wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 2 ربيع الأوّل 1439   |   Tuesday November 21 2017

Children categories

Tegur pemerintah yang jahat - Dr Mohd Parid

Tegur pemerintah yang jahat - Dr Mohd Parid 0

KUALA LUMPUR - Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad menyeru rakyat negara ini supaya berani menegur pemerintah apabila mereka yang diamanahkan memegang tampuk kekuasaan terang-terangan melakukan kerosakan. 


"Rakyat bertanggungjawab menasihati pemerintah, membantah dan tidak menerima sahaja kemungkaran yang dilakukan pemerintah kerana hadis Nabi Muhammad ada mengatakan bahawa 'agama itu nasihat, bagi pemerintah, bagi rakyat dan bagi seluruh umat'," katanya dalam kuliah Maghrib di hadapan lautan peserta 'Bersih 4' yang berhimpun berhampiran Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos lalu.

"Nabi Muhammad sebagai utusan Tuhan juga memberi amaran, jika sesuatu urusan itu disandarkan kepada golongan yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kekacauan. Keadaan ini berlaku apabila pemerintah tiada keupayaan dan tidak amanah dalam melaksanakan tugasnya," kata beliau sambil membacakan maksud ayat al-Quran dari surah al-Anfal ayat 25:

“Takutilah fitnah (azab bencana) yang tidak khusus hanya menimpa orang-orang yang zalim saja dalam kalangan kamu...”

Beliau memberi contoh, dalam sebuah kapal, apabila penumpang di tingkat atas ingin mengambil jalan mudah untuk mendapatkan air dengan menebuk dasar kapal, penumpang di bawah hendaklah menegur dan melarangnya. Jika tidak, kapal akan tenggelam dan seluruh penumpang akan mati. Demikianlah pentingnya tugas amar makruf nahi mungkar.

Menurut beliau lagi, ulama telah menggariskan bahawa secara umum, pemerintah mempunyai dua hak, manakala bagi rakyat juga dua hak. Pertama, hak pemerintah untuk ditaati dan hak rakyat untuk diperintah secara adil; kedua, hak pemerintah untuk didukung dan hak rakyat untuk dibawa berunding. Malangnya, pemerintah sekarang ramai yang oportunis, tidak berjuang untuk kepentingan umat dan rakyat, tetapi berjuang untuk diri dan keluarga sendiri.

“Kegawatan yang berlaku dalam banyak negara di dunia ini bukanlah disebabkan tidak ramai rakyat yang baik, tetapi disebabkan ramai pemimpin mereka yang jahat. Sebab itu, pastikan pemimpin kita dipilih daripada golongan yang baik, dan usahakan satu sistem pilihan raya yang mampu mengangkat pemimpin yang terbaik, yang dengannya menjadikan negara kita maju, makmur dan bebas kemelut."

Tambah beliau, ketika Umar al-Khattab ditanya, bolehkah dalam situasi ramai orang yang baik dalam masyarakat, fitnah berlaku? Umar menjawab, "Boleh, apabila golongan yang jahat duduk di atas golongan yang baik."

"Kezaliman itu kegelapan pada hari kiamat. Umat Islam diajar bahawa manusia akan menghadapi balasan Allah yang tidak berkesudahan pada hari kiamat kelak. Sebab itu pemerintah mesti memikul tanggungjawab dengan integriti dan akauntabiliti serta menyantuni seluruh rakyat," katanya.

"Sepatutnya pemerintahlah orang yang paling akhir tidur dan orang yang paling akhir makan, seperti mana Umar al-Khattab yang makan selepas memastikan rakyatnya mendapat makanan yang diagih-agihkan. Pemerintah juga mesti bekerja kuat supaya pendapatan negara mempunyai lebihan, bukan sekadar 'cukup makan' atau mengalami defisit. Inilah objektif syariah dari sudut ekonomi."

