wrapper

Berita Terkini

الإثنين 29 ربيع الأوّل 1439   |   Monday December 18 2017
Monday, 04 December 2017 00:00

IKRAM sokong solat berjemaah di sekolah

Rate this item
(0 votes)

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
4 Disember 2017 / 15 Rabiulawal 1439H

SOLAT BERJEMAAH DI SEKOLAH SALAH SATU USAHA MURNI HAYATI FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyokong penuh usaha yang dibuat oleh Pejabat Pendidikan Kuantan untuk mewajibkan sekolah menganjurkan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah.

Membiasakan murid dengan solat berjemaah bukan sahaja untuk membantu pembinaan karakter dan jati diri mereka, tetapi juga merupakan komponen penting pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam.

Seperti dimaklumi, mata pelajaran Pendidikan Islam dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) memberi penekanan kepada aspek ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan. 

Murid bukan sahaja perlu dibimbing untuk menguasai ilmu tentang Islam tetapi murid juga perlu dibimbing melaksanakan amali pada tajuk-tajuk yang boleh diamalkan seperti ibadah wuduk dan solat supaya kefahaman dan amalan mereka betul.

IKRAM menegaskan bahawa usaha ini tidak bercanggah, malah sangat bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menyatakan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Oleh itu, FPK perlu mendapat kedudukan sewajarnya serta menjadi pemberat yang penting dalam pembangunan sahsiah murid.  Kedudukan dan nilai keunggulan FPK, dalam konteks pembinaan sebuah negara yang progresif dan maju, perlulah dilaksanakan secara lebih meluas iaitu merangkumi aspek kemanusiaan, fizikal dan keagamaan.

IKRAM yakin semua pihak prihatin dengan gejala sosial semakin parah. Umumnya masyarakat sangat bimbang dengan gejala ponteng sekolah, buli, samseng, merokok, penyalahgunaan dadah, buang bayi dan jenayah besar yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar. Di samping itu, masyarakat kita dihantui dengan isu integriti  seperti gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

IKRAM menegaskan bahawa para pelajar perlu diasuh bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik semata-mata tetapi juga aspek jasmani, moral dan spiritual. Malah para pelajar seharusnya diasuh supaya mempunyai jati diri yang tinggi, akhlak yang unggul dan sifat integriti yang mantap. Membudayakan solat merupakah salah satu caranya.

Beberapa kajian yang dijalankan di Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah menunjukkan korelasi positif antara masalah disiplin  dengan pengabaian solat.

IKRAM yakin usaha sebegitu akan mencapai hasrat FPK “..melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Mengenai kerisauan setengah pihak, IKRAM berpandangan, program solat berjemaah ini tidak langsung memberi kesan kepada pelajar-pelajar bukan Islam kerana ia dilakukan selepas waktu persekolahan sebelum pelajar pulang ke rumah.

Solat berjemaah juga telah diterima sebagai sebahagian daripada syiar serta cara hidup orang Islam dan ia tidak menimbulkan masalah dalam agenda seharian kehidupan masyarakat majmuk Malaysia. 

Pelaksanaan di sekolah juga sewajarnya tidak menimbulkan kejanggalan dan rasa terpinggir murid bukan Islam kerana mereka telah menerimanya dalam kehidupan bermasyarakat seharian.

Prof. Dr. Omar Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Read 1157 times Last modified on Monday, 04 December 2017 08:00

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!