wrapper

Berita Terkini

السبت 27 ربيع الأوّل 1439   |   Saturday December 16 2017
Friday, 26 May 2017 00:00

Hormati Ramadan, Santuni Yang Memerlukan

Rate this item
(1 Vote)

 

Perutusan Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Sempena Ramadan 1438H
29 Syaaban 1438H / 26 Mei 2017

   HORMATI RAMADAN, SANTUNI YANG MEMERLUKAN 

 بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسوله الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين

Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183) 

Orang yang berpuasa mendapat pakaian takwa. la merupakan perisai yang melindungi diri daripada kejahatan dan fitnah. Ibadat puasa lebih istimewa daripada ibadat yang lain kerana ia dinisbahkan secara khusus kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda:

Allah Azzawajalla berfirman: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya. Puasa adalah perisai. Apabila seseorang itu berpuasa pada suatu hari, maka jangan sekali-kali dia mengungkapkan perkataan yang kotor (lucah) dan janganlah menengking. Sekiranya seseorang mencelanya atau menyerangnya, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa".

"Demi yang diri Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi. Orang yang berpuasa merasai dua kegembiraan: Apabila dia berbuka, dia bergembira dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya, dia bergembira dengan puasanya.” (Muttafaqun Alaih)

Allah SWT telah mengkhususkan pada bulan Ramadan kebaikan yang banyak. Jika kita mengetahuinya, nescaya kita akan bercita-cita agar sepanjang tahun dijadikan sebagai bulan Ramadan. Pada bulan ini al-Quran diturunkan:

“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (al-Baqarah: 185)

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang menakjubkan. Allah menjadikannya terdiri daripada unsur tanah (material) dan unsur ruhi (spiritual). Mereka adalah makhluk yang dihidupkan untuk dua alam. Mereka sentiasa berhubungan antara bumi dan langit. Mereka sentiasa berhajat kepada unsur yang keluar daripada bumi untuk makan, minum, pakai dan hidup. Allah SWT berfirman:

“Dan Kami tidak menjadikan rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum dan mereka tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia)." (al-Anbia’: 8)

Mereka juga berhajat kepada apa yang turun daripada langit (wahyu Allah), demi mengangkat darjat makrifat mereka di sisi Allah, berada dalam kebenaran, suka akan kebaikan, menikmati keindahan dan beramal soleh. Allah membekalkan manusia dengan naluri yang membantunya mengimarahkan bumi dan menikmati kebaikannya sebagaimana Allah membekalkan manusia dengan kesucian roh yang mengangkatnya berhubungan langsung dengan Allah Tuhan yang Maha Tinggi.

Peranan ad-Din (agama Islam) adalah untuk mengangkat unsur roh ke atas unsur tanah pada diri manusia. Jangan unsur tanah mengatasi unsur roh. Usaha ini sukar memandangkan tabiat manusia sebati dengan unsur tanah dengan segala kecenderungannya serta nafsu manusia pula amat cenderung kepada godaan syahwat dan syaitan.

Islam telah mensyariatkan beberapa ibadat khusus untuk merealisasikan objektif di atas sebagai rukun-rukun terpentingnya iaitu solat, puasa, zakat dan haji selepas mengucap dua kalimah syahadah. Maka, puasa diibaratkan sebagai medan jihad ruhi dalam Islam.

Dorongan iman pada insan menjadikannya meninggalkan makan, minum dan syahwat secara ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah. Kesabarannya menahan diri daripada semua perkara yang membatalkan puasa itu adalah ujian sebenar terhadap insan.

Seorang mukmin pasti akan berjaya menempuh ujian sukar ini yang akhirnya membebaskan mereka daripada ikatan yang bersifat material dan unsur haiwan. Benarlah penyair Abu al-Fath al-Basti berkata: 

يا خـادم الجسم كم تسعى لخدمته   

أتطلب الربح مما فيه خسران؟!

أقبل على الروح واستكمل فضائلها   

فأنت بالروح لا بالجسم إنسان!

Wahai khadam jasad! | Berapa kuat kamu berusaha berkhidmat untuknya?

Datangilah roh dan sempurnakanlah kelebihannya | Kamu dengan roh, bukan dengan jasad menjadi insan!

Bulan Ramadan adalah bulan penyucian, bulan mengingati akan nikmat kebesaran Allah, bulan kasih sayang dan kasihan belas. Pada bulan ini, hati manusia lebih lunak dan senang ditarbiah ke arah takwa dan kebaikan.

Kita berasa hairan melihat kesan kedatangan bulan yang mulia ini saban tahun, sehingga ada orang yang terputus hubungannya dengan Allah tiba-tiba kembali menghubungkan dirinya dengan Allah pada bulan Ramadan; masjid dipenuhi, al-Quran dibaca dan sebahagiannya pula akan menyempurnakan puasanya walaupun dia tidak bersolat.

Bagaimana sepatutnya kita manyambut bulan Ramadan?

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan ini menyeru semua pihak agar menghormati bulan Ramadan yang mulia ini. Kita percaya atas dasar takwa, pihak-pihak berkepentingan seperti pengamal media, penerbit filem, penerbit majalah dan akhbar serta semua saluran televisyen akan berusaha agar kesucian bulan Ramadan ini tidak dicemari unsur-unsur yang tidak selari dengan kesucian bulan mulia ini.

Marilah sama-sama kita mencari pahala daripada semua ruang yang dipermudahkan Allah untuk kita. Semoga dengan usaha kita semua, roh menjadi suci, iman meningkat, nilai-nilai kebaikan bertambah, kemungkaran dihindari.

IKRAM juga berpandangan bahawa antara kebaikan bulan mulia ini ia membuka ruang yang luas untuk menyantuni keluarga dan masyarakat. Di sana terdapat peluang yang banya untuk mempertautkan hubungan kekeluargaan melalui program berbuka dan bersahur secara bersama, ziarah-menziarahi, undangan berbuka antara satu sama lain serta menolong golongan miskin dan fakir.

Sehubungan dengan itu, IKRAM melalui i-Bantu telah melancarkan kempen Rayuan Ramadhan bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di 21 negara dan sebarang sumbangan amatlah dialu-alukan. Kita berasa terpanggil untuk membantu dan tampil membuka ruang untuk umat Islam menyumbang.

Selain itu, marilah kita bersama-sama menjayakan kempen Sedekah Ramadan dan Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre Foundation untuk membantu aktiviti sokongan mualaf dan menaja kempen MyRamadan 1438H anjuran MyCARE khusus untuk bantuan kemanusiaan.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama menyingsing lengan berusaha ke arah ketakwaan dan bermunajat kepada Allah SWT agar Islam ini kembali ke kedudukannya yang sebenar sebagai ad-Din yang membawa rahmah ke seluruh alam. Rebutlah peluang yang mungkin terakhir buat kita pada bulan Ramadan tahun 1438H ini.

Wassalam.

Saudaramu,

Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Read 1103 times Last modified on Sunday, 28 May 2017 10:55

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!