wrapper

Berita Terkini

الإثنين 12 ربيع الثاني 1441   |   Monday 09 December 2019
Monday, 11 November 2019 13:46

Rahmah yang dihadiahkan

Written by
Rate this item
(1 Vote)


إنما انا رحمة مهداة

Itulah ungkapan keramat baginda Sallallahualaihiwasallam ketika menakrifkan dirinya yang mulia, ‘rahmah yang dihadiahkan’. Hadis ini dikeluarkan oleh ad-Darimi dan Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih.

Diri baginda Sallallahualaihiwasallam itu sendiri adalah rahmah. Sifat rahmah itu tercipta dan tercetak dalam dirinya meliputi seluruh aspek keperibadiannya. Fikirannya rahmah, perbuatannya rahmah dan tutur katanya rahmah.

Rahmahnya baginda Sallallahualaihiwasallam itu adalah anugerah Allah, Ar-Rahman dan Ar-Rahim kepada baginda dan merupakan hadiah-Nya kepada seluruh umat manusia serta seluruh alam semesta. Dalam hal ini, Allah Taala berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah: 128)

Melalui baginda yang dicetak dan diliputi dengan sifat rahmah, Allah turunkan kepada makhluk-Nya syariah yang penuh rahmah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa': 107)

Seorang mantan pendeta Yahudi, Abdullah bin Sallam radiallahuanhu melaporkan pemerhatiannya terhadap Rasul yang agung ini dengan berkata:

“Apabila Rasulullah Sallallahualaihiwasallam tiba di Madinah, orang ramai berkerumun ke arahnya termasuklah aku. Apabila aku terpandang wajahnya Sallallahualaihiwasallam, aku terus yakin bahawa wajahnya bukan wajah seorang pendusta. Ungkapan pertama yang aku dengar daripadanya ialah: “Wahai sekalian manusia, berikanlah makanan, hubungkanlah silaturahim, sebarkanlah salam, solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masyuk syurga dengan selamat sejahtera.” (Ibnu Katsir)

Mesej yang penuh berinti rahmah. Dalam hadis lain, daripada Abdullah bin Umar bin al-Khattab radiyallhuanhuma meriwayatkan:

“Sesungguhnya Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat beberapa kamar, di bahagian luarnya boleh dilihat dari dalam dan di bahagian dalamnya boleh dilihat dari luar.”

Abu Musa al-Asy’ari radiallahuanhu bertanya: “Untuk siapakah bilik itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Untuk mereka yang lembut tutur katanya, yang memberikan makanan, yang berdiri menghadap Allah pada waktu malam ketika manusia lena di perbaringan.” (Riwayat Ahmad)

Kita perhatikan kedua-dua hadis di atas, baginda Sallallahualaihiwasallam memberikan perhatian kepada sifat rahmah terhadap sesama manusia; memberikan makanan, menghubungkan silaturahim, menyebarkan salam dan berbicara dengan tutur kata yang baik.

Ini bukan bermakna itu yang lebih utama daripada hubungan dengan Allah. Tetapi ia menggambarkan bahawa ibadah dan hubungan kita dengan Allah Subhanahuwataala yang dilakukan dengan penuh ikhlas akan terserlah kesan serta natijahnya pada akhlak dan sifat rahmah terhadap makhluk Allah.

Dan itulah dia intipati ajaran Islam yang membawa rahmah. Tanpanya, maka ibadah yang tidak henti-henti ketika sendirian tidak ada nilainya.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Adabul Mufrad, ketika ada seorang sahabat menyampaikan kepada Nabi Sallallahualaihiwasallam tentang seorang wanita yang ahli ibadah tapi suka menyakiti tetangganya.

“Wahai Rasulullah, ada seorang wanita yang rajin solat malam, gemar berpuasa pada siang hari, giat melakukan amal kebaikan dan banyak bersedekah, namun dia sering menyakiti tetangganya dengan lisannya.” Mendengar laporan ini, Nabi Sallallahualaihiwasallam menjawab, “Tiada kebaikan padanya dan dia termasuk penghuni neraka.” Naudzu billahi min dzalik.

Ustazah Maznah binti Daud
Ahli DPN IKRAM

Read 724 times Last modified on Monday, 11 November 2019 13:53

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd