wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 16 صفر 1441   |   Wednesday 16 October 2019


BANDAR BARU BANGI - ASEAN Young Leaders Forum (AYLF) menyeru semua pihak agar bersama-sama menentang mekanisme penghapusan etnik di Myanmar dan menggesa agar warga Rohingya terus disantuni dan dibangunkan.

"AYLF menyeru para aktivis, belia, badan bukan kerajaan dan pihak berautoriti untuk bersama-sama menyantuni pelarian Rohingya dengan bantuan yang berterusan dan mengutuk penghapusan etnik di Myanmar," kata Naib Presiden AYLF Malaysia Chapter, Puan Farah Nabilah Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Perbincangan Meja Bulat Asean Young Leaders Forum Malaysia 2019 yang membincangkan tentang isu semasa pelarian Rohingya pada Ahad lalu di UKM.

Tambahnya, pendirian ini dibuat berdasarkan hakikat bahawa Rohingya tidak diiktiraf sebagai etnik minoriti di Myanmar, ditindas dalam pelbagai bentuk, dicabul hak kemanusiaan dan disenaraikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai golongan yang menerima penindasan paling buruk di dunia.

"Justeru, AYLF yang kini sudah melebarkan jaringannya di Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Kemboja dan Sri Lanka menyeru para belia khususnya di seluruh rantau ASEAN untuk bersama-sama bersatu padu menentang mekanisme penghapusan etnik di Myanmar dan menyeru belia ASEAN untuk terus menyantuni warga Rohingya," tegasnya.

AYLF juga menggesa pihak berwajib dan para belia seluruh ASEAN untuk bersama-sama mendesak kerajaan Myanmar supaya mengiktiraf Rohingya sebagai etnik minoriti negara dan menghentikan sebarang bentuk tindakan penghapusan etnik.

Dalam perbincangan meja bulat itu, kesemua ahli sidang yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan kemanusiaan, mahasiswa dan wakil-wakil daripada pemimpin pelarian Rohingya di Malaysia bersetuju dengan lima resolusi berikut:

1. Menyeru semua pemimpin ASEAN - termasuk kerajaan dan NGO untuk bersatu dan bertindak secara kolektif untuk membantu dan memperkasa pelarian Rohingya dari aspek hak asasi, pekerjaan, bantuan kesihatan dan pendidikan asas terutamanya kepada kanak-kanak.

2. Mengusulkan satu konvensyen ASEAN yang berkaitan dengan pelarian selari dengan Konvensyen Pelarian 1951.

3. Mencadangkan dasar projek penambahbaikan pengurusan pelarian di Malaysia dan memasukkan pihak berkepentingan yang relevan sama ada NGO, wakil pelarian selain daripada pihak berautoriti dalam jawatankuasa dasar ini.

4. Membolehkan akses kepada pelarian Rohingya untuk pendidikan rendah, menengah dan tinggi.

5. Membangunkan mekanisme pembiayaan penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk pelarian bagi memastikan akses mereka kepada perkhidmatan kesihatan lebih terjamin.

"AYLF amat berbesar hati dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana badan-badan antarabangsa, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, Institut Pengajian Tinggi dan sekolah dalam menjayakan kempen belia menentang penghapusan etnik di Rohingya ini," kata Farah lagi.

Resolusi-resolusi tersebut turut dipersetujui bersama oleh AYLF Indonesia Chapter, Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia (MERHROM), Islamic Medical Association of Malaysia, Islamic Relief Malaysia (IRM), Persatuan Belia Harmoni Malaysia, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Mahasiswa Amanah Nasional, Perubuhan Kebajikan READ Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Perbincangan Meja Bulat ASEAN Young Leaders Forum Malaysia 2019 menampilkan Penasihat Eksekutif ASEAN Rohingya Centre, Tan Sri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Pengerusi Rohingya Working Group, Asia Pacific Refugee Rights Network, Lilianne Fan dan Puan Farah Nabilah sebagai panelis.

Last modified on Tuesday, 24 September 2019

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!