Print this page
Thursday, 06 December 2018 00:00

Kebebasan berpolitik mahasiswa: Langkah penting lahirkan pemimpin masa depan

Rate this item
(2 votes)

KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
6 Disember 2018M / 28 Rabiulawal 1440H

KEBEBASAN BERPOLITIK MAHASISWA: LANGKAH PENTING MELAHIRKAN PEMIMPIN MASA DEPAN YANG KOMPETEN, BERINTEGRITI DAN RAHMAH

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyambut baik langkah Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik membentangkan pindaan tiga akta bagi memberikan pelajar institusi pendidikan tinggi lebih kebebasan dalam penglibatan politik.

Ia melibatkan pemansuhan peruntukan Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Seksyen 47(2)(c) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(c) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

Kementerian Pendidikan turut meletakkan sasaran penggubalan satu akta baharu pendidikan tinggi bagi menggantikan AUKU menjelang 2020.

Ia merupakan langkah pertama dalam transformasi pendidikan tinggi seiring hasrat kementerian melahirkan graduan holistik, seimbang dan mampu bersaing di pentas dunia.

IKRAM menyokong penuh langkah pindaan ini kerana ia mampu melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berpotensi menjadi pemimpin negara pada masa depan.

Bahkan kebanyakan pemimpin negara sekarang juga dahulunya merupakan pemimpin mahasiswa yang aktif berorganisasi, menggerakkan pelajar dan terlibat langsung dalam politik kampus.

Langkah ini juga akan membuka ruang yang seluas-luasnya untuk mahasiswa menggilap bakat kepimpinan mereka serta dapat melahirkan mahasiswa yang prihatin dan peka dengan keadaan masyarakat.

Moga usaha Kementerian Pendidikan untuk melakukan transformasi pendidikan tinggi bagi melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan mampu bersaing di peringkat global akan menjadi kenyataan.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 397 times Last modified on Thursday, 06 December 2018 12:11
Our website is protected by DMC Firewall!