Menurut Dr Parid, himpunan Bersih 4 didorong oleh satu matlamat iaitu ingin membina sebuah negara baru Malaysia yang berdasarkan pilihan rakyat yang bebas, adil dan bersih, dan bukannya berasaskan penipuan.

Beliau mengajak semua rakyat bersatu dan berjuang. Metodologi perjuangan pula mestilah betul, barulah sasaran atau destinasi berjaya dicapai.

"Harapan hari ini akan menjadi realiti masa depan menerusi perjuangan, sebagaimana harapan masa lalu menjadi realiti masa kini menerusi perjuangan."

Tambah beliau, rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk melihat perubahan berlaku. "Semuanya di tangan kita. 'Sebab' (cause) atau usaha mesti dilakukan, barulah taufik (pertolongan) Allah turun. Tanpa usaha, taufik Allah tidak akan turun. Kejayaan hanya berlaku ketika 'sebab' langit dan 'sebab' bumi bertemu, iaitu usaha manusia dan taufik Allah berlaku."

"Masyarakat majmuk hidup dengan tolong-menolong berasaskan perkongsian; perbezaan yang wujud adalah untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Itulah kebesaran Allah yang menjadikan langit dan bumi; perbezaan lidah dan warna kulit sebagai bukti kepada orang-orang yang berilmu."

"Warga Malaysia saling membantu dan melihat orang lain sebagai saudaranya, saudara kemanusiaan," ujar beliau sambil mendapat tepukan hadirin.

"Kita tidak akan dapat mencapai idealisme yang diidamkan dalam situasi realpolitik melainkan dengan perjuangan yang teratur, yang dipimpin oleh golongan yang berwibawa dan bertanggungjawab. Dengan itu barulah negara akan maju ke hadapan, kehidupan berkembang, pendapatan rakyat meningkat dan sebagainya. Inilah yang dianjurkan Islam tanpa mengira bangsa."

"Marilah kita bersama-sama meneruskan usaha-usaha ini dalam semua keadaan supaya keadaan berubah, situasi bertambah baik, hari demi hari negara berjalan di atas landasan sebuah negara bertamadun (madani), diterajui oleh pemimpin yang bertanggungjawab, yang peka terhadap masalah rakyat dan negara," Dr Parid mengakhiri kuliahnya.

Himpunan Bersih 4 yang antara lain menuntut sebuah kerajaan yang telus dan hak untuk berdemonstrasi juga mendesak perdana menteri Dato Seri Najib Abd Razak meletakkan jawatan. 
Desakan tersebut dibuat demi menyelamatkan ekonomi negara lantaran skandal demi skandal yang terpalit sepanjang pentadbiran beliau. Dianggarkan lebih 100,000 orang daripada pelbagai bangsa dan latar belakang menyertai Bersih 4 dengan kebanyakannya memakai baju berwarna kuning.

View items...

Proaktif gerakkan bantuan banjir

 

PULAU PINANG - Seramai 600 orang sukarelawan daripada Khidmat Masyarakat IKRAM, i-Bantu bersama beberapa buah NGO termasuk IPT sedang membantu dan menyantuni mangsa banjir di Pulau Pinang.

Read more

Bantu Rohingya di Cox’s Bazar


BANGLADESH - Sebanyak 650 buah keluarga pelarian Rohingya di kem pelarian Cox's Bazar, telah menerima manfaat bantuan pek makanan dalam Misi Kemanusiaan MyCARE kedua pada 28 Oktober lalu.

Read more

i-Bantu lancar rayuan pek ibadah untuk mangsa banjir

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Khidmat Masyarakat IKRAM, i-Bantu hari ini melancarkan Rayuan Pek Ibadah Mangsa Banjir Utara Semenanjung Malaysia.

Read more

Deklarasi Balfour: Britain dituntut mohon maaf

KUALA LUMPUR - Kerajaan Britain dituntut supaya memohon maaf kepada rakyat Palestin atas Deklarasi Balfour yang menjadi punca kewujudan negara haram Israel.

Read more

Iklan Penaja

  

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!