wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 19 ذو الحجّة 1440   |   Tuesday 20 August 2019
Saturday, 13 April 2019 17:01

Penyelewengan mega FELDA pengajaran besar untuk negara

Rate this item
(1 Vote)

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
13 April 2019M / 7 Syaaban 1440H

PENYELEWENGAN MEGA FELDA PENGAJARAN BESAR UNTUK NEGARA

Negara dikejutkan dengan pembongkaran penyelewengan dan kecurangan mega yang berlaku terhadap FELDA seperti yang terkandung dalam Kertas Putih yang dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Parlimen pada hari Rabu lepas, 10 April 2019.

IKRAM mengutuk penyelewengan dan kecurangan mega ini dan mendesak agar semua yang terlibat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Kertas putih yang mendedahkan situasi sebenar dan kedudukan kewangan FELDA disediakan berdasarkan kajian forensik firma perakaunan ternama Ernst & Young. Ia mendedahkan lapan pelaburan FELDA bernilai RM4.4 bilion yang telah susut nilai sebanyak 50 peratus kepada RM2.2 bilion selain daripada isu-isu berkaitan pelanggaran proses dan tatacara pelaburan FELDA, isu-isu berkaitan pelaporan FELDA pada tahun-tahun kebelakangan yang tidak tepat dan lain-lain.

Akibatnya, bukan sekadar kerugian dalam jumlah yang sangat besar, kerajaan kini terpaksa memberikan bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion untuk memulihkan semula kedudukan FELDA.

Memandangkan isu ini agak kompleks yang melibatkan beberapa transaksi di dalam dan di luar negara dan jumlah pelaburan yang besar, IKRAM menyeru agar pihak yang berminat agar mendapatkan maklumat yang tepat supaya penilaian yang objektif dan rasional dapat dilakukan.

Jelasnya, tragedi yang melanda FELDA ini adalah isu besar kerana melibatkan kegagalan tadbir urus sebuah agensi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan peneroka FELDA. Isu ini juga berkait rapat dengan integriti kepimpinan yang terlibat secara langsung dalam menguruskan FELDA, sama ada di peringkat kerajaan mahupun di peringkat pengurusan tertinggi FELDA. 

Sehubungan itu, tragedi FELDA ini mestilah dijadikan pengajaran oleh kerajaan dan rakyat supaya kesilapan yang sama tidak berulang pada masa yang akan datang, sebagaimana juga isu 1MDB yang terpalit dengan isu-isu berkaitan kegagalan tadbir urus, pecah amanah dan kelemahan kualiti kepimpinan.

Tragedi ini mengingatkan rakyat Malaysia betapa pentingnya untuk memilih pemimpin yang amanah, berintegriti dan profesional di semua peringkat.

IKRAM mendoakan agar usaha-usaha kerajaan untuk memulihkan kedudukan FELDA dengan gagasan Model Felda Baharu bagi membantu golongan peneroka akan berjalan lancar dan mencapai objektif-objektif yang telah ditetapkan.

Pada era Malaysia baharu yang hampir menjangkau ulang tahun pertama ini, IKRAM ingin mengingatkan kerajaan agar komited untuk meletakkan agenda  reformasi dan pengislahan dalam pentadbiran kerajaan sebagai agenda utama negara.

Selain tadbir urus yang baik dan kepimpinan yang kompeten dan berintegriti, agenda ini juga boleh dilaksanakan dengan mengukuhkan sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan dan undang-undang yang adil.

Ini selaras dengan ciri-ciri Negara Rahmah Mithali yang diperjuangkan IKRAM, yang mudah-mudahan dengan penerapan ciri-ciri tersebut, negara kita akan dikurniakan kemakmuran dan rahmat daripada Allah SWT. 

 

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 979 times Last modified on Saturday, 13 April 2019 17:28

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!