hadapan mereka ada barzakh sampai hari mereka dibangkitkan.” (Al-Mukminun: 99-100)

Siti Hamisah Manan
Mutiara Jumaat
8 November 2019

Read 293 times Last modified on Tuesday, 26 November 2019 12:05

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